PENUBUHAN MAJLIS MEDIA MALAYSIA

PENUBUHAN MAJLIS MEDIA MALAYSIA – CADANGAN MPI KEPADA KERAJAAN.

 

  1. NAMA

MAJLIS MEDIA MALAYSIA

  1. LIPUTAN MAJLIS

Pada asasnya,  Majlis Media Malaysia adalah sebuah majlis media yang meliputi seluruh media di negara ini,  iaitu media cetak,  media elektronik (penyiaran) dan media internet.

  1. TUJUAN MAJLIS DITUBUHKAN

Secara amnya majlis ini bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar/ media,  sekaligus menjaga kepentingan negara.

  • Memastikan kebebasan akhbar/ media dipertahankan;  liputan yang objektif serta tidak berat sebelah.
  • Menjaga saluran media dengan orang ramai sentiasa terbuka.
  • Menerima aduan orang ramai berhubung tindakan media.
  • Memantau dari semasa  ke semasa undang- undang/ akta berkaitan dengan media.
  • Menjadi badan rujukan berhubung perkara berkaitan akhbar/media/kewartawanan.
  1. BIDANG TUGAS
  • Memberi pendidikan dan pemahaman mengenai media dan persuratkhabaran kepada orang awam,  menerusi bengkel, seminar dan sebagainya.
  • Memberi pandangan atau membuat syor kepada kerajaan berhubung undang- undang dan peraturan berkaitan media sama ada untuk dipinda,  dimansuhkan dan sebagainya,  sesuai dengan keadaan semasa.
  • Bertindak sebagai tribunal bagi menyiasat aduan- aduan berhubung media/ laporan media.  Majlis boleh memanggil wartawan/ pertubuhan media yang diwakili bagi meneliti sesuatu aduan;  serta mencadangkan tindakan yang perlu dilakukan.
  1. BENTUK DAN KEANGGOTAAN MAJLIS

Majlis Media Malaysia adalah sebuah badan self- regulatory atau kawal sendiri,   iaitu pihak media sendiri yang mengawasi perjalanan media di negara ini.  Untuk tujuan  tersebut dua pertiga daripada majlis adalah terdiri daripada pihak media (termasuk media kerajaan) manakala satu pertiga daripada anggotanya terdiri daripada mereka yang tiada kaitan dengan media (orang ternama dan dihormati,  ahli masyarakat termasuk para professional dan akademik).  Keanggotaan pihak media adalah terdiri daripada penerbit, editor dan wartawan.  Oleh kerana negara ini mempunyai akhbar dalam pelbagai bahasa,  perwakilan dalam Majlis hendaklah mencerminkan keadaan ini.  Kewartawanan internet atau siber juga akan diwakili.

  1. HAD KEANGGOTAAN

Ahli politik,  sama ada dari parti pemerintah atau parti pembangkang,  dan dari kerajaan,  tidak boleh menjadi anggota majlis untuk mencerminkan kebebasan Majlis itu.  Bagaimanapun,  RTM dan Bernama boleh diwakili atas sifat profesionnya,  bukan sahaja sebagai mewakili Kerajaan.

  1. PENGERUSI MAJLIS

Pengerusi Majlis Media Malaysia hendaklah seorang hakim mahkamah persekutuan atau hakim mahkamah rayuan,  sama ada yang sedang bertugas atau telah bersara.

  1. BIAYA

Biaya Majlis Media Malaysia hendaklah datang daripada sumber negara,  iaitu dari Peruntukan Perbendaharaan.  Badan- badan media wajar menyumbang kepada Majlis ini.  Dan pembiayaan disalurkan melalui parlimen.

  1. MAJLIS DITUBUH MELALUI AKTA PARLIMEN

Majlis Media Malaysia hendaklah ditubuh sebagai sebuah badan statutory melalui Akta Parlimen.  Majlis yang berbentuk status lebih sesuai ditubuhkan di negara membangun berbanding dengan bentuk sukarela.  Cadangan ini diasaskan kepada model Majlis Akhbar India.

  1. PENUBUHAN MAJLIS MEDIA DAN PEMANSUHAN PERUNTUKAN TERTENTU UNDANG- UNDANG BERKAITAN MEDIA

Untuk sekian lama usaha untuk menubuhkan sebuah majlis akhbar di Negara ini menemui jalan buntu kerana pihak akhbar melihat usaha ini sebagai berkemungkinan menjadi satu lagi alat untuk mengawal akhbar/ media oleh kerajaan.  Usaha untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia ini mendapat tentangan yang serupa jika tidak ada langkah di pihak Kerajaan untuk melonggar beberapa peruntukan undang- undang yang dilihat sebagai mengongkong akhbar/ media di Negara ini.

Undang- undang atau peruntukan yang dianggap mengongkong:

  1. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.  Pembaharuan permit penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.  Peruntukan ini adalah bertindih dengan peruntukan lain yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menggantung dan membatal sesuatu permit jika berlaku perlanggaran terhadap Akta itu.  Seeloknya,  sesuatu permit penerbitan itu diluluskan sekali saja dan tidak dibaharui setiap tahun.  Tindakan memansuhkan pembaharuan permit penerbitan setiap tahun akan menimbulkan muhibbah antara Kerajaan dan akhbar/ media di negara ini ke  arah membentuk sebuah Majlis Media yang benar- benar self- regulatory.
  1. Akta Rahsia Rasmi.  Akta ini amat menggerunkan editor dan wartawan.  Ada kes di mana perasuah boleh berlindung di bawah Akta ini untuk melindungi salahlakunya.  Negara akan kerugian bila ini berlaku.

Walaupun dalam undang- undang ini jelas bahawa klasifikasi sesuatu dokumen sebagai rahsia dan sebagainya hanya boleh dibuat oleh Menteri,  Menter Besar/ Ketua Menteri dan pegawai yang ditauliahkan dengan diberi sijil untuk berbuat demikian,  tetapi pada pandangan umum dan pengamal media semua dokumen Kerajaan adalah rahsia.  Penjelasan berhubung dengan perkara ini boleh menolong menjernihkan keadaan.  Dengan cara ini tugas wartawan adalah lebih mudah dan tidak terasa seperti diancam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

  1.  KENAPA MAJLIS AKHBAR/ MAJLIS MEDIA WUJUD DI TEMPAT LAIN?

Pada asalnya,  majlis akhbar wujud di negara- negara yang tidak dikawal oleh undang- undang berkaitan akhbar,  misalnya Sweden (1916) dan England (1946).  Ia dilakukan supaya akhbar lebih bertanggungjawab kepada masyarakat.

Sebaliknya,  di negara- negara lain undang- undang akhbar diwujudkan untuk mengawal akhbar.  Lazimnya,  akhbar dan media di negara- negara ini bertanggungjawab.

Selaras dengan peredaran masa banyak negara di dunia kini,  sama ada yang mempunyai undang- undang media atau tidak mewujudkan majlis media.  Pada masa ini terdapat kira- kira 50 buah badan yang berbentuk majlis media,  antaranya dikenali sebagai press ambudsman,  majlis akhbar,  majlis media,  suruhanjaya aduan media,  suruhanjaya media.