Diari Media Januari – Jun 2015

6 Januari

Manis FM rangka strategi untuk membuat keuntungan

Manis FM, stesen swasta pertama di pantai timur yang diambil alih oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan kos RM9.5 juta sedang berusaha keras untuk menjadi sebuah entiti korporat yang menguntungkan. Tugas mencapai sasaran itu dipikul oleh Pengurus Besarnya, Hambali Abdul Latif, mantan wartawan akhbar Berita Harian. Tugas itu tidak mudah kerana sejak kerajaan Terengganu mengambil alih Manis FM pada pertengahan 2011, ia hanya mampu meraih pendapatan iklan sebanyak RM421,243. Kos operasi tahunannya pula berjumlah RM4.146 juta manakala RM1.962 juta dibelanjakan untuk perbelanjaan modal. Manis FM asalnya beroperasi di Kota Bharu, Kelantan dimiliki oleh Husa Network Sdn Bhd. Menurut Hambali, pihaknya akan meningkatkan promosi dan menggerakkan secara tersusun dan agresif menarik pengiklan, selain merombak programnya secara besar-besar untuk memenuhi selera para pendengar di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

7 Januari

Kumpulan Utusan tubuh yayasan untuk lakukan kerja kebajikan

Kumpulan Utusan Melayu mengumumkan penubuhan sebuah yayasan untuk melakukan kerja-kerja kebajikan syarikat itu di bawah program program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR). Hal ini diumumkan oleh pengarah urusannya, Datuk Mohd Noordin Abbas sewaktu menyerahkan cek sebanyak RM50,000 kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek bagi disalurkan kepada Kelab Sukan dan Kebajikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

8 Januari

Menghina mahkamah: blogger dipenjara

Blogger Amizudin Ahmat yang menulis menggunakan nama Din Binjai dipenjara tiga bulan selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau menghina mahkamah kerana terus menerbitkan rencana memfitnah Tan Sri Dr. Rais Yatim, penasihat sosio budaya kerajaan walaupun Mahkamah Tinggi sebelum itu memerintahkannya supaya jangan berbuat demikian. Keenganan blogger itu mematuhi arahan mahkamah itu mendorong Tan Sri Dr. Rais membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkah keputusan yang Amizudin telah menghina mahkamah. Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan hujah peguam Dr. Rais, Tan Sri Shafee Abdullah dan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas blogger itu. Kes itu bermula pada 10 Ogos 2008 setelah Din Binjai menerbitkan satu tulisan berjudul “Hei Pak Menteri, mana mahu lari”. Antara lain, dalam tulisan itu, Din Binjai mendakwa Rais telah merogol orang gajinya dan beliau sanggup untuk membunuh wanita berkenaan untuk merahsiakan perbuatannya itu. Dr. Rais, yang berasa telah difitnah mengheret Din Binjai ke mahkamah atas tuduhan memfitnah. Pada 4 Julai 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tulisan itu telah memfitnah Dr. Rais dan memerintahkan blogger itu membayar kerugian RM300,000 dan kos guaman sebanyak RM100,000 (yang kemudian diturunkan kepada RM50,000). Blogger itu juga diperintahkan supaya tidak lagi menerbitkan tulisan yang menfitnah oleh pihak Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun Din Binjai terus menerbitkan artikel itu – perbuatan yang jelas menghina perintah mahkamah. Akibatnya, Dr. Rais membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan yang mengenakan hukuman tiga bulan penjara ke atas Din Binjai kerana terang-terangan telah menghina perintah mahkamah.

28 Februari

Keuntungan 2014 akhbar The Star merosot

Akhbar The Star melaporkan bahawa keuntungan bagi tahun kewangan 2014 yang berakhir pada 31 Disember 2014 merosot kepada RM111.41 juta, berbanding RM142.87 juta bagi tahun kewangan 2013. Pendapatan bagi tempoh yang sama juga menurun sedikit kepada RM1.01 bilion daripada RM1.02 bilion pada 2013. Sepanjang tempoh 12 bulan pada 2014, akhbar itu mengalami penurunan pendapatan pengiklanan sebanyak 14.8 peratus berbanding 2013.

