Justifikasi pemilihan Datuk A. Kadir Jasin sebagai Tokoh Wartawan Negara

Teks Pidato Pengisytiharan Datuk A. Kadir Jasin sebagai Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2011 oleh Ketua Panel Pemilih,  Professor Dr. Ahmad Murad Merican, dari Universiti Teknologi PETRONAS pada 16 Julai 2011, jam 3 petang di The Royale Bintang Damansara, Mutiara Damansara. Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Karya-karya  kewartawanan ialah bayangan kehidupan, gambaran sejarah dan jiwa tukang cerita itu sendiri. Akan tetapi tukang cerita itu mempunyai banyak pilihan dalam menentukan arah tuju  kerjayanya.  Dan kerjayanya itu menjurus kepada satu kewajipan yang berat lagi murni.  Inilah yang tersurat dan yang tersirat dalam kehidupan dan kerjaya Datuk A. Kadir Jasin.

Sejak tahun 1969, Datuk Kadir telah menulis untuk hampir semua genre kewartawanan dari berita dan rencana, komentar dan lidah pengarang, ulasan dan kritikan, blog dan buku.   Datuk Kadir ialah satu-satunya nama besar dalam kewartawanan dwi bahasa di Malaysia.

Datuk Kadir telah melalui pelbagai era perubahan sosial, kepimpinan dan politik negara. Beliau adalah pencatat dan perakam zaman yang setia dan dipercayai.

Malah, beliau adalah seorang daripada yang tidak ramai yang masih gigih dan aktif memberikan sumbangan penulisan yang bertenaga dan semasa kepada pembaca.

Datuk Kadir adalah tukang cerita yang cemerlang dan terbilang.  Dalam era media baru, Datuk Kadir melalui ‘The Scribe’ merupakan wartawan yang unggul.  Blog tersebut memperlihatkan kesedaran akan peranan beliau dalam pembinaan masyarakat dan negara bangsa.  Suara ‘Kunta Kinte’ terus berkumandang dalam ruang siber.  Beliau merupakan salah seorang peneroka penulisan blog di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Datuk Kadir, yang dilahirkan pada tahun 1947 di Kedah, yang kini menjawat Ketua Pengarang syarikat penerbitan Berita Publishing Sdn. Bhd., mewakili antara generasi terakhir wartawan dalam era yang semakin berakhir.

Beliau adalah  tukang cerita yang versatile – menulis melalui pelbagai media, dan menggunakan pelbagai teknologi. Sepanjang zaman, peranan sesorang tukang cerita tidak akan lengkap tanpa penulisan buku. Beliau telah menulis sekurang-kurangnya sebanyak sembilan buah buku, antaranya Membangun Bangsa dengan Pena (2009), Komedi & Trajedi – Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009), PRU 2008 – Rakyat Sahut Cabaran (2008), Blogger (2006), Damned that Thots (2006), Mencari Dugalia Huso (2006), The Wings of an Eagle (2003), Other ThotsOpinions and Observations 1992-2001 (2001), dan Biar Putih Tulang (1998).

Datuk Kadir adalah tukang cerita yang rajin berkongsi pendirian dan pengalamannya melalui pelbagai seminar dan persidangan mengenai media dan kewartawanan. Dalam penampilan beliau melalui pelbagai forum, kita dapat lihat kemahiran ekspresi dan penulisan, kejelasan penghujahan dan logik pemikirannya.  Beliau adalah tukang cerita moden.

Jika pada suatu masa dulu Penghulu Mukim Chenderiang, Perak, Raja Haji Yahaya memperkenalkan  penglipur lara Pawang Ana kepada Pentadbir Kolonial Richard Winsted, yang kemudian merakamkan certia-cerita rakyat, Datuk Kadir tidak perlu diperkenalkan lagi. Kita telah diperkenalkan dengan Datuk Kadir melalui pelbagai avatar dan medium – antara nya  ‘Kunta Kinte,’ ‘Other Thots,’ dan ‘The Scribe.’  Beliau berfungsi sebagai penglipur lara.

Datuk Kadir  banyak terlibat dalam pentas wacana awam dengan melontar dan menyebar ideanya untuk disambut, dibincang dan dicabar.   Penulisan dalam blog ‘The Scribe’ – yang mengambil makna asal kegiatan kewartawanan dan melihat wartawan sebagai pencatat tanpa nilai kepentingan melainkan ketepatan dan kebenaran.  Blog itu pernah mencatat hits sebanyak 5.27 juta – satu angka yang membuktikan keberkesanan wacana beliau yang jarang kita lihat di kalangan wartawan tempatan.

