Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran – buku terbaharu MPI

Inilah wajah buku terbaharu terbitan Malaysian Press Institute (MPI). Buku ini adalah koleksi karya-karya terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) antara 1980 hingga 2011.  Lebih tepat lagi, buku berjudul Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran ini memuatkan 19 buah karya para pemenang Anugerah Kajai sepanjang tempoh itu.

Pemenang pertama Anugerah Kajai, yang diperkenalkan pada 1982  ialah Rosnah Majid, wartawan Utusan Malaysia. Sejak itu, 22 orang wartawan lain telah dinobatkan dengan anugerah itu menjadikan jumlah keseluruhannya 23 orang. Mereka mewakili 7 organisasi berita. Jumlah pemenang melebihi bilangan karya kerana sebanyak tiga kali, karya yang menang dihasilkan oleh dua orang wartawan.

Hanya karya Noraini Nordin, pemenang Anugerah Kajai 1989 yang tidak tersenarai dalam buku ini. Ini kerana karya beliau tidak dapat dikesan, baik di Arkib Negara mahu pun di beberapa perpustakaan lain. Noraini sendiri tidak lagi menyimpan salinan karyanya itu. Karangkraf yang menerbitkan akhbar Watan pada waktu itu, juga tidak menyimpan koleksi lama akhbar tersebut.

Buku ini diterbitkan sebagai panduan untuk wartawan-wartawan muda dan para pelajar kewartawanan di IPTA dan IPTS   menghasilkan karya-karya kewartawanan – berita dan rencana yang bermutu tinggi untuk melayakkan mereka memenangi Anugerah Kajai yang pada waktu ini menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000.00 dan sekeping syiling emas bernilai hampir RM20,000.00 (mengikut harga pasaran April 2012), tajaan PETRONAS.

Hadiah keseluruhan yang ditawarkan oleh HKM bernilai RM300,000.00 setahun.

Di pasaran, Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran dijual pada harga RM49.00. Pembelian langsung dari MPI, harganya hanya RM25.00, termasuk harga pos.

Hubungi MPI 03 20952013/2014 (Encik Ahmad Zaki atau Puan Norlida) untuk mendapatkan keterangan lanjut.

One thought on “Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran – buku terbaharu MPI

  1. […] para pemenang Anugerah Kajai sepanjang tempoh itu. Anugerah Kajai, yang diperkenalkan pada 1982.Baca seterusnya… This entry was posted in Uncategorized by admin. Bookmark the […]

Comments are closed.