103 wartawan berentap pada pusingan akhir Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016

Seratus tiga (103)  orang wartawan yang telah menghasilkan 79 karya dari 22 organisasi media akan berentap ke pusingan akhir Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016 untuk merebut hadiah wang tunai sebanyak RM300,000 tajaan PETRONAS.

Karya-karya tersebut, yang menduduki tempat lima teratas dalam penilaian pusingan kedua kini sedang dalam proses penilaian peringkat ketiga untuk memilih para pemenang dan penerima sagu hati bagi 20 kategori yang dipertandingkan.

Pemenang bagi kategori yang disertai akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala pemenang sagu hati pula membawa pulang RM1,000. Karya terbaik dalam kalangan 20 kategori itu akan dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, selain trofi dan sijil.

Hadiah kepada para pemenang HKM 2016 akan disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2017 pada 21 April 2017 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Tetamu kehormat malam tersebut ialah Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Bilangan wartawan melebihi jumlah penyertaan yang layak ke pusingan akhir itu kerana sebilangan karya dihasilkan secara berpasukan oleh lebih seorang wartawan. Ada karya yang dihasilkan oleh enam orang wartawan.

Bagi penilaian pusingan pertama, panel hakim yang terdiri daripada para wartawan veteran dan tokoh akademik dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi telah menilai 291 penyertaan secara keseluruhannya.

Dari segi jumlah penyertaan, The Star berada pada kedudukan pertama dengan 15 penyertaan; diikuti oleh Berita Harian dan Harian Metro dengan 9 penyertaan masing-masing. Enam penyertaan New Straits Times dan TV3 juga layak ke pusingan akhir.

Butiran jumlah organisasi, penyertaan dan bilangan wartawan adalah seperti berikut:

LIMA KEDUDUKAN TERATAS HKM MPI PETRONAS 2016

No. Organisasi Jumlah penyertaan Bilangan wartawan
1 Astro Awani 4 7
2 Bernama 3 3
3 Bernama Radio 3 2
4 Berita Harian 9 7
5 BH Online 1 1
6 BNC 1 4
7 Focus Malaysia 2 2
8 Harian Metro 9 13
9 Ikim FM 1 1
10 In Trend 2 2
11 Kosmo! 1 1
12 Malay Mail 2 2
13 mStar 1 2
14 New Straits Times 6 6
15 Rojak Daily 1 1
16 RTM 1 1
17 SelangorFM 1 1
18 Sinar Harian 2 5
19 The Star 15 20
20 TV3 6 12
21 TV9 1 2
22 Utusan Malaysia 7 8
79 103



Sila tekan sini untuk melihat senarai karya lima tertinggi HKM 2016.