Dalam satu sesi temubual pada bulan Julai 2009, Datuk Kadir ditanya mengapa beliau memulakan kegiatan penulisan blog.  Jawapannya ialah beliau adalah seorang pencatat (penulis), dan blog merupakan satu lagi ruang yang boleh diterokai.  Beliau mempunyai kepercayaan kepada media baru.

Visi Datuk Kadir mengenai kewartawanan media baru telah dengan sendirinya menjadikan ‘The Scribe’ salah satu blog yang berpengaruh di Malaysia. Dalam hal ini saya terpanggil untuk menyatakan satu contoh pengaruh Datuk Kadir kepada masyarakat awam melalui kolum Kunta Kinte.  Tidak lama dulu terdapat  kekeliruan tentang penggunaan nama ‘Kunta Kinte.’

Penulis laman ‘Kunta Kinte Malaysia’ (bukan Datuk Kadir) menjelaskan bahawa beliau menggunakan nama tersebut bagi membezakannya dengan nama pena ‘Kunta Kinte’ yang asal.  Nama samaran tersebut digunakan oleh Datuk Kadir semasa beliau menerajui Berita Harian antara tahun 1987 hingga 1995.

Penulis ‘Kunta Kinte’ tiruan itu mengaku bahawa beliau  adalah “antara anak muda yang ‘membesar’ dalam pemikiran dan pemahaman ke atas masyarakat melalui pandangan alam ‘Kunta Kinte’ (Kadir Jasin).”  Dari catatan itu kita dapati bahawa Datuk Kadir amat berpengaruh:

Nostalgiknya gelaran abdi ini kerana ia digunakan oleh kolumnis yang cukup mempengaruhi penulis ketika sekolah, biar pun tidak mengetahui siapa sebenarnya di sebalik nama ‘Kunta Kinte’ di Berita Harian.

Kalau ditanya siapa guru atau mentor paling berpengaruh dalam hidup penulis, nescaya ‘Kunta Kinte’ di Berita Harian itulah guru dan mentor terbaik penulis, biarpun beliau tidak pernah menjadi guru atau mentor penulis secara langsung

Sememangnya, seseorang wartawan yang unggul lazimnya dianggap sebagai mentor dan guru. Datuk Kadir banyak memberi panduan, dan ‘mencerahkan’ kekusutan kekeliruan di kalangan masyarakat pembaca. Datuk Kadir bukan hanya menulis dan menerbit, tetapi juga menyelusuri penulisan kewartawanan yang membentuk negara bangsa Malaysia.

Ramai yang kurang maklum akan kepentingan buku The Early Years: 1947-1972 yang disusun dan disuntingkan oleh Datuk Kadir.  Diterbitkan pertama kali pada tahun 1995, dan diterbitkan semula dengan tajuk baru The Writer: The Early Years 1947-1972, dan dengan Pengenalan baru,  buku tersebut merangkumi koleksi rencana C.H.E. Det  dalam Straits Times dan Sunday Times di Singapura pada ketika itu.

Jika bukan kerana usaha dan sensitiviti beliau, kita tidak dapat mengenali Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang penulis. Kepada Datuk Kadir, penulisan-penulisan awal Dr. Mahathir bukan hanya karya seorang pemerhati sosial yang kemudiannya menjadi perdana menteri, tetapi juga karya kewartawanan yang unggul yang perlu diketahui dan diteliti oleh warganegara Malaysia.

Sebagai tukang cerita, Datuk Kadir amat mengawal tatabahasanya dan penggunaan istilah  untuk memelihara kualiti ilmiah tulisannya dan penyampaian pemikirannya. Berkali-kali beliau memperingati pembacanya mengenai kepentingan integriti dalam penulisan.

Datuk Kadir telah berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak tahun 1969 lagi. Selama 43 tahun, beliau telah berganding bahu dan menjalin rangkaian yang akrab dengan pemimpin, penggubal dasar serta cendekiawan negara.

Kecendiakawan yang ada padanya itu telah menyerlahkan dirinya sebagai peneroka kewartawanan ekonomi Melayu di Malaysia. Ini menyerlah dengan penghijrahan beliau ke Business Times daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). Perjuangan ‘kewartawanan ekonomi’ dimantapkan apabila beliau menyertai Business Times dari tahun 1976 hingga 1984. Ia diteruskan sehingga kini melalui Berita Publishing.

