Anugerah Media CIDB rangsang karya bermutu industri pembinaan

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya, selaku pengerusi penal hakim Anugerah Media CIDB 2019 pada Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 7 November 2019, di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.

Pertama-tama saya ingin mengucapkan tahniah kepada CIDB dan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) atas penganjuran Anugerah Media Pembinaan CIDB 2019 dan Malam Penghargaan Media KKR pada malam ini.

Ini merupakan majlis kali ketiga untuk meraikan dan menghargai para pengamal media bagi tahun 2019, selepas majlis pertama diadakan di Kuching, Sarawak dan di Kota Kinabalu, Sabah bulan lalu.

Dan kehadiran Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian sendiri serta pegawai-pegawai tinggi KKR dan CIDB pada ketiga-ketiga majlis yang diadakan adalah testimoni bahawa pimpinan tertinggi KKR berhasrat untuk memberi penghormatan yang tinggi kepada pengamal media yang telah meliputi kegiatan-kegaitan industri pembinaan di negara ini.

Sebentar lagi giliran para pengamal media di Semenanjung pula naik ke pentas ini untuk menerima pengiktirafan bagi penyertaan masing-masing dalam Anugerah Media CIDB 2019.

Bagi Anugerah Media CIDB 2019, kita menerima bilangan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 322 penyertaan, berbanding 292 bagi tahun 2018, 188 bagi tahun 2017.

Ia meliputi penyertaan dari dari wilayah Malaysia – Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sewaktu anugerah ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015, hanya 65 pengamal media menyertainya.

Bukan sahaja bilangan penyertaan meningkat, tetapi kualiti penulisan mengenai industri pembinaan di negara ini juga memperlihatkan peningkatan yang signifikan.

Tentunya sumbangan terbesar Anugerah Media CIDB adalah membangkitkan kesedaran dalam kalangan wartawan untuk memberi liputan yang sewajarnya kepada industri pembinaan Malaysia yang turut menjadi penyumbang utama dalam pertumbuhan GDP negara; dalam menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan sebaliknya serta melahirkan begitu banyak usahawan dalam bidang pembinaan.

Berdasarkan penyertaan yang diterima, penal hakim mendapati bahawa karya-karya kewartawanan yang dihasilkan, baik media cetak atau elektronik, menyentuh pelbagai aspek berkaitan industri pembinaan; ini meliputi empat teras dan 20 inisiatif Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang dijuari oleh CIDB iaitu aspek kualiti, keselamatan dan profesionalisme; kelestarian alam sekitar atau environmental sustaintablity; produktiviti dan pengantarabangsaan industri pembinaan.

Dari satu segi adalah jelas bahawa Anugerah Pembinaan CIDB dalam tempoh lima tahun ini telah mendorong kepada kelahiran wartawan yang seolah-olah sudah menjadikan pembinaan satu bidang yang khusus untuk mereka terokai.

Ada hakim yang berpendapat wartawan-wartawan khusus ini sepatutnya dilarang untuk menyertai CIDB untuk memberi peluang kepada wartawan lain untuk menang.

Saya berharap Anugerah Pembinaan CIDB ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang. Selaku sekretariat penghakiman anugerah, pihak Malaysian Press Institute (MPI) ingin merakamkan penghargaan kepada CIDB dan juga KKR atas kepercayaan yang telah diberikan kepada kami.

Datuk Dr. Chamil Wariya menyampaikan ucapan kepada tetamu majlis.
Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya, menyerahkan poster Anugerah Media Pembinaan CIDB 2020 kepada Datuk Dr. Chamil Wariya selaku wakil media.