Luncheon Talk
Bicara Makan Tengah Hari Bersama Menteri KPDNHEP mendapat sambutan

Bicara Makan Tengah Hari Bersama Menteri KPDNHEP mendapat sambutan

Lebih lima puluh editor, wartawan kanan dan wartawan liputan dari pelbagai media diraikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di majlis Bicara Makan Tengahari anjuran Malaysian Press Institute (MPI) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) pada 4 Disember 2018 di Dewan Serbaguna, KPDN & HEP, Putrajaya.

Program ini merupakan yang kelima daripada siri Bicara Makan Tengah Hari yang dirancang oleh MPI bagi mempertemukan barisan kepimpinan/tokoh pembangunan negara dan pakar-pakar kewartawanan/media tanahair sejak ia mula dianjurkan pada 2016.

Secara khususnya, sesuai dengan suasana pentadbiran Kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, objektif utama program ini adalah untuk memberi memberi peluang kepada kepimpinan negara bertemu dan berkenalan dengan para editor, wartawan kanan dan pengamal media tanahair di samping menyampaikan penerangan yang lebih jelas mengenai visi dan misi membawa perubahan dalam pentadbiran dan kepimpinan dalam  kementerian berkenaan.

Memulakan ucapannya berjudul “Media dan Kepenggunaan : Perspektif Negara”, Datuk Seri Saifuddin mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua editor/pengarang dan wartawan kanan yang kebanyakannya juga merupakan rakan-taulan media yang beliau kenali sebelum ini.

Kemudian menjurus kepada kandungan ceramah, antara perkara penting yang beliau sampaikan ialah beberapa perancangan kementerian dalam memberi komitmen dan jaminan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Perancangan-perangan tersebut, antaranya ialah usaha memulakan rundingan dengan pasar raya besar atau ‘hypermarket’ bagi membantu rakyat dengan tidak menaikkan harga barangan popular berikutan pelaksanaan subsidi bersasar mulai tahun hadapan, melaksanakan program ‘Food Bank’ yang bakal dilancarkan akhir Disember nanti bagi meringankan beban golongan rakyat bawahan, memberi jaminan keperluan barangan persekolahan akan dijual dengan harga berpatutan di pasaran dan menghidupkan kembali Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang pernah dibuat oleh kerajaan lepas.

Para editor dan wartawan kanan yang hadir, antaranya ialah : Datuk Zulkefli Hamzah (Utusan Malaysia), Datuk Zakaria Abd. Wahab (BERNAMA), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (BH), En. Sofwan Mahmood (Media Prima), En. Suhaimi Sulaiman (Astro AWANI), En. Saidee Yaacob (TV AlHijrah), En. Tuan Mohd. Asri Tuan Hussein (Harian Metro), En. Azmi Tarmizi (Sinar Harian), En. Rozaid Abdul Rahman (STAR Media Group), Datin Rohana Mustafa (BERNAMA), En. Roslan Ariffin (BERNAMA), Puan Siti Hawa Othman (BERNAMA), En. Mohd. Faiz Othman (IKIMFM), Cik Nurul Azleena Mhd. Najri (Media Prima), En. Azhari Muhidin (Media Prima), En. Hashim Anang (Kumpulan Karangkraf), En. Muhamad Ali Alimin (Astro AWANI), En. Zubairy Abdullah (RTM) dan Puan Jumaahtun Abdul Ghani (RTM).

Program ini turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Ahli Majlis Pentadbir MPI iaitu: Datuk Mustapa Omar, En. Foo Tick Fat (Nanyang Siang Pau), Choo Joon Kian (Sin Chew Daily) dan Puan Sri Diah (Kumpulan Karangkraf).

Manakala pengurusan tertinggi KPDN & HEP yang turut hadir ialah YB Tuan Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan YBhg. Datuk Muez Abd Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan).

Pada sesi soal-jawab bersama para hadirin, empat editor bertanyakan soalan – En. Hashim Anang (Kumpulan Karangkraf), En. Rozaid Abdul Rahman (STAR Media Group), Datuk Zulkefli Hamzah (Utusan Malaysia) dan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (BH) sebelum majlis berakhir dengan makan tengahari.

Bicara Makan Tengah Hari ini satu-satunya siri bagi tahun 2018. Pada tahun hadapan, ia akan diteruskan bersama pemimpin/tokoh yang lain pula.

FOTO SEKITAR MAJLIS BICARA MAKAN TENGAH HARI :

Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyampaikan ucapan bertajuk “Media dan Kepenggunaan : Perspektif Negara”.

Dewan Serbaguna di KPDN HEP, Putrajaya dipenuhi para tetamu terdiri daripada para editor, wartawan kanan dan wartawan liputan dari pelbagai media.
Editor media yang bertanyakan soalan antaranya : En. Hashim Anang dari Kumpulan Karangkraf (kiri), En. Rozaid Abdul Rahman dari STAR Media Group (tengah) dan Datuk Zulkefli Hamzah dari Utusan Malaysia (kanan).
YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI (dua dari kiri) menyampaikan cendera hati kepada YB Datuk Seri Saifuddin Nasution. Turut kelihatan YB Tuan Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri PDN & HEP (kanan) dan YBhg. Datuk Muez Abd Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha, Kepenggunaan dan Pengurusan (kiri).

Aksi formal dan santai para editor ketika merakam kenangan bersama YB Datuk Seri Saifuddin Nasution di sesi grup foto.