Malah, Datuk Kadir telah mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam memperkasakan liputan ekonomi negara, terutama sekali dalam konteks pelaksanaan  Dasar Ekonomi Baru pada tahun-tahun 1970an dan 1980an.  Beliau mampu melihat sesuatu isu itu dalam perspektif yang sesuai lalu mendekati dan menganalisis pelbagai sektor ekonomi termasuk dunia korporat.

Dalam penulisannya, beliau membayangi  pengaruh ekonomi ke atas perjalanan politik negara, serta ke atas ideologi dan amalan kewartawanan di Malaysia.

Datuk Kadir adalah antara wartawan di Malaysia yang memimpin banyak organisasi surat khabar. Setelah memegang jawatan Pengarang Bersekutu Business Times, beliau dilantik ke jawatan penolong pengarang kumpulan Berita Harian dan seterusnya pengarang kumpulan Berita Harian pada tahun 1986.

Pada tahun 1988 selama 10 tahun, Datuk Kadir  menerajui The New Straits Times sebagai Pengarang Kumpulan  dan seterusnya Ketua Pengarang Kumpulan  New Straits Times Press (M) Bhd dari tahun 1998 ke 2000. Sebagai Ketua Pengarang Kumpulan, beliau bertanggungjawab ke atas semua penerbitan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kumpulan akhbar tersebut.

Selain dari itu, Datuk Kadir juga banyak terlibat dalam membangunkan beberapa jalinan dan institusi.  Atas kepercayaan yang diberi berdasarkan kepada kebolehan, kepakaran dan kewibawaan beliau, Datuk Kadir, antaranya telah terlibat sebagai ahli kepada beberapa pertubuhan termasuk Ahli Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council), Ahli Asia-Australia Institute, University of New South Wales, Ahli Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaaan (National Information Technology Council), Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ahli Majlis Perundingan Perpaduan Negara, serta  Ahli Lembaga Pemegang Amanah Press Foundation of Asia yang berpusat di Manila.

Pada tahun 1978, ketika berusia 31 tahun, beliau menerima anugerah Editor of the Year untuk Asia daripada Mitsubishi/Press Foundation of Asia. Dua puluh tahun kemudian, semasa beliau berumur 51 tahun,  Datuk Kadir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia atas sumbangan beliau kepada alam kewartawanan di Malaysia.

Pada tahun 1971, Datuk Kadir memenangi biasiswa Colombo Plan untuk melanjutkan pelajaran ke Wellington Polytechnic, New Zealand, dalam bidang kewartawanan.  Seterusnya pada tahun 1977, beliau dihantar ke Berlin International Institute of Journalism untuk kursus ‘Advance Journalism.’

Semasa saya baru menjadi ahli akademik yang mengkaji kewartawanan dan media,  saya teringat dalam pertengahan tahun 1980an di mana Datuk Kadir menerajui inisiatif  menubuhkan Organisation of Newspaper Editors (ONE/Pertubuhan Editor-editor Surat khabar) dalam usaha memperkukuhkan fraterniti kewartawanan di Malaysia serta mewujudkan saluran aduan terhadap wartawan dan akhbar.   Walaupun, ONE tidak kelihatan mengambil langkah seterusnya, idea dan inisiatif itu amat kritikal pada profesion kewartawanan. Dan Datuk Kadir amat akur mengenai persekitaran dan keperluan profesionnya itu.  Usaha mewujudkan saluran aduan keatas kewartawanan dan persuratkhabaran di Malaysia, seharusnya perlu diteruskan.

Pemerhatian Datuk Kadir amat tajam dan mendalam.  Seketika dulu saya pernah bertanya kepada beliau tentang sikap Tun Dr. Mahathir tentang dunia Barat.  Jawabnya, Tun Mahathir memuji Barat kerana kebijaksanaan dan kemajuannya, tetapi mengkeji Barat kerana nilai moralnya yang rendah.

Sebagai tukang cerita, Datuk Kadir sentiasa peka dan berperanan sebagai penterjemah dan mentafsir isu, idea dan tema semasa.  Mungkin juga inilah sebabnya Datuk Kadir diberi kepercayaan oleh Tun Dr. Mahathir untuk menterjemah memoir Doctor in the House ke Bahasa Melayu dari karya asal bahasa Inggeris.

