Chamil Tokoh Media 2015 USM

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya yang juga alumni Universiti Sains Malaysia (USM) telah di ‘nobatkan’ sebagai Tokoh Media 2015 USM.

Penganugerahan itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A Hassan pada Malam Media@USM yang berlangsung di Hotel St. Giles Wembley, George Town, Pulau Pinang pada 19 Mei 2015.

Dalam penghargaan (citation) yang dibacakan oleh Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam, Encik Mohamad Abdullah sempena penganugerahan itu, beliau menyatakan bahawa gelaran itu diberikan untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan Datuk Dr. Chamil selama 36 tahun mengabdikan diri dalam bidang kewartawanan pada pelbagai kapasiti, bermula sebagai pemberita kadet pada Jun 1971 sehinggalah beliau bersara pada penghujung 2007 sebagai Pengurus Besar merangkap Ketua Editor, Divisyen Berita dan Ehwal Semasa TV3.

Dalam tempoh hampir empat dekad itu, Datuk Dr. Chamil telah berkhidmat dalam kewartawanan cetak – akhbar harian, akhbar mingguan dan majalah sebagai wartawan dan pengarang; kewartawanan radio dengan Perkhidmatan Luar Negara British Broadcasting Corporation (BBC) di London dan seterusnya kewartawanan TV dengan TV3.

Datuk Dr. Chamil juga adalah pengarang buku kewartawanan yang prolifik. Beliau telah menghasilkan 45 judul buku dan salah sebuah daripadanya. Najib Razak: Pendakian ke Puncak Kuasa, terpilih sebagai buku terbaik Perpustakaan Negara pada 2010.

Buku terbaharu beliau berjudul Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik yang diadaptasikan daripada tesis PhDnya yang dikemukakan di USM dalam proses penerbitan.

Selepas bersara daripada bidang kewartawanan, beliau menerajui MPI, bermula pada 2008 hinggalah sekarang.

Dalam ucapan ringkas selepas menerima anugerah Tokoh Media 2015, yang pertama beliau terima sebagai mengiktiraf jasa beliau dalam dunia kewartawanan, Datuk Dr. Chamil menzahirkan penghargaan terhadap USM yang dianggap sebagai “penghormatan tinggi sebuah institusi ilmu kepada seorang insan biasa.”

Datuk Dr. Chamil menyatakan, sewaktu menerjunkan diri dalam dunia kewartawanan pada pertengahan 1971, beliau tidak mengharapkan apa-apa gelaran kerana menjadi “wartawan adalah cinta pertama saya.”

“Justeru pengiktirafan yang diberikan oleh USM adalah amat bermakna kepada saya dan akan saya simpan dalam hati selagi hayat dikandung badan,” ujar beliau.

Selain Datuk Dr. Chamil, anugerah Tokoh Media 2015 USM juga diberikan kepada seorang lagi alumni USM iaitu Sharkawi Jirim, seorang pengulas sukan dan penyiaran terkenal.

Sharkawi adalah lulusan USM  pada 1974 dan pernah menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), kemudian menjadi penyiar di Radio dan Televisyen Malaysia dan TV3. Kini Sharkawi adalah Editor Urusan Bernama TV, selain bertindak sebagai pengulas sukan di TV3 dan TV9.

Turut hadir pada Malam Media@USM pada malam  itu ialah Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Datuk Dr. Adnan Husin, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Profesor Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad serta pegawai-pegawai kanan dan pensyarah USM yang lain.

Pada Malam Media@USM, 20 orang alumni USM yang kini berkhidmat dengan sebilangan organisasi media arus perdana, turut diberi penghargaan.

Para wartawan yang berkhidmat di Pulau Pinang dan telah membantu memperkenalkan USM kepada khalayak melalui penulisan berita dan rencana mereka juga tidak dilupakan. Karya-karya terbaik yang mereka hasilkan sepanjang 2014 dan 2015 turut dinilai untuk memenangi  pelbagai anugerah yang dipertandingkan.

1. Tetamu di meja VIP Malam Media@USM: Datuk Dr. Chamil (dua dari kiri). Di sebelah kiri beliau ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulfekli A Hassan dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Osman.

.2. Datuk Dr. Chamil menerima plak anugerah Tokoh Media 2015 USM daripada Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli. Turut kelihatan Profesor Datuk Dr. Omar Osman (kanan).

3. Datuk Dr. Chamil menerima koleksi gambar-gambar beliau sewaktu menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli.

4. Bergambar selepas bergelar Tokoh Media 2015 USM. Dari kiri: Datuk Dr. Chamil, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli, Sharkawi dan Profesor Datuk Dr. Omar Osman.

5. Datuk Dr. Chamil menyampai ucapan ringkas selepas menerima gelaran Tokoh Media USM 2015.

Gambar-gambar ehsan Pusat Media dan Perhubungan Awam USM. Terima kasih Encik Mohamad Abdullah, pengarah pusat berkenaan.