Akta Perlindungan Kewartawanan perlu diwujudkan

Laporan asal boleh dilihat disini : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/484334/akta-perlindungan-kewartawanan-perlu-diwujudkan

SUBANG JAYA: Kerajaan digesa mewujudkan Akta Perlindungan Kewartawanan bagi melindungi hak wartawan untuk tidak mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh dalam menyediakan laporan berita.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya, berkata langkah itu penting kerana ketika ini, wartawan yang enggan mendedahkan sumber maklumat mengenai satu-satu berita boleh dikenakan tindakan kerana bersubahat dengan mereka yang melakukan kesalahan.

Malah, katanya, ketika ini wartawan enggan mendedahkan sumber mereka berisiko untuk didakwa.

“Malaysia perlu ada akta perlindungan ini. Di beberapa negeri di Amerika Syarikat ada undang-undang ini yang dikenali sebagai Shield Act yang mana wartawan dilindungi undang-undang untuk tidak mendedahkan sumber berita mereka,” katanya menjawab soalan ketika menjadi ahli panel pada syarah umum bertajuk Dasar dan Peraturan Baharu Media Malaysia Baharu anjuran Sekolah Komunikasi Universiti Taylor di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel ialah Profesor Media dan Komunikasi, University of Nottingham Malaysia, Prof Zaharon Nain dan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron.

Chamil berkata, dengan semangat Malaysia baharu yang memberi kebebasan kepada media, maka sudah tiba masanya undang-undang melindungi wartawan itu diperkenalkan.

Katanya, beliau secara peribadi mengalu-alukan pendirian kerajaan mengenai kebebasan akhbar dan tidak perlukan undang-undang yang ketat mengenainya.

“Undang-undang ini bukannya mengikat wartawan atau memberi kebebasan tanpa kawalan tetapi lebih kepada usaha memudahkan kerja wartawan dalam memberikan laporan berita kepada umum,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan peraturan yang membolehkan wartawan mendapatkan maklumat daripada jabatan dan agensi kerajaan.

“Saya fikir peraturan itu diperkenalkan di Selangor dan Pulau Pinang, malangnya semangat kebebasan itu tidak ada. Perlu peraturan ini (kebebasan mendapatkan maklumat) supaya mudah wartawan mendapatkan maklumat untuk menyiapkan laporan mereka terutama dalam isu membabitkan kepentingan awam,” katanya.

Beliau juga mencadangkan adanya jaminan perlindungan daripada kerajaan berhubung kebebasan akhbar ini untuk melindungi hak wartawan daripada sudut Perlembagaan negara.

“Dalam Perlembagaan Negara ada di sebut kebebasan bersuara yang mana pada masa depan kebebasan media ini boleh ditafsirkan sebagai kebebasan bersuara,” katanya