CEO MPI dilantik panel penasihat USIM

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dato’ Chamil Wariya dilantik sebagai Panel Penasihat Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Islam Sains Malaysia (USIM).

Pelantikan untuk tempoh tiga tahun sehingga 31 Julai 2015, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2012.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dalam surat pelantikannya menyatakan skop tugas Chamil sebagai Panel Penasihat adalah untuk “membantu memberikan maklum balas dan buah fikiran terhadap pembangunan perkembangan dan hala tuju” FKP universiti itu.

Dalam surat penerimaan pelantikannya, Chamil  mengucapkan terima kasih kepada USIM, khususnya kepada Dato’ Dr. Muhamad di atas kepercayaan yang diberikan terutama kepada program komunikasi dan kewartawanan universiti tersebut yang tarletak di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusannya.

“Pelantikan itu adalah satu penghormatan besar kepada MPI, sebuah yayasan yang terbabit dalam bidang latihan untuk para wartawan negara ini,” tulis beliau.

Chamil mula berkhidmat dengan MPI pada 1 Januari 2008, setelah menamatkan perkhidmatannya selama hampir 10 tahun sebagai peneraju  Divisyen Berita dan Ehwal Semasa TV3 pada penghujung 2007.

Memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet dengan akhbar Utusan Melayu pada pertengahan 1971, beliau pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Suara Rakyat, majalah Sarina, Suara Merdeka,  Bahagian Melayu BBC World Service di London.

Sebelum menyertai TV3 pada Ogos 1998, Chamil adalah Ketua Bahagian Majalah Kumpulan Utusan.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan dengan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Chamil memilik ijazah pertama dalam bidang sains sosial dan ijazah sarjana dalam komunikasi massa dan perhubungan antarabangsa dari tiga buah universiti di England.

Tekan sini untuk CV Chamil.

Tekan sini untuk surat pelantikan USIM.

Tekan sini untuk surat penerimaan pelantikan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

One thought on “CEO MPI dilantik panel penasihat USIM

  1. […] CEO MPI dilantik panel penasihat USIM […]

Comments are closed.