100 peserta jayakan Forum Media Khazanah Alam PEKA-MPI

Lebih 100 peserta terdiri daripada wartawan, pensyarah dan pelajar  institusi pengajian tinggi  dan  wakil NGO telah menyertai Forum Media Khazanah Alam anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) bersama Malaysian Press Institute (MPI) pada 3 Mac 2015 di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Forum ini diadakan dengan objektif, antaranya sebagai platform untuk mempertemukan para wartawan dengan tokoh/aktivis alam sekitar, pegawai-pegawai tinggi kementerian dan ahli-ahli akademik bagi membincangkan isu-isu semasa dan penglibatan khusus wartawan dalam meningkatkan lagi kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam terutamanya alam sekitar dalam kalangan masyarakat melalui penulisan berita dan rencana.

 Forum setengah hari itu membentangkan dua topik perbincangan. Topik pertama “Pasca Pencerobohan Alam Sekitar : Pengajaran dan Iktibar” menampilkan empat ahli panel iaitu Naib Presiden PEKA, Dr. Abdul Razak Abdul Rahman; Presiden Malaysian Nature Society, Henry Goh (MNS); Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman dan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azman Abdul Rahman.

Diikuti topik sesi kedua “Mendedahkan Kemusnahan Alam : Perkongsian Pengalaman Wartawan”, empat wartawan yang pernah memenangi pelbagai anugerah bercerita dan menghuraikan pengalaman masing-masing ketika membuat pendedahan beberapa isu pencerobohan alam sekitar. Mereka ialah Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan (Pemenang Hadiah Kajai 2006), Pengarang Prosesan KOSMO!, Mohd. Faizal Zakaria (Pemenang Hadiah Kajai 2004), wartawan The Star, Isabelle Lai (Pemenang Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang – PETRONAS 2013) dan wartawan Astro Awani, Tan Su Lin (Pemenang Greentech Media Award 2013).

Pengarang Perunding Kanan Latihan dan Hal Ehwal Perundangan, The Star, T. Selva bertindak sebagai moderator bagi kedua-dua sesi forum tersebut.

Pada akhir forum, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor yang turut menyampaikan ucapan penutup, menerima memorandum daripada Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Antara syor penting yang diketengahkan dalam memorandum tersebut ialah gesaan kepada kerajaan untuk membekukan semua lesen konsesi pembalakan di seluruh negara sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun; mengenakan syarat wajib penanaman semula pokok yang ditebang di kawasan pembalakan dipantau dan dikenakan tindakan tegas sekiranya syarat tersebut gagal dilaksanakan ; mengusulkan Majlis Tanah Negara supaya proaktif dan tegas dalam menguatkuasakan dasar penjagaan hutan selain menyemak Dasar Perhutanan Negara selaras dengan keadaan semasa ; dan menghentikan penukaran guna tanah daripada perhutanan kepada perladangan untuk satu jangka masa panjang.

Para peserta, terutama wartawan kebanyakannya berpuas hati dengan isu-isu yang dibentangkan dan mengambil kesempatan sebaiknya dengan bertanyakan soalan dan bertukar pandangan pada sesi soal-jawab  bersama ahli-ahli panel. Menurut Puan Sri Shariffa Sabrina, respon dan minat para peserta wartawan juga amat memberangsangkan dan berharap forum seperti ini akan dianjurkan lagi bersama MPI pada masa akan datang.

1. Ahli-ahli panel Sesi 1 mengenai “Pasca Pencerobohan Alam Sekitar : Pengajaran dan Iktibar” , dari kiri : Dr. Abdul Razak Abdul Rahman, Naib Presiden PEKA, Henry Goh, Presiden Malaysian Nature Society (MNS), En. T. Selva, Pengarang Perunding Kanan Latihan dan Hal Ehwal Perundangan, The Star (Moderator), En. Meor Razak Meor Abdul Rahman, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), dan En. Azman Abdul Rahman, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

2. Ahli-ahli panel Sesi 2 “Mendedahkan Kemusnahan Alam : Perkongsian Pengalaman Wartawan”, dari kiri : Pengarang Prosesan KOSMO!, Mohd. Faizal Zakaria (Pemenang Hadiah Kajai 2004), Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan (Pemenang Hadiah Kajai 2006), En. T. Selva (Moderator), wartawan The Star, Isabelle Lai (Pemenang Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang – PETRONAS 2013) dan wartawan Astro Awani, Tan Su Lin (Pemenang Greentech Media Award 2013).

3. Meor Razak Meor Abdul Rahman, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM) menghuraikan senario pencerobohan alam sekitar di Sesi 1 “Pasca Pencerobohan Alam Sekitar : Pengajaran dan Iktibar”.

4. Abdul Razak Abdul Rahman, Naib Presiden PEKA, turut menyampaikan ceramah sebagai salah seorang ahli panel Sesi 1 “Pasca Pencerobohan Alam Sekitar : Pengajaran dan Iktibar”.

5. Salah seorang ahli panel sesi kedua, Datuk Mohd. Zaini Hassan, Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan ketika menceritakan pengalaman beliau menulis artikel “Kemusnahan Ekologi Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam” yang memenangi Hadiah Kajai 2006.