CEO MPI dilantik AJK pencalonan KL sebagai Kota Buku Dunia 2020

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Chamil Wariya adalah antara aktivis buku yang dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pelaksana Pencalonan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 atau World Book Capital 2020.

Pelantikan itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ibu Kota Buku Dunia, Dato’ Sri Alias Haji Ahmad dalam sepucuk surat pelantikan bertarikh 2 Januari 2018.

Tekan surat pelantikan di sini

Menurut beliau: “Sebagai ahli jawatankuasa, tugas utamanya ialah untuk mencadang dan merancang pembangunan projek ini serta menyelaras semua aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan dan promosi buku sepanjang masa pencalonan berlangsung. Sekiranya Kuala Lumpur berjaya mendapat gelaran ini, aktiviti ini akan dilaksanakan dari tahun 2018 sehingga 2021.”

Dato’ Sri Alias juga memberitahu bahawa Menteri Pendidikan Malaysia pada dasarnya bersetuju dengan cadangan untuk mencalonkan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020. Persetujuan itu dinyatakan pada 9 Jun 2017.

Cadangan mengemukakan pencalonan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku untuk tahun 2020  dipersetujui oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada 26 Disember 2016. Untuk direalisasikan, cadangan tersebut perlu dikemukakan kepada pihak  Pertubuhan Pendidikan, Sosial dan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan Kota Buku Dunia diberi kepada bandar raya yang berjaya menggerakkan dan menghasilkan pelbagai program yang menghimpunkan industri penerbitan, penulisan serta menggalakan gerakan membaca.

Program ini juga akan menggiatkan aktiviti pemuliharaan dan kepentingan warisan kesusasteraan, budaya dan kesenian sesebuah negara sekaligus menjadikannya sebagai tarikan pelancongan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.