Chamil berkongsi pengalaman dengan bakal pelajar PhD USM

Lapan orang pelajar jurusan Intergrated  Marketing Communication (IMC) Universiti Sains Malaysia (USM) yang baharu sahaja menamatkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Komunikasi dan berhasrat untuk meneruskan pelajaran pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di universiti itu menghadiri sesi berkongsi pengalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya dan pensyarah Universiti Selangor (UNISEL), Nazri Mahamad Yasin pada malam 26 Disember 2014.

Chamil baharu sahaja menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang komunikasi politik di universiti berkenaan pada akhir Oktober 2014 ,manakala Nazri pula kini pada peringkat akhir menyiapkan tesis PhDnya dalam bidang IMC di universiti sama yang dijangka berupaya diselesaikan pada pertengahan 2015.

Pertemuan yang berlangsung di Pusat Pengajian Siswazah USM di Wisma Sejarah, Jalan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur turut dihadiri oleh dua orang lagi pensyarah UNISEL yang baharu sahaja mendaftarkan sebagai pelajar PhD pada Oktober 2014.

Sesi perkongsian pengalaman selama dua jam itu dikendalikan oleh pensyarah kanan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Mohamad Md. Yusof.

Semasa menyampaikan pembentangannya, Chamil telah memberi panduan dan bimbingan untuk menyediakan pembentangan cadangan (proposal), melakukan kerja-kerja penyelidikan, menemuramah responden, menguruskan waktu antara kerja dengan belajar, menulis tesis, panduan menghadapi panel penilai, topik tesis, menghadiri ujian lisan (viva voce) dan berurusan dengan penyelia-penyelia utama dan penyelia bersama.

Menurut beliau, melakukan kerja-kerja penyelidikan tesis PhD, tidak sama dengan sewaktu belajar pada peringkat ijazah pertama atau ijazah kedua yang kurikulumnya sudah diatur oleh pihak universiti dan dilaksanakan oleh pensyarah..

“Menyiapkan ijazah PhD kita tidak boleh mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada penyelia. Penyelia akan memberi bimbingan akademik, tetapi kesungguhan untuk menyiapkan penulisan tesis terletak pada tangan kita sebagai pelajar. Kita yang akan menentukan sama ada kita berjaya menyempurnakan tesis kita atau sebalik,” tegas Chamil.

Beliau juga meminta para pelajar supaya berpegang kepada disiplin yang tinggi kerana melakukan PhD adalah satu maraton yang memerlukan stamina yang berterusan. “Seelok-eloknya biarlah tesis PhD itu disiapkan dalam masa tiga tahun supaya anda graduate on time (GOT),” terang Chamil.

Dalam kes beliau, Chamil menerangkan beliau juga bukan sahaja menjadi pelajar yang mencapai status GOT, tetapi berupaya menyiapkan tesisnya dalam tempoh minimum yang ditetapkan oleh USM iaitu dua tahun atau empat semester.

Chamil mendaftar sebagai pelajar PhD di USM pada 7 Mac 2012 dan tesisnya disiapkan pada hujung Februari 2014.

Tesis yang merupakan satu kajian tentang strategi pemujukan Perdana Menteri Najib Razak dalam komunikasi politik di Perhimpunan Agung UMNO antara 1988 hingga 2013 sewaktu beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Timbalan Presiden UMNO dan Presiden UMNO telah diserahkan pada Mei 2014 untuk tujuan ujian lisan atau viva voce selepas menjalani saringan plagiarisme.

Ujian lisan telah diadakan pada 30 September 2014 di Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM. Sesi viva itu dipengerusikan Ketua Pemeriksa, Profesor Mirza Abas dari Pusat Pengajian Teknologi Pendidikan. Panel tiga pemeriksa pula terdiri daripada Pofesor Madya Dr. Mus Chairil Samani, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)  selaku Pemeriksa Luar dan Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad dan Profesor Madya Dr. Rohani Hashim, pensyarah PPK USM.

Turut hadir pada sesi viva ialah Timbalan Dekan PPK, Dr. Nor Suhadah Mohd Nor dan penyelia utama, Profesor Madya Mohamad Md. Yusof dan Dr. Nik Normah Nik Hasan yang mengikuti sesi itu secara skype dari Tokyo, Jepun di mana beliau sedang menghabiskan cuti sabatikal pada waktu itu.

Selepas ujian lisan selesai dan Panel Pemeriksa mengadakan mesyuarat, Profesor Mirza memaklumkan kepada Chamil, Panel Pemeriksa sepakat meluluskan tesis Phd beliau dengan pembetulan minor.

Tesis mutakhir Chamil, setelah pembetulan-pembetulan kecil seperti yang diminta oleh Panel Pemeriksa dilakukan, dihantar kepada IPS pada 27 Oktober.

Penyerahan tesis mutakhir itu menandakan Chamil telah menamatkan pengajiannya pada peringkat PhD di USM.

Profesor Madya Dr. Jamilah juga memaklumkan tesis itu akan dikemukakan oleh Pusat Pengajian Komunikasi USM sebagai calon tesis terbaik universiti.

Chamil (enam dari kiri) dan Profesor Mohamad Md Yusof (lima kiri) bergambar kenangan selepas sesi perkongsian pengalaman berakhir dengan pelajar IMC Pusat Pengajian Komunikasi USM, Kuala Lumpur yang baharu sahaja menyempurnakan Ijazah Sarjana yang berminat untuk belajar pada peringkat PhD di Wisma Sejarah. Sesi diadakan pada 26 Disember 2014 jam 10.30 malam.