UUM lantik CEO MPI Ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri

Universiti Utara Malaysia (UUM) melantik Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya sebagai Ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) universiti berkenaan untuk tempoh dua tahun bermula 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019.

Pelantikan itu dinyatakan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Ishak dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2017.

Tekan sini untuk lihat surat pelantikan.

Dalam surat tersebut, beliau memberitahu pelantikan itu diharap “dapat membantu kami ke arah usaha memperkenalkan UUM kepada pihak industri dan menjadikan universiti ini sebagai sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka.”

Menurut Naib Canselor UUM itu:“Seperti yang Y.Bhg Dato’ maklum, UUM terus mengorak langkah dalam meningkatkan kecemerlangannya dalam pelbagai bidang sebagai sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka. Salah satu daripada langkah ini ialah mendampingi dan memanfaatkan pengalanan, pengetahuan dan kebijaksanaan tokoh-tokoh seperti Dato’ yang telah membuktikan kejayaan luar biasa dalam kerjasaya masing-masing.”

Selain Chamil, turut menganggotai MPUI UUM ialah para peneraju daripada sebilangan syarikat swasta yang telah membuktikan kecemerlangan masing-masing dalam mengemudi syarikat yang dipimpin.

Turut dilantik ialah wakil daripada Malayan Banking Berhad, Malaysian Employers Federation, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Ishak pula bertindak sebagai penaung dan pengerusi tetap MPIU. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Dr. Noor Azizi Ismail adalah penasihat majlis itu.

Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri UUM, Profesor Madya Dr. Mohd Sobri Don adalah timbalan pengerusinya.

Turut mewakili UUM dalam MPUI ialah dua orang Timbalan Naib Canselor UUM iaitu Profesor Dr. Hassan Ali dan Profesor Madya Dr. Abdul Malek Haji Abdul Karim serta tiga orang naib canselor UUM. Mereka ialah Profesor Dr. Yusnidah Ibrahim, Profesor Madya Dr. Huda Haji Ibrahim dan Profesor Madya Dr. Ahmad Bashawir Haji Abdul Ghani.

Mesyuarat pertama MPUI bagi penggal 2017-2019 telah diadakan di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur pada 21 April 2017.