Di sebalik menang Anugerah Kajai

MOHD. ASRON MUSTAPHA
Pemenang Anugerah Kajai 2011, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas
BAGI seorang wartawan tiada yang lebih membanggakan daripada memenangi Anugerah Kajai kerana ia merupakan anugerah paling berprestij dalam dunia kewartawanan di Malaysia.
Ini kerana bukan mudah untuk seseorang wartawan memenangi anugerah berkenaan. Ia menuntut dedikasi, komitmen, kualiti, fakta serta penyampaian berita yang meliputi semua spektrum.
Tapisan terhadap berita pula dibuat secara beberapa peringkat oleh panel hakim bebas Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas diketuai Prof. Dr. Mohd. Safar Hasim.
Maka tidak hairanlah senarai pemenang Anugerah Kajai sehingga kini boleh dibilang dengan jari, kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dapat menggapai gelaran tersebut.
Bagaimanapun malam semalam, selepas hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia kewartawanan, penulis akhirnya merasai nikmat bergelar pemenang Anugerah Kajai iaitu anugerah idaman semua wartawan.
Kemenangan itu hasil laporan khas bersiri bertajuk Pencemaran Air Ancam Kesihatan Penduduk Kelantan yang dibuat bersama wartawan, Termizi Che Annuar dan jurugambar, Naim Abdul Aziz.
Lebih manis, anugerah berkenaan disampaikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis penuh eksklusif di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Kemenangan tersebut juga secara tidak langsung kembali mengangkat prestij akhbar Utusan Malaysia setelah beberapa tahun sejak kebelakangan ini sunyi daripada Anugerah Kajai.
Namun apa yang lebih penting, pengiktirafan tertinggi Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu bukan sahaja membuktikan pendedahan kami benar, tetapi turut memberi kemenangan moral kepada rakyat Kelantan.
Ini kerana selepas terkejut dengan pendedahan berani mengenai kualiti air di Kelantan termasuk yang dirawat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) pada November tahun lalu, beberapa pihak mula membuka mata.
Hasilnya tertubuh antara lain Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) bagi memperjuang isu air kerana mereka tidak menyangka selama ini air di negeri itu dicemari pelbagai logam berat serta bakteria E.Coli.
Tidak cukup dengan itu, rakyat Kelantan juga dikejutkan dengan ancaman penyakit taun, kepialu serta leptospirosis kerana hanya 57 peratus daripada 1.54 juta penduduk negeri tersebut menerima air terawat.
Punca utama
Pada masa yang sama, Jabatan Kesihatan Kelantan sendiri turut mengesahkan punca utama kerosakan gigi kepada 96 peratus kanak-kanak berumur bawah enam tahun di Kelantan akibat tidak dibekalkan florida mencukupi oleh AKSB.
Pun begitu, untuk menghasilkan laporan khas bersiri mengenai pencemaran air Kelantan tersebut, ia bukan tugas mudah. Kami mengambil masa dua bulan untuk menghasilkan berita yang lengkap.
Sepanjang tempoh tersebut, dua kali kami ke Kelantan (lima hari untuk satu trip) selepas sampel air pertama yang diambil dari semua daerah di negeri itu tidak memenuhi spesifikasi makmal.
Keadaan itu menyebabkan kami tiada pilihan lain kecuali kembali semula ke Kelantan mengumpul sampel air kedua, berpandukan segala spesifikasi yang ditetapkan makmal berstatus MSO.
Paling mencabar sepanjang tempoh kami mengumpul sampel air adalah sewaktu di Kuala Betis, Gua Musang. Kami terpaksa meredah hutan belantara selama sejam, kemudian mendaki bukit selama sejam.
Ia terpaksa dilakukan kerana lokasi air tandak (air sungai yang ditakung) yang diguna sebagai sumber minuman utama penduduk Kuala Betis terletak jauh di dalam hutan dan di puncak bukit.
Akibatnya, Naim yang ketika itu berusaha untuk mendapat gambar terbaik mengenai kedudukan tandak terjatuh dari atas batu. Beliau mengalami luka di beberapa anggota badan selain seluar turut terkoyak.
Selain itu, kami juga turut berdepan masalah birokrasi ketika hendak mendapatkan maklumat serta pengesahan daripada Kementerian Kesihatan tetapi akhirnya ia dapat diselesaikan.
Dalam pada itu, kami berharap pengiktirafan yang diberi MPI terhadap laporan mengenai pencemaran air di Kelantan mampu membuka mata Kerajaan Pas Kelantan.