Kumpulan pertama wartawan program sarjana UUM MPI mula kuliah September

Sebelas orang wartawan tampil sebagai kumpulan pertama yang terpilih mengikuti program sarjana (pengurusan media) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dijayakan bersama dengan Malaysian Press Institute (MPI) bermula September 2012.

Surat tawaran bertarikh 13 Ogos 2012 yang ditandatangani oleh Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Awang Had Salleh, Profesor Madya Dr. Abdul Malek bin Haji Abdul Karim telah dihantar kepada calon-calon yang berjaya itu.

Mereka dijadualkan mendaftarkan diri bagi memulakan program tersebut mulai 1 September 2012. Kuliah bagi Sarjana Sains itu diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad di kampus UUM Kuala Lumpur (UUMKL).

Jangka masa kursus itu adalah antara empat hingga 10 semester, bergantung kepada jumlah jam kredit subjek yang diikuti oleh para pelajar itu sendiri. Bagi setiap kalender akademik, terdapat tiga semester.

Kos program itu bagi satu semester  ialah sebanyak RM1,533.00.

Kumpulan pertama itu terdiri daripada para wartawan yang memiliki ijazah pertama dan pemegang diploma dengan pengalaman kerja tidak kurang lima tahun.

Pada waktu ini, para wartawan itu berkhidmat dengan beberapa media Malaysia, antaranya dari Berita Harian, Harian Metro, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Utusan Malaysia dan New Straits Times.

Program Sarjana Sains Komunikasi UUM ini adalah usaha MPI untuk menyediakan ruang bagi golongan wartawan dan pengamal komunikasi korporat dan perhubungan awam untuk mendalami bidang komunikasi kepengurusan (managerial communication) pada peringkat yang lebih tinggi.

Selepas mendapat ijazah sarjana, mereka juga layak untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat Doktor Falsafah atau PhD.

MPI dan UUM telah mendatangani satu perjanjian untuk melaksanakan program itu di Sintok pada  2 Julai 2012.

Lebih 20 orang wartawan dengan pelbagai latar belakang kelulusan telah mengemukakan permohonan untuk mengikuti program itu.

Tekan sini untuk senarai wartawan yang terpilih mengikuti ijazah sarjana
Tekan sini untuk kalendar akademik 2012/2013.

One thought on “Kumpulan pertama wartawan program sarjana UUM MPI mula kuliah September

  1. […] Kumpulan pertama wartawan program sarjana UUM MPI mula kuliah September […]

Comments are closed.