Anugerah KPDNKK 2014: Ulasan Ketua Panel Hakim

Ulasan yang dizahirkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBhg. Datuk Chamil Wariya selaku Pengerusi Panel Hakim Anugerah Media KPDNKK 2014 sempena penyampaian hadiah kepada para pemenang di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 26 September 2014. Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato’ Sri Hasan bin Malek.

Pertama-tama saya ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), khususnya kepada YB Menteri KPDNKK kerana telah “menghidupkan semula” Anugerah Media KPDNKK 2014.

Saya sengaja menggunakan frasa “menghidupkan semula” kerana anugerah media ini kali terakhir diadakan pada 2010, tetapi entah mengapa ia kemudiannya tiba-tiba lenyap begitu sahaja tanpa sebarang berita. Rupa-rupanya barulah kita tahu bahawa anugerah itu belum lagi mati, tetapi sekadar pengsan atau koma sahaja menurut istilah perubatan. Dan dengan bantuan pernafasan oleh kepimpinan KPDNKK sedia ada, anugerah ini kembali bernyawa dan menemui kita pada malam ini. Syukur alhamdulillah.

Bagi pihak 36 organisasi media yang menganggotai Malaysian Press Institute (MPI), saya menyambut baik kemunculan semula Anugerah Media KPDNKK. Saya juga menghargai KPDNKK kerana pihak MPI dibabitkan sebagai sekretariat penghakiman dan saya pula diamanahkan untuk mengetuai panel hakim untuk memilih para pemenang anugerah. Sesungguhnya ini adalah penghormatan buat diri saya dan juga MPI.

Bagi kami di MPI apa juga usaha kerajaan atau kementerian serta pihak-pihak lain untuk memberi pengiktirafan kepada kerja berkualiti golongan wartawan memang senantiasa disambut baik. Ia adalah cara amat baik untuk menggalakkan para wartawan bersaing sesama sendiri secara sihat bagi menghasilkan karya bermutu tinggi bagi membantu melahirkan pengguna yang bermaklumat dan bijak. Dan dalam kes Anugerah KPDNKK ini, kegembiraan komuniti wartawan tentulah dizahirkan dengan iringan doa, semoga umurnya panjang. Amin.

Secara prinsipnya apa juga tulisan dan laporan yang menyentuh isu-isu kepenggunaan, perdagangan domestik dan koperasi yang dihasilkan dalam tempoh setahun antara Julai 2013 hingga Ogos 2014 layak menyertai Anugerah KPDNKK 2014. Sepanjang tempoh 12 bulan itu ratusan atau malah ribuan laporan, baik yang berbentuk berita, rencana, komentar, temuramah yang dihasilkan oleh wartawan telah dipantau oleh pihak kementerian. Ia bukan sahaja laporan-laporan yang memperkatakan mengenai kegiatan KPDNKK dan agensi-agensi di bawahnya, tetapi juga meliputi laporan dan tulisan yang membantu mendidik dan menyedarkan masyarakat mengenai hal-hal perdagangan dalam negeri, kepenggunaan dan koperasi baik yang disiarkan oleh media cetak iaitu akhbar dan majalah, media elektronik, televisyen dan radio.

Terdapat empat kategori penyertaan untuk Anugerah Media KPDNKK kali ini iaitu Anugerah Kewartawanan Media Cetak; Anugerah Kewartawanan Media Elektronik – Televisyen; Anugerah Kewartawanan Media Elektronik Radio dan Anugerah Kewartawanan Foto. Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.00, tempat kedua RM2,000.00 dan ketiga RM1,000.00. Dan tidak mustahil, kalau anugerah ini dilanjutkan pada masa-masa akan datang, kategori anugerah ini akan bertambah dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan.

Setelah melalui penelitian pada beberapa peringkat tapisan, maka diputuskan bahawa 69 artikel yang dimuatkan dalam media cetak, 15 laporan yang disiarkan oleh televisyen, 7 program bual bicara radio, dan l0 penyertaan dalam bidang foto, layak ke pusingan akhir untuk dipilih sebagai pemenang.

Saya ingin tegaskan bahawa pemilihan pemenang telah dilakukan berdasarkan penelitian rapi dengan mengambil kira dua faktor: pertama – kualiti produk kewartawanan itu sendiri yang bertunjangkan kepada kandungan, arah tuju editorial, kualiti penyelidikan, gaya penulisan dan penceritaan. Bagi pelaporan televisyen pula selain kandungan, hala tuju editorial dan kualiti penyelidikan, turut dinilai adalah elemen-elemen inovasi, penyampaian dan kualiti videografi. Selain itu, elemen-elemen asasi kewartawanan seperti ketepatan fakta, keseimbangan dan kesaksamaan editorial, kepelbagaian sumber dan responden yang dimanfaatkan, kedalaman kajian dan penyelidikan, juga diambil kira.

Faktor kedua pula ada kaitan sama ada produk-produk kewartawanan itu memberi sumbangan positif terhadap memahamkan dan menyedarkan khalayak terhadap isu-isu yang ada hubungan dengan perdagangan domestik, kepenggunaan dan koperasi.

Di nilai di sini bukanlah hanya kegiatan dan kenyataan YB Menteri KPDNKK atau pegawai-pegawai kanannya yang lain semata-mata, tetapi sama ada pelaporan-pelaporan yang dihasilkan yang sumbernya mungkin pihak menteri atau pegawai-pegawai kanan yang lain itu, telah digarap sebagai sebuah karya yang menarik persembahannya untuk ditatapi oleh khalayak yang terdiri daripada pembaca akhbar, penonton televisyen atau pendengar radio. Sekiranya karya-karya itu memenuhi kedua-dua syarat itu, dan karya yang dihasilkan itu pula mempamerkan elemen-elemen kewartawanan bermutu tinggi, maka layaklah ia untuk dinobatkan sebagai pemenang, meraih tempat kedua dan ketiga.

Menjadi adat bertanding, ada yang menang dan kalah. Kepada pemenang, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Kepada yang tidak menang, jangan berputus asa; tingkatkanlah usaha untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi pada masa-masa akan datang. Saya percaya sekiranya kita berusaha dan terus gigih berusaha, pulangan dalam bentuk kemenangan akan jatuh ke riba jua akhirnya. Sekali lagi tahniah kepada KPDNKK yang telah menjelmakan semula anugerah ini.

1. Chamil (kanan) mengiringi Dato’ Sri Hasan Malek (dua kanan) pada majlis penyampaian Anugerah Kewartawanan KPDNKK 2014 pada 26 September 2014 di Kuala Lumpur. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Haji Ahmad (dua kiri).

2. Chamil (kanan) bergambar kenangan bersama Pengarang Kosmo, Datuk Baharom Mahusin berlatar belakangkan backdrop Anugerah Kewartawanan KPDNKK 2014.

3. Akhtar Shaari, Ketua Komunikasi Korporat KPDNKK mewakili KPDNKK dalam panel hakim Anugerah KPDNKK 2014.

4. Chamil (dua kiri) mempengerusikan mesyuarat Panel Hakim Anugerah KPDKK 2014 di MPI pada 23 September 2014.

5. Hamzah Md Sidek, mantan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, seorang lagi panel hakim KPDNKK.

6. Memuktamadkan pemenang: Chamil (kiri) menzahirkan penghargaan kepada panel hakim. Dari kanan: Hamzah, Mohd Fadhil Mohd Shariff , Sait Yaman dan Akhtar.