BENGKEL MEDIA MYCC TUTUP TIRAI KURSUS MPI 2016

Bengkel mengenai Akta Persaingan 2010 telah diadakan buat kali kedua pada Rabu, 14hb Disember 2016 di Hotel Sunway Putra, Sunway Putra Place, Kuala Lumpur anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) setelah bengkel yang sama dianjurkan tahun lepas mendapat sambutan yang menggalakkan dari pihak media.

dec-mycc-01

  1. Penyampaian penceramah yang santai dan ceria telah menarik minat para peserta.

Seramai 22 orang pengamal media di Malaysia termasuk media cetak, penyiaran (radio & TV) dan portal berita telah menghadiri bengkel sehari ini.

Mereka terdiri daripada Dewan Bahasa & Pustaka disertai seramai 3 orang, BERNAMA 2 orang, BERNAMA Radio 1 orang, RTM 3 orang, KOSMO! 3 orang, Utusan Malaysia 2 orang , Nanyang Siang Pau 1 orang, Berita Harian 1 orang, Harian Metro 1 orang, The Sun 1 orang, Malay Mail 1 orang, Portal Malaysia Gazette 1 orang, The Star  1 orang dan New Straits Times 1 orang.

dec-mycc-02

  1. Antara peserta yang hadir sedang membincangkan jawapan untuk kuiz yang diajukan oleh penceramah bagi menguji minda dan kefahaman tentang isu-isu Suruhanjaya Persaingan.

Tujuan bengkel diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai isu persaingan dan seterusnya memupuk pematuhan dikalangan ahli perniagaan.

Sehubungan itu, MyCC telah mengenal pasti bahawa pihak media sebagai salah satu daripada pihak berkepentingan bagi menyebarkan maklumat berkenaan perkembangan kes-kes mahupun program advokasi yang akan dan sedang dijalankan oleh pihak MyCC disamping memperbetulkan persepsi negatif ke atas Akta Persaingan Malaysia.

Akta ini dilaksanakan untuk menggalakkan persaingan sihat dalam perniagaan yang seterusnya akan merangsang produktiviti dan inovasi, lantas mewujudkan pilihan produk atau servis yang lebih banyak kepada pengguna dan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.

dec-mycc-03

  1. Para peserta bergambar kenangan diakhir bengkel bersama penceramah pertama, Encik Iskandar Ismail, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MyCC (duduk tiga dari kanan) dan penceramah kedua, Prof Datuk Ahmad Redzuan Abd. Rahman, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM (duduk empat dari kanan) dan juga sekretariat MyCC & MPI.

Antara kekuatan yang terdapat dalam bengkel ini ialah penceramahnya, Encik Iskandar bin Ismail, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MyCC yang merupkan pakar dalam menyampaikan maklumat dan penerangan tentang jenis perniagaan dan contoh tipuan atau manipulasi yang berlaku di Malaysia.

Ceramah yang beliau sampaikan membolehkan para peserta memahami secara dengan lebih mendalam tentang peranan MyCC yang merangkumi aspek asas Akta Persaingan 2010 tersebut.