Doktor Umum bukan hanya dapat dilihat sekadar suatu terjemahan oleh seseorang yang menguasai dua bahasa tetapi ia menampakkan terjemahan seseorang yang memahami dan menghayati pemikiran dan perwatakan penulisnya. Hanya seorang wartawan yang berfikiran sebagai tukang cerita yang dapat mengikuti sebuah cerita yang lebih besar.

Usaha Datuk Kadir merupakan sumbangan terjemahan (dan tafsiran) besar dan amat bernilai dalam dunia kewartawanan dan persuratan tanah air.

Baru-baru ini pada 16 Jun, Datuk Kadir mencatat dalam blognya ‘The Scribe.’

Ia sempena genap 43 tahun beliau menjadi wartawan.

Pada pagi hari ini, dalam tahun 1969, saya melaporkan diri di Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sebuah banglo lama di Jalan Tun Abdul Razak. Ketika itu, lebuh hias ikonik itu lebih dikenali sebagai Circular Road atau sekali-sekala disebut Jalan Pekeliling.

Saya datang dengan bas dan kereta api. Dengan bas dari kampung saya, Tanah Merah, Mukim Guar Kepayang, Pendang (ketika itu Kota Star) ke Butterworth. Dari situ, dengan Kereta api Tanah Melayu menggunakan waran kelas tiga yang dikeluarkan oleh Bernama.

Allahyarham ayah memberi pesan sambil menadah tangan ke langit memohon keberkatan. Dia memberikan saya duit saku RM25….

…pesan mutakhir ayah kepada saya adalah “jangan bagi malu keturunan kita.” Bukan alang kepalang pesanan. Bukan sekadar jangan malukan diri atau ibu bapa, tetapi jangan aibkan keturunan.

Seterusnya, Datuk Kadir menceritakan pengalaman awalnya sebagai seorang wartawan

Peristiwa 13 Mei baru sebulan berlalu dan Kuala Lumpur masih dalam ketakutan. Pergaduhan kecil dan perbuatan membakar masih berlaku di sana sini.

Di rumah mayat Hospital Besar Kuala Lumpur masih ada mayat mangsa pergaduhan yang belum dituntut. Sesetengahnya kerana tidak dapat dicamkan manakala yang lain tidak diketahui siapa warisnya.

Di situlah saya melihat iaitu, di saat-saat tragis dan duka, manusia tidak kenal bangsa. Saya melihat ibu Melayu, Cina dan India sama-sama meratap dan berpelukan apabila datang menuntut mayat anak-anak mereka yang beberapa hari sebelum itu saling berbunuhan.

Asap dan abu mengalu-alukan pelawat dan orang yang lalu-lalang di jalan dan lorong yang memisahkan Melayu dan Cina di Kampung Baru, Setapak dan Kampung Pandan.

Perjalanan Datuk Kadir sudah lama dan jauh – dari pinggir Sungai Pendang ke Sungai Danube di Eropah dan Sungai Mississippi di Amerika Syarikat. Sebagai tukang cerita, beliau telah menyaksi, mengalami dan mencatat pelbagai perubahan teknologi

Dari era mesin taip Royal dan Olivetti kepada mesin taip elektrik IBM dan komputer riba. Dari era telefon awam kepada teleprinter telefon pintar dan komunikasi Internet.

Beliau juga menyaksi , mengalami dan mencatat pelbagai transformasi dan revolusi besar dunia

Dari era Perang Dingin yang tegang dan berideologi kepada era pasca-Perang Dingin yang anarkis dan penuh pertumpahan darah.

Di atas semua itu:

saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya keselamatan, kesihatan dan kecekalan, dan berterima kasih kepada begitu ramai ahli keluarga, guru dan mentor, penyelia dan ketua, kawan dan taulan, pekerja dan majikan DAN, yang paling utama, pembaca setia. Terima kasih.

Kewartawanan tidak boleh wujud tanpa kemanusiaan. Malah, kewartawanan juga adalah ‘agama’  Datuk A Kadir Jasin.

 

 

 

 

 

 

 

2 thoughts on “Justifikasi pemilihan Datuk A. Kadir Jasin sebagai Tokoh Wartawan Negara

  1. […] Majlis penganugerahan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Baca seterusnya… This entry was posted in Uncategorized by admin. Bookmark the […]

  2. […] ucapan penganugerahan ini, Ketua Panel Pemilih, Professor Dr. Ahmad Murad Merican, dari Universiti Teknologi PETRONAS antara […]

Comments are closed.