Dua buku baharu MPI kini di pasaran

Dua buku baharu terbitan Malaysian Press Institute (MPI) iaitu Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik dan Daftar Media MPI edisi 2015 kini boleh dibeli di kedai-kedai buku utama di seluruh negara.

Pada waktu ini, dua buah buku tersebut, selain buku-buku lain terbitan MPI sebelum ini (antaranya Memapar Realiti, Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran dan Penulisan Berkesan)  dijual di Kedai Buku Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kedai Buku Koperasi Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan di semua Kedai Buku 1Malaysia di seluruh negara.

MPI juga sedang berunding dengan beberapa syarikat pengedar buku dan kedai buku utama, termasuk MPH Distributor dan Kinokuniya untuk memasarkan penerbitan yang dihasilkannya.

Buku-buku terbitan MPI juga boleh dibeli terus dari MPI pada harga diskaun istimewa – sehingga 40 peratus daripada harga jualan di pasaran.

Strategi Pemujukan Najib Razak Dalam Komunikasi Politik yang diterbitkan dalam edisi mewah berkulit tebal dijual pada harga RM65 senaskah manakala Daftar Media Edisi 2015 pula pada harga RM60 senaskah.

Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik, karangan Ketua Pegawai Eksekutif  MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya, adalah karya yang diadaptasi daripada tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang beliau kemukakan kepada Universiti Sains Malaysia pada penghujung 2014.

Buku itu adalah satu penelitian terhadap strategi pemujukan berkesan menggunakan kerangka teori neoklasikal yang berpaksikan kepada elemen-elemen  ethos, logos dan pathos yang diaplikasi oleh Datuk Sri Mohd Najib Razak dalam 15 ucapan utama yang disampaikan atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Timbalan Presiden  UMNO Malaysia dan Presiden UMNO Malaysia di Perhimpunan Agung UMNO antara 1988 hingga 2013.

Hasil penelitian itu mendapati bahawa selaku pengucap (rhetor), Datuk Sri Mohd Najib telah memanfaatkan elemen-elemen pