Realiti dunia media

Judul buku: Kewartawanan dan Media Era Digital
Pengarang: Chamil Wariya
Penerbit: Malaysian Press Institute (MPI)
Harga: RM35.00
ISBN: 978-967-10918-2-3
Halaman: 243
Pengulas: Ku Seman Ku Hussain, Mingguan Malaysia 23 Julai 2012

WARTAWAN, kewartawanan dan akhbar bercetak mendepani satu realiti baru yang penuh getir pada era Internet. Inilah zaman paling mencabar bagi akhbar bercetak kerana ia bukan lagi sumber berita utama seperti dua dekad lalu. Orang membaca akhbar atau menonton televisyen bukan lagi untuk mendapatkan berita. Sebaliknya untuk mendapatkan analisis, sebab berita boleh diakses menerusi SMS atau sekian banyak portal di Internet.

Orang tidak menunggu pagi esok untuk tahu seputar peristiwa dalam dan luar negara. Malah tidak menunggu empat atau lima jam untuk mendengar berita di radio. Mereka boleh mendapatnya serta merta di portal berita menerusi Internet.

Maka akhbar bercetak perlu selangkah ke depan dalam pemberitaan. Ini untuk mengelak daripada mengulang berita yang semua disebarkan di laman siber. Ini juga memberi cabaran kepada wartawan akhbar pada era Internet untuk mendapatkan sudut yang belum basi bagi pembacanya.

Buku Kewartawanan dan Media Era Digital menyingkap realiti baru dalam kewartawanan pada masa kini. Kebergantungan kepada akhbar bercetak untuk mendapatkan berita sudah berakhir. Ini kerana berita di akhbar bercetak terlewat lebih lapan jam berbanding akhbar dalam talian yang melaporkan pada masa peristiwa berlaku.

Tetapi keadaan ini bukanlah menunjukkan akhbar bercetak akan pupus atau tewas bersaing dengan media digital. Khalayak bukan sahaja memerlukan berita tetapi juga analisis yang lebih mendalam tentang sesuatu perkara. Inilah pula kelebihan akhbar bercetak kerana menyediakan analisis tidak ada di akhbar dalam talian.

Walaupun buku ini merupakan himpunan kertaskerja yang pernah dibentangkan oleh pengarang dan juga rencananya yang disiarkan di akhbar, tetapi memberikan gambaran jelas mengenai kemelut industri media di negara ini dan global.

Buku ini menjawab banyak persoalan terutama mengenai pengedaran akhbar bercetak di negara ini menurun kalau dibandingkan pada dua dekad lalu. Jawapannya kerana penembusan Internet yang tinggi berbanding dua dekad lalu. Internet membawa media baru; portal berita, blog, youtube, media sosial seperti facebook dan sebagainya yang mengambil tempat media arus perdana.

Tetapi menurut pengarang, faktornya bukan sahaja penembusan Internet. Tetapi ia berkaitan dengan persepsi bahawa akhbar bercetak arus perdana menjadi alat propaganda kerajaan. Laporan berat sebelah kepada establishment dan tidak memberi ruang kepada pembangkang. Ini membuatkan pembaca menjauhkan diri dari media arus perdana, tambahan pada masa sama ada media lain yang memberi alternatif iaitu media baru yang dijana oleh Internet.

Sebenarnya faktor yang digariskan oleh pengarang sudah lama disedari oleh sesetengah kalangan pengamal media arus perdana. Mereka bersetuju dengan perkara ini. Sampai suatu ketika akhbar arus perdana mirip kepada buletin parti yang menyiarkan laporan tentang kegiatan parti dan ahli partinya.

Apabila ada media lain termasuk termasuk portal berita yang condong kepada pembangkang, ia diterima sebagai laporan yang bebas. Malah makna kebebasan media juga telah melencong dan membawa erti menghentam kerajaan.

Buku ini juga menyingkap sepintas lalu beberapa akta yang melingkari industri media negara ini. Selain itu tindakan saman oleh pihak tertentu juga menjadi cabaran utama media arus perdana. Apabila media arus perdana disekutukan dengan propaganda kerajaan, tindakan saman memberi kesan kepada perjuangan kebebasan media.

Buku ini bukanlah khusus untuk pengamal media tetapi khalayak umum untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai dunia media pada zaman ini. Walaupun media bercetak semakin kecil pengaruhnya tetapi media tetap berkuasa. Pada masa ini orang politik mempunyai lebih banyak ruang untuk mendapat publisiti, tetapi pada masa sama mereka juga terdedah kepada serangan media yang bertentangan ideologi politiknya.

Pengarang menekankan, kewartawanan baru yang tercetus menerusi media era digital mencabar kewartawanan lama dari sudut kewibawaan dan kebolehpercayaan. Di negara yang media arus perdananya dikongkong oleh kerajaan akan berdepan dengan kehilangan khalayak. Rakyat tidak rugi apa-apa kerana mereka ada banyak akses media. Kerajaan yang rugi kerana propagandanya tidak sampai kepada rakyat apabila media arus perdana merudum.

Hari ini generasi muda adalah khalayak terbanyak media baru. Kerana itu media arus perdana perlu membebaskan diri dari kongkongan untuk memikat generasi muda yang menjadi penentu jatuh bangun politik negara.

Kesimpulannya, kewujudan media baru menerusi Internet boleh dianggap mencetuskan perang persepsi kepada media bercetak khususnya yang arus perdana. Media arus perdana bukan sahaja bertungkus lumus memikat khalayak tetapi juga bertarung untuk menangkis persepsi sebagai “media kerajaan”. Menyedari hakikat ini, media arus perdana wajar dibebaskan kalau benar wujud kongkongan sama ada secara langsung atau tidak langsung. -Mingguan Malaysia, 23 Julai 2012

 

2 thoughts on “Realiti dunia media

  1. […] Baca seterusnya… This entry was posted in Uncategorized by admin. Bookmark the permalink. […]

  2. […] Realiti dunia media […]

Comments are closed.