Geran tahunan Kerajaan kepada MPI kekal RM200,000.00; PM beri peruntukan khas untuk teruskan IJF dan Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia

Geran tahunan yang disalurkan oleh Kerajaan kepada Malaysian Press Institute (MPI) menerusi Jabatan Penerangan Malaysia kekal sebanyak RM200,000.00.

Ini dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf dalam sepucuk surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.

Dalam surat bertarikh 26 Julai 2012 itu, Dato’ Sri Kamaruddin memaklumkan: “Seperti YBhg Datuk sedia maklum, geran peruntukan sebanyak RM200,000.00 yang telah diberikan kepada MPI sejak 2006 adalah bagi tujuan pembangunan termasuklah bagi menguruskan latihan kepada wartawan dari dalam dan luar negara. Sehubungan ini, MPI perlulah berusaha ke arah “self  financing” memandangkan bantuan Kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia adalah sebagai sokongan dan keprihatinan Kerajaan terhadap pertubuhan MPI.”

Tekan sini untuk surat KSU KPKK.

Surat Dato’ Sri Kamaruddin itu adalah sebagai respons terhadap permohonan yang dibuat oleh MPI yang memohon supaya geran tahunan RM200,000.00 ditambah kepada RM750,000.00 untuk membiayai kegiatan dan kos operasi Institut yang dianggarkan sebanyak RM660,000.00 setahun.

Kos tambahan itu diperlukan bagi membiayai dua program teras MPI iaitu ZamalahWartawanMuda 1Malaysia dan International Journalism Fellowship (IJF), yang diadakan sejak 2008. Kedua-dua program itu diadakan secara percuma.

Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia adalah program yang melatih para wartawan baru tempatan dengan isu-isu kenegaraan manakala IJF pula program latihan untuk wartawan muda dunia membangun dengan matlamat tersirat untuk mendedahkan mereka terhadap kejayaan-kejayaan Malaysia.

IJF dimulakan pada 2008 dan dalam tempoh lima tahun sehingga 2012 telah melatih 104 wartawan muda dari 18 buah negara.

Chamil menulis surat memohon geran tambahan itu sebagai respons kepada cadangan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam perbualan di meja makan utama pada Malam Wartawan Malaysia 2012.

Tetamu kehormat malam tersebut yang diadakan pada 29 Mac 2012 di The Royale Bintang Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam perbualan itu, Chamil telah memaklumkan kegiatan-kegiatan utama MPI setelah dinaik taraf menjadi Yayasan pada 13 April 2007 kepada Datuk Sri Najib. Tertarik dengan program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dan IJF, PerdanaMenteri bertanya dari manakah MPI mendapat peruntukan untuk membiayai program itu.

Apabila Chamil memaklumkan bahawa penyumbang utama kewangan MPI adalah Kementerian Datuk Utama Dr.Rais dan peruntukan itu tidak mencukupi, Datuk Seri Utama Dr. Rais mencelah perbualan, lalu meminta Chamil menulis surat memohon peruntukan RM200,000.00 itu ditambah.

Berikutan itu pada 17 April 2012, Chamil, bagi pihak Majlis Pentadbir MPI, telah menulis surat memohon geran tahunan itu ditambah kepada RM750,000.00 setahun.

Tekan sini untuk surat permohonan MPI.

Walaupun permohonan itu ditolak, MPI tetap berterima kasih kepada Kerajaan kerana keputusannya untuk mengekalkan geran tahunan RM200,000.00 yang diberikan kepada Institut sejak 2006.

MPI juga berterima kasih kepada PerdanaMenteri, Datuk Seri Mohd Najib kerana telah menyalurkan peruntukan khas untuk membolehkan MPI meneruskan program tiga Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia dan satu program International Journalism Fellowship bagi tempoh tiga tahun antara 2013 hingga 2015.