2 Mac

Kerajaan sedia bantu pulihkan BernamaTV

Stesen saluran berita BernamaTV yang sedang menghadapi masalah serius kewangan hanya boleh dibantu oleh kerajaan sekiranya pemegang saham TV itu bersedia menyerahkan sepenuhnya pegangan sahamnya kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek di satu majlis di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang. Beliau memaklumkan pada waktu ini “kerajaan tidak boleh dilihat membayar dengan mengeluarkan duit rakyat kepada mana-mana syarikat swasta apabila syarikat swasta itu gagal dalam urusan perniagaannya. Dalam soal ini, BernamaTV bukan milik kerajaan sebaliknya adalah sebuah stesen TV swasta.” Perundingan untuk mendapatkan persetujuan penyerahan saham itu sedang berjalan, ujar beliau.

6 Mac

Perdana Menteri saman Mediarakyat.net dan Tony Pua

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak menyaman fitnah portal berita Mediarakyat.net kerana memuat naik tulisan bertajuk Tony Pua: Najib is creating the biggest scandal ever in the history of Malaysia. Tulisan itu pada asalnya adalah kenyataan Tony Pua, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, yang turut disaman oleh Najib sebagai defenden pertama kerana telah memfitnah dirinya. Dalam kenyataannya, peguam Perdana Menteri menyatakan rakaman dalam portal itu telah diakses oleh  197,979 pelayar menerusi YouTube.

29 Mac

4.15 juta baca Metro Ahad; 3.83 juta baca Harian Metro

Metro Ahad dan Harian Metro muncul sebagai akhbar mingguan dan harian yang paling tinggi dibaca oleh rakyat negara ini bagi 2014. Metro Ahad diikuti oleh 4.15 juta pembaca manakala 3.83 juta pula membaca Harian Metro sepanjang 12 bulan yang dinilai. Dibandingkan dengan 2013, data itu adalah peningkatan yang membanggakan bagi kedua-dua akhbar, walaupun edaran edisi cetaknya pada tahun yang sama mengalami kejatuhan.  Berdasarkan laporan firma penyelidikan pengguna dan media, Nielsen Malaysia, peningkatan ketara dalam kalangan pembaca Harian Metro adalah pembaca berumur 15 hingga 19 tahun. Laporan itu juga menunjukkan pembaca dalam kalangan isu rumah berpendapatan RM3,000 ke atas mewakili 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pembaca akhbar berkenaan iaitu peningkatan lima peratus berbanding 2013. Berikut ialah senarai 10 akhbar dengan pembaca tertinggi bagi 2014:

Nama Akhhar Bilangan pembaca
Metro Ahad (Melayu) 4,152,000
Harian Metro (Melayu) 3,826,000
Sin Chew Daily (Cina) 1,197,000
China Press (Cina) 1,072,000
The Star (Inggeris) 1,054,000
BH (Melayu)    983,000
Kosmo! (Melayu)    840,000
Sinar Harian (Melayu)    684,000
Utusan Malaysia (Melayu)    498,000
Nanban (Tamil)    402,000

Sumber: Metro Ahad, 29 Mac 2015

30 Mac

Menyiarkan berita palsu: polis siasat tiga editor The Malaysian Insider

Tiga orang editor kanan portal berita The Malaysian Insider telah disiasat oleh pihak polis atas penyiaran berita yang tidak betul berhubungan laporannya yang menyatakan Majlis Raja-Raja menentang pelaksanaan hukum hudud yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan. Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja, Datuk Seri Danial Syed Ahmad menyatakan berita itu adalah bohong tetapi The Malaysian Insider enggan membetulkannya dan mempertahankan apa yang dilaporkan menggunakan sumbernya adalah betul. Berikutan ada pihak yang membuat laporan polis terhadap berita bohong itu. Pihak polis pula bertindak memanggil tiga orang editor portal berita berkenaan untuk melakukan penyiasatan. Bagaimanapun tiada tindakan diambil terhadap mereka atau portal berita tersebut. Mereka dibebaskan selepas pihak polis gagal mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka. Selepas dibebaskan, salah seorang editor itu, menegaskan portal berita itu akan terus membuat laporan tanpa takut kepada sesiapa. “Kami profesional. Kita cuba melakukan yang terbaik dan setepat mungkin,” tegas beliau.

14 April

Kosmo! jalin kerjasama dengan Antara

Akhbar Kosmo! mengumumkan bahawa pihaknya menjalin kerjasama dengan Kantor Berita Nasional Antara Indonesia (Antara) untuk menerbitkan berita dan rencana menarik dari negara jiran dalam ruangan khusus seminggu sekali. Perjanjian untuk mengadakan kerjasama itu ditandatangan oleh Editor Kosmo! Datuk Baharom Mahusin dan Presiden Direktur Antara, Bapak Saiful Hadi di pejabat Antara di Jakarta sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke republik itu. Menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Nordin Abbas, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya.

22 April

Utusan bantah data pembaca akhbar 2014 nielsen

Kumpulan Utusan mengemukakan bantahan rasmi terhadap The Nielsen Company (Malaysia) Sdn Bhd atau Nielsen dan syarikat itu diminta menjelaskan metodologi yang digunakan bagi selidik data pembaca akhbar 2014. Bagi kaji selidik itu, Nielsen melaporkan bahawa Utusan Malaysia yang edaran bagi 2014, dibaca oleh 498,000 berbanding BH yang edarannya 109,088 yang dibaca oleh 983,000 orang. Kumpulan Utusan mendapati hasil kaji selidik itu adalah tidak logik dan mempersoalkan metodologi serta sampel 10,000 responden yang digunakan oleh Nielsen. Dalam surat kepada Pengarah Urusan Nielsen, Richard Jonathan Hall di Petaling Jaya, Kumpulan Utusan memberi 14 hari daripada tarikh surat itu dikemukakan iaitu 23 April 2015 untuk memberi jawaban.

5 Mei

Memfitnah Husam Musa: NSTP diperintah bayar RM350,000

The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) kekal diperintah membayar ganti rugi RM350,000 kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berhubung kes saman fitnah berkaitan isu dakwaan penyalahgunaan kuasa dan salah urus syarikat air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd Hishamudin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Datuk Wong Dak Wah dan Datuk Umi Kalthum Abd. Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuan syarikat akhbar itu terhadap liabiliti dan jumlah ganti rugi. Korum berkenaan turut memerintahkan NSTP selaku perayu membayar kos berjumlah RM60,000 kepada pemimpin pembangkang tersebut iaitu RM50,000 bagi liabiliti dan RM10,000 bagi jumlah ganti rugi. Pada 17 Februari 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam memerintah perayu membayar RM350,000 serta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh saman difailkan. Husam memfailkan saman fitnah pada 31 Januari 2008 bagi menuntut ganti rugi RM6 juta terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik dan ADUN Paloh, Datuk Norzula Mat Diah dan NSTP berhubung kenyataan berunsur fitnah. Dua wakil rakyat itu mendakwa Husam terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan jenayah pecah amanah dalam pentadbiran kerajaan negeri dan menggesa Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat.

11 Mei

Kes saman fitnah Ibrahim Ali terhadap CEO The Star dibatalkan

Ketua Pegawai Eksekutif akhbar The Star Datuk Seri Wong Chun Wai berjaya membatalkan saman fitnah yang dikemukakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali terhadap beliau. Pesuruhjaya Kehakiman, M. Gunalan ketika membuat keputusan itu berkata saman tersebut tidak berasas malah Ibrahim gagal mengemukakan alasan munasabah terhadap tuntutan berkenaan. Peguam Datuk Seri Wong, Yee Mei Ken berkata mahkamah mendapati tuntutan fitnah itu merupakan salah faham walaupun tidak dinafikan artikel itu ada merujuk kepada Ibrahim namun penulisan artikel itu adalah berhubung keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara, bukannya Ibrahim. Mahkamah juga, ujar beliau, mendapati artikel Wong tidak membawa sebarang sindiran terhadap agama dan mendapati perkataan dalam artikel berkenaan tidak membawa maksud fitnah.

Mahkamah Tinggi putuskan kod etika kewartawanan NUJ tiada asas perundangan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kod etika kewartawanan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) tidak mempunyai asas perundangan dan justeru ia tidak boleh digunakan oleh pengamal media untuk merahsiakan sumber berita yang ditulisnya. Keputusan ini dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Azman Husin sewaktu menolak permohonan wartawan akhbar The Star, S. Tarshini untuk tidak memberi keterangan dalam perbicaraan Yazid Sufaat dan Muhammad Hilmi Hasim atas tuduhan terlibat dalam kegiatan keganasan. Tarshini cuba mengelak menjadi saksi pendakwa yang menggunakan tulisannya dalam kes itu. Beliau enggan mendedahkan sumber bagi menghasilkan tulisan mengenai Yazid dan Muhammad Hilmi. Peguam Tarshini, Syahredzan Johan berhujah adalah menjadi hak seorang wartawan untuk merahsiakan sumber berita untuk melindungi profesion itu.  Kata Syahredzan: “Sumber adalah penting untuk wartawan. Jika mereka mendedahkan sumber mereka, tiada siapa yang akan tampil untuk bercakap dengan mereka.” Menurut beliau lagi sekiranya wartawan itu diarahkan untuk memberi keterangan, ia adalah penindasan terhadap kerjayanya dan kehidupannya yang dilindungi oleh Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan. Hakim Mohd Azman bagaimanapun tidak setuju. Menurut beliau, kod etika kewartawanan NUJ yang digunakan oleh anak guam Syahredzan tidak mempunyai asas perundangan dan wartawan itu tiada pilihan kecuali memberi keterangan. Keputusan mahkamah tinggi itu dicabar oleh Tarshini yang memfailkan penyataan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

18 Mei

Mahkamah tolak saman Ibrahim Ali terhadap The Sun

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman fitnah Datuk Ibrahim Ali terhadap akhbar The Sun serta dua lagi berhubung penyiaran satu artikel dalam akhbar tersebut lima tahun lalu selepas mendapati artikel tersebut tidak merujuk kepada Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Pesuruhjaya Kehakiman, M. Gunalan turut memerintah Ibrahim membayar kos sebanyak RM50,000 kepada semua defenden. Dalam penghakimannya, Gunalan memberitahu selepas meneliti segala keterangan dan hujah, beliau mendapati artikel bertajuk Sultan keeps Perkasa Guessing on Invition hanya merujuk kepada pertubuhan tersebut dan kuasa prerogatif Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. “Adalah tidak dinafikan bahawa artikel yang dikatakan telah memfitnah plaintif sebenarnya menyentuh mengenai Perkasa dan kuasa mutlak Sultan untuk menghadiri perasmian Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan itu. Artikel tersebut tidak pernah merujuk kepada plaintif secara peribadi ataupun secara tidak langsung. Walaupun plaintif merupakan pengasas kepada Perkasa namun adalah tidak wajar atau bertepatan untuk merujuk kepada kedua-duanya sebagai satu entiti. Oleh itu, saya mendapati plaintif merupakan seorang individu dan tidak boleh disamakan dengan Perkasa yang merupakan satu pertubuhan berdaftar,” kata hakim. Hakim Gunalan juga berpendapat sebagai public figure, Ibrahim perlu bersedia untuk berhadapan dengan kritikan daripada masyarakat termasuk media massa. Gunalan turut menyatakan pihak defenden iaitu The Sun telah mengamalkan kewartawanan beretika dengan menghubungi Ibrahim sehari sebelum artikel itu disiarkan namun plaintif sendiri yang enggan memberikan sebarang komen mengenai isu tersebut.

23 Mei

Memfitnah Tony Pua: Utusan mohon maaf, tarik balik artikel

Utusan Malaysia secara rasmi memohon maaf kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua atas penerbitan satu artikel yang diterbitkan dalam akhbar itu pada 15 November 2014 berjudul “Tony Pua, Anwar dirujuk Jawatankuasa Hak, Kebebasan.” Sumber kenyataan itu ialah Tan Tuan Tat pada satu sidang media pada 14 November 2014. Dalam kenyataan maaf yang disiarkan hari ini, akhbar itu menyatakan Utusan Malaysia berasa kesal atas penerbitan artikel tersebut yang menimbulkan rasa kurang senang kepada Tony Pua dan dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang terkandung dalam artikel itu. Utusan Malaysia juga beraku janji untuk tidak menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan atau perkara yang serupa yang dinyatakan dalam artikel itu.

29 Mei

8 juta layari portal Harian Metro

Portal berita akhbar Harian Metro yang boleh dilayari menerusi pautan www.hmetro.com.my mengukuhkan kedudukan selaku peneraju laman berita di Malaysia berdasarkan laporan suku pertama 2015 yang dikeluarkan oleh firma pengukur dunia digital Comscore Inc. Bagi tempoh tiga bulan itu, halaman web Harian Metro itu dilayari oleh 8 juta pengunjung unik atau unique visitor iaitu secara purata 2.5 juta sebulan. Berada di tempat kedua ialah Sinar Harian diikuti oleh BH Online, The Rakyat Post dan Malaysiakini.

Pelayar unik lima portal berita tertinggi Januari – Mac 2015 (000)

Organisasi Januari Februari Mac Jumlah
myMetro 2,758 2,584 2,661 8,003
Sinar Harian 2,563 2,554 2,609 7,726
BH Online 2,644 2,135 2,553 7,332
The Rakyat Post 2,566 2,145 2,509 7,220
Malaysiakini 2,294 2,339 2,305 6,938

Sumber: Harian Metro, 29 Mei 2015/Comscore Inc

2 Jun

Kumpulan Utusan catat kerugian RM81.9 juta pada 2014

Kumpulan Utusan Melayu Malaysia Berhad (UMMB) mencatatkan kerugian sebanyak RM89.1 juta bagi tahun kewangan 2014, berbanding kerugian RM16.2 juta pada 2013. Kerugian itu dicatatkan berdasarkan pendapatan yang turut merosot bagi 2014 iaitu RM291.2 juta berbanding RM324 juta pada 2013. Dalam upaya untuk menjadikan UMMB sebuah entiti yang menjana keuntungan, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Nordin Abbas memberitahu syarikat itu akan memberi tumpuan dalam bidang pendidikan vokasional menerusi penubuhan Institut Vokasional Utusan melibatkan pelaburan  mencecah RM1 juta. Institut tersebut akan menerima kumpulan pertama 150 pelajar pada awal 2016 dengan memberi fokus kepada bidang media dan komunikasi antaranya kewartawanan, fotografi dan seni reka grafik. Selain itu, Kumpulan Utusan menerusi anak syarikatnya, Utusan Studios Sdn Bhd mula membabitkan diri dalam bidang penerbitan program dokumentari melalui penyertaan di Marche International des Programmes de Television (Miptv) di Perancis pada 13 hingga 16 April 2014. “Setakat ini, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom serta Mexico menunjukkan minat terhadap program dokumentari ini,” kata Nordin pada persidangan media selepas Mesyuarat Agung Tahunan UMMB di Kuala Lumpur.

3 Jun

Mingguan Malaysia kekal akhbar bahasa Malaysia nombor 1

Data mutakhir jualan akhbar-akhbar yang diaudit bagi 2014 diterbitkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) Malaysia. Walaupun ada akhbar yang mencatatkan peningkatan jualan sepanjang 12 bulan itu, tetapi secara kolektif, penjualan akhbar terus mengalami penurunan pada 2014. Hanya Kosmo!, Kosmo! Ahad dan mingguan The Edge yang mencatkan peningkatan jualan. Akhbar-akhbar lain mengalami kemerosotan. Ada yang jatuh teruk. Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar nombor satu Malaysia dengan edaran 353,647 bagi setiap isu. Harian Metro dan Metro Ahad turut mengalami kejatuhan yang teruk bagi tempoh enam bulan terakhir 2014. Dataran edarah akhbar bagi 2014 adalah seperti berikut:

Edaran akhbar di Malaysia 2014

Jenama Januari – Jun 2014 Julai – Disember 2014
Utusan Malaysia 171,663 166,503
Mingguan Malaysia 360,919 353,647
Berita Harian 125,514 109,088
BH Ahad 156,835 132,933
Kosmo! 197,202 199,795
Kosmo! Ahad 208,435 210,269
Harian Metro 313,690 266,403
Metro Ahad 328,700 276,885
New Straits Times 74,711 68,812
New Sunday Times 85,282 75,671
The Star 291,068 286,436
Sunday Star 295,195 280,277
The Edge 23,635 25,396

Sumber: ABC Malaysia

8 Jun

NST catat sejarah – akhbar bahasa Inggeris pertama menang Hadiah Kajai

New Straits Times mencatat sejarah apabila muncul sebagai akhbar berbahasa Inggeris pertama merangkul Hadiah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia  (HKM) MPI-PETRONAS. Hadiah Kajai merupakan anugerah tertinggi HKM yang diperkenalkan pada 1982. Sejak diperkenalkan hanya akhbar bahasa Melayu yang mendominasi Hadiah Kajai yang menawarkan ganjaran wang tunai RM30,000, sekeping siling emas 100 gram dan sijil penghargaan. Secara keseluruhahnya, HKM menawarkan ganjaran RM300,000, tajaan PETRONAS yang merupakan penaja sejak 1994. Selain Hadiah Kajai, terdapat 13 kategori lain dalam HKM yang menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 bagi setiap kategori. Hadiah kepada para pemenang HKM 2014, anjuran Malaysian Press Institute (MPI) telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek yang menjadi tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2015.

9 Jun

Empat stesen Star radio tarik 4.4 juta pendengar

Empat stesen Kumpulan Radio The Star iaitu Suria FM, 988, Red FM dan Capital FM berupaya memikat 4.4 juta pendengar, menurut satu suvei yang dilakukan oleh GfK, sebuah firma penyelidikan pasaran global. Sewaktu melaporkan hasil survei itu, Ketua Pegawai Operasinya, Kudsia Kahar berkata, pencapaian itu adalah satu kejayaan yang membanggakan. “Keputusan itu mencerminkan usaha-usaha berterusan kumpulan membuahkan hasil yang diingini kearah pengalaman pendengaran yang lebih baik,” kata beliau. Menurut survei itu, Suria FM didengar oleh 2.8 juta pendengar setiap minggu; Red FM pula 441,000. Suria FM menggunakan bahasa Melayu manakala Red FM pula bahasa Inggeris. Stesen radio berbahasa Cina, 988 pula diikuti oleh 1.3 juta pendengar dan muncul sebagai radio nombor satu dalam kalangan pendengar Cina di Pulau Pinang. Capital FM, yang mensasarkan golongan wanita bandar pula didengar oleh 47,000 orang.

23 Jun

Berjaya Media catat kerugian RM31.15 juta bagi tahun kewangan 2014

Berjaya Media penerbit akhbar SunDaily melaporkan kerugian sebanyak RM31.15 juta bagi tahun kewangan 2014. Bagi tempoh yang sama pendapatan pula merosot 8.3 peratus kepada RM53.83 juta berbanding RM58.71 juta pada 2013. Pada 2013, syarikat itu mencatatkan keuntungan RM4.09 juta.

The Star Online raikan ulang tahun ke-20

The Star Online genap berusia 20 tahun hari ini. Edisi digital akhbar milik MCA itu diperkenalkan pada 1995 sebagai portal berita pertama melaporkan berita-berita Malaysia kepada dunia. Dalam tempoh dua dekad itu, pengarah urusan kumpulannya, Datuk Seri Wong Chun Wai menyatakan bahawa portal berita itu dikunjungi antara 1.5 juta hingga 2 juta pengunjung sehari.

25 Jun

Jamin tidak tapis bukan bermakna boleh langgar undang-undang

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek menegaskan di Dewan Negara bahawa jaminan kerajaan untuk tidak mengenakan penapisan Internet melalui  Undang-undang Jaminan Koridor Multimedia (MSC) tidak bermakna individu boleh menyebarkan sebarang kandungan yang menyalahi undang-undang. Katanya, jaminan tiada tapisan tidak boleh melanggar mana-mana undang-undang sedia ada, tidak menganggu gugat serta mengancam keharmonian dan keselamatan negara. Beliau mengingatkan bahawa jika perbuatan dilakukan menyalahi undang-undang di dunia fizikal, perbuatan tersebut juga tidak dibenarkan dalam persekitaran maya. Perbuatan salah itu termasuklah merekrut pengganas atau mempromosi pornografi kanak-kanak.