15 pengamal media program UUM MPI terima ijazah Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon
Gambar oleh: Seksyen Fotografi

UUM ONLINE: 25 Oktober – Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa menyediakan peluang pendidikan bagi semua golongan untuk memajukan diri di universiti ini menerusi program-program tertentu seperti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasa modal insan melalui Pembelajaran Sepanjang Hayat.

kolaj graduasi UUM

Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata hasil daripada inisiatif itu jelas terbukti dengan kejayaan pelajar-pelajar dari pelbagai latar belakang  yang mengikuti program berkenaan berjaya memperoleh ijazah menerusi program yang disediakan itu.”Hari ini kita dapat saksikan golongan seperti ahli politik, pengamal media, wartawan dan penggiat seni berjaya memperoleh ijazah masing-masing melalui inisiatif yang ditawarkan UUM.”

“Untuk menjayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat iniuniversiti perlu fleksibel untuk membantu golongan-golongan tertentu terutama dalam mengatur program pengajian dan jadual pembelajaran yang sesuai dengan kerjaya mereka yang sibuk,” katanya.

Tambahnya ada di antara graduan-graduan ini yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah yang ditawarkan UUM pada peringkat awal dan seterusnya mengikut pengajian peringkat Sarjana.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media bersama graduan yang terdiri daripada ahli politik dan pengamal media selepas sidang kedua Majlis Konvokeysen Ke-28 berakhir tengahari tadi.

Antara yang menerima Ijazah ialah Mantan Ahli Parlimen Sekijang/Bendahari UMNO Johor, Yang Berbahagia Datuk Dr. Baharum Mohamad yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sementara perunding media/mantan pengacara TV, Yusanani Yushak; penyanyi, Zehra Zamri; Pengulas Sukan dan Penerbit Program TV AlHijrah, Jasni Shafie dan Timbalan Pengarah Sinar Harian, ‎Muhammad Mat Yakim menerima Ijazah Sarjana Sains (Komunikasi/Kepengurusan)

Datuk Dr. Baharum Mohamad yang menerima Ijazah PhD (Pengajian Alam Sekitar) merakamkan ucapan terima kasih kepada UUM kerana membuka peluang pembelajaran kepada setiap individu yang mahu memajukan diri sendiri.

“Peluang yang disediakan UUM amat baik dan tenaga pengajar UUM juga sangat komited untuk membantu setiap pelajarnya. Saya berharap ianya dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,”

Mantan pengacara TV, Yusanani Yushak juga senada dengan beliau dan mengucapkan terima kasih kepada UUM khususnya Naib Canselor yang banyak memberi sokongan dan kepercayaan kepada mereka.
“Sokongan yang diterima ini membuatkan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dan dengan dorongan itu jugalah saya dan rakan-rakan meneruskan pengajian peringkat Sarjana sebaik menamatkan peringkat Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Kesemua graduan tersebut menerima ijazah masing-masing pada sidang kedua yang disampaikan oleh Pro-Canselor UUM, Tun Dato’ Sri (Dr.) Ahmad Fairuz Dato’ Sheikh Abdul Halim.

UKK UUM

Tags :