Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan berlangsung meriah

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2019 berlangsung meriah pada petang 14 November 2019 lalu di Klana Resort, Seremban.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun dalam satu majlis santai yang diserikan oleh dua penghibur tersohor negeri itu – Aishah dan Hael Husaini.

Malaysian Press Institute (MPI) yang bertindak sebagai sekretariat bagi kategori media diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya pada majlis tersebut.

Acara pada petang itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negara Ku dan Malaysia Bersih, diikuti oleh ucapan Menteri Besar dan penyampaian sijil penghargaan kepada para penal hakim dan pemenang.

Bagi kategori media, wartawan RTM, Hanna Adlint Nasatiun binti Ahmad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kewartawanan Sri Sembilan. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000. 

Hanna juga diangkat sebagai pemenang Anugerah Kewartawanan Televisyen Cemerlang yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000. 
Wartawan the Star, Chitra Santhi Nathan mengungguli Anugerah Kewartawanan Media Cetak Cemerlang; Farhana Nabillah binti Zakakria pula memenangi Anugerah Kewartawanan Radio Cemerlang. 

Bagi kategori Anugerah Kewartawanan Jurufoto Cemerlang, pemenangnya ialah Iqmal Haqim bin Rosman dari akhbar New Straits Times. 

Teh Derwoei, yang mewakili Nanyang Siang Pau pula menjadi pemenang Anugerah Kewartawanan Rencana Cemerlang manakala Anugerah Rencana Pembangunan Negeri Sembilan  (individu) digondol oleh Mohd Ifwan bin Tun Tuah dari Berita Harian.

Rakaman gambar :

Tetamu majlis berdiri hormat ketika lagu kebangsaan ‘Negaraku’ berkumandang.

Dari kiri, Tuan Mohamad Nazaruddin Sabtu (Pengerusi Bertindak Kebudayaan & Adat Istiadat Melayu), Dato’ Zulkefly Mohamad Bin Omar (Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri), Dato’ Seri Haji Aminudin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan), Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara 1991), Datuk Dr. Chamil Wariya (CEO MPI), Prof Dr. Yahya Ariffin (Penolong Naib Canselor USIM).