MPI dan IJS dalam peringkat akhir muktamadkan kerjasama

Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies (IJS), UiTM kini dalam peringkat akhir memuktamadkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penganjuran persidangan yang berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi.

Butiran kerjasama ini akan dimaktubkan dalam satu perjanjian persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani tidak lama lagi. Objektif utama kolaborasi MPI dan UiTM itu adalah untuk membantu pengamal media menjadi pekerja ilmu atau knowledge worker dengan mendedahkan mereka kepada perkembangan terkini bidang mereka menerusi seminar, persidangan, simposium serta kerja-kerja penyelidikan yang berkaitan.

Butiran MoU ini yang disediakan oleh Jabatan Undang-Undang UiTM telah disepakati dalam satu perbincangan antara MPI dan IJS yang diadakan pada 10 Jun 2015 di MPI. Pada perbincangan ini, MPI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya, Pengurus Hal Ehwal Korporat, Norlida Jamian, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Nuzatul Shima Sulaiman dan Penolong Pengurus Latihan, Norhafiza Kamaluddin manakala  IJS diwakili Pengarahnya, Encik Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli dan Felo Kanan,  Dr. Siti Zabedah Mohd Shariff

Majlis menandatangani MoU ini dijangka diadakan selepas Aidilfitri tahun ini.  Naib Canselor UiTM, Dato’ Prof Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dijangka akan menandatangani mewakili IJS/UiTM manakala Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya akan menandatangani bagi pihak MPI.

Menurut Datuk Dr. Chamil, MPI menyambut baik kerjasama ini kerana ia akan membawa banyak keuntungan kepada kedua-dua pihak. Beliau memberitahu MPI dan IJS akan bekerjasama menjayakan Forum Media Kebangsaan yang bakal berlangsung pada September tahun ini terutamanya dalam melibatkan pakar dan penceramah IJS, selain pengamal media berpengalaman dalam industri media. Naib Canselor UiTM pula akan dijemput merasmi dan menyampaikan ucaptama.

Encik Amirul pula berkata:“Kami berminat menjalin kerjasama dengan MPI kerana kepentingannya  sebagai sebuah pusat latihan kewartawanan yang unggul dan pengaruhnya di kalangan peneraju pertubuhan-pertubuhan media di Malaysia. Persidangan ilmiah yang bakal dianjurkan bersama oleh IJS dan MPI bukan sahaja membawa keuntungan intelektual kepada para pelajar kami, malah ia juga memberi peluang kepada mereka bertemu dan berdiskusi dengan pengamal-pengamal media tanahair”.

1. Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk  Chamil Wariya (tiga dari kanan) sedang menerangkan sesuatu ketika perbincangan berlangsung. Staf MPI yang turut hadir, Puan Norlida Jamain, Pengurus Hal Ehwal Korporat (dua dari kanan), Puan Nuzatul  Shima Sulaiman, Pengurus Pembangunan dan Pemasaran dan Puan Norhafiza Kamaluddin, Penolong  Pengurus Latihan (tiga dari kiri).

2. Tunggak utama Institute of Journalism Studies (IJS) – Pengarahnya, Encik Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli (kiri) dan Dr. Siti Zabedah Mohd Shariff , Felo IJS (kanan) yang juga Pensyarah Kanan (Kewartawanan) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM.