ANUGERAH
41 entiti bantu jayakan Malam Wartawan Malaysia 2019

41 entiti bantu jayakan Malam Wartawan Malaysia 2019

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI),

Datuk Dr. Chamil Wariya pada Malam Wartawan Malaysia 2019,

Hotel Berjaya Times Square, pada 26 April 2019 jam 8 malam

 

Pengenalan

Setinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izinNya jua kita dapat berada di dewan ini pada malam ini untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2019.

Di awal-awal ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, atas kesudian beliau hadir sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2019.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran YBhg Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, selaku penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS sejak 1994.

Selamat datang juga saya panjangkan kepada YBhg Datuk A. Kadir Jasin, Penasihat Khas Media Perdana Menteri Malaysia; pengerusi panel Hakim HKM MPI PETRONAS, Datuk Yong Soo Heong dan panel hakimnya, tokoh-tokoh wartawan, para pengerusi dan ketua pegawai eksekutif media; ketua-ketua pengarang; para pengarang, para wartawan yang kita raikan, sahabat-sahabat korporat MPI yang turut menghulurkan penajaan dan sumbangan untuk menjadikan malam ini satu realiti.

Kali ini, 41 entiti yang terdiri daripada badan-badan korporat, kementerian kerajaan Persekutuan dan negeri, tampil sebagai penaja manakala 13 entiti yang lain menyumbang kewangan serta pelbagai produk untuk dijadikan oleh-oleh bagi dibawa pulang oleh 800 orang tetamu yang hadir.

Terima kasih, terima kasih dan terima kasih kepada semua atas kemurahan hati membantu dan melapangkan waktu untuk bersama-sama pada majlis ini.

 

MPI dan latihan

Malaysian Press Institute ialah sebuah institusi latihan kewartawanan tertua di negara ini. Ditubuhkan pada 17 Mei 1967 dengan nama South East Asia Press Centre; kemudian ditukar namanya kepada Malaysian Press Institute (MPI) pada 19 Julai 1974 dan menjadi sebuah yayasan dengan nama yang sama pada 13 April 2007.

Kita bukan sahaja menganjurkan kursus-kursus jangka pendek yang berbentuk praktikal untuk golongan wartawan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan, selain menambah pengetahuan mengenai bidang-bidang yang khusus.

Kita juga dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan program ijazah sarjana dalam bidang managerial communication atau komunikasi kepengurusan khusus untuk golongan wartawan. Tiga kumpulan wartawan telah menamatkan pengajian tersebut.

MPI juga menjalin kerjasama dengan Institute of Journalism Study, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia yang dianggotai oleh para pensyarah komunikasi, media dan kewartawanan IPTA bagi mengadakan Forum Media Kebangsaan setiap tahun.

Pada tahap peribadi, saya pernah menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Penyelidik Kunjungan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan masih menjadi Adjunct Professor di USM dan Ahli Lembaga Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir di UUM.

Alang-alang YB Dr. Maszlee Malik telah hadir, MPi ingin memohon restu daripada beliau dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk MPI masuk ke sekolah-sekolah menengah bagi menganjurkan kursus-kursus kewartawanan dan penulisan untuk para pelajar dan para guru. Mungkin ini boleh dilakukan dengan menubuhkan kelab-kelab media dan kewartawanan di sekolah-sekolah bagi mengasuh mereka dengan penulisan beretika sewaktu menggunakan pelbagai media sosial yang mereka miliki.

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS

Tahun ini, Hadiah Kewartawanan Malaysia berusia 38 tahun. Keputusan MPI untuk menganjurkan sebuah hadiah kewartawanan yang bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia diumumkan pada 30 Januari 1981 dan Malam Wartawan yang pertama pula berlangsung pada 16 September tahun yang sama bagi mengiktiraf karya-karya yang dihasilkan sepanjang tahun 1980.

Syukur alhamdulillah, HKM dan Malam Wartawan Malaysia dapat bertahan hingga ke saat ini. Sejak 1994, hadiah wang tunai kepada para pemenang ditaja oleh PETRONAS. Pada mulanya RM70,000, kemudian ditambah menjadi RM150,000 dan mulai 2005 hingga sekarang, ganjaran wang tunai itu ditambah menjadi RM300,000 setahun. Terima kasih PETRONAS dan Tan Sri Wan Zulkiflee kerana sokongan yang diberikan kepada program tahunan MPI ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, MPI terus menerima penyertaan yang memberangsangkan. Tahun ini kami menerima 268 penyertaan untuk 20 kategori yang dipertandingkan; selain pencalonan untuk anugerah khas dan Tokoh Wartawan Negara.

Seperti lazimnya, para pemenang dan penerima sagu hati akan diketahui sebentar lagi. Kepada mereka yang bakal mengungguli HKM MPI PETRONAS Malam Wartawan Malaysia 2019, saya ucapkan tahniah. Kepada yang tidak berjaya, cuba lagi tahun hadapan. Mana tahu giliran anda pula menjadi juara.

Penghargaan juga ingin saya panjangkan kepada badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan – Persekutuan dan negeri – serta organisasi media itu sendiri yang tidak jemu-jemu menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia yang kita anjurkan setiap tahun sejak hampir empat dekad yang lalu. Hanya Allah SWT yang dapat membalas budi baik kalian. Demi ketelusan, para penaja dan penyumbang kami senaraikan dalam buku program yang diedarkan malam ini.

Akhir sekali, bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir MPI yang bekerja keras untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2019, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia, atas kesudian beliau melapangkan waktu beliau untuk menjadi tetamu kehormat pada majlis ini. Terima kasih Dr.

Sekian. Terima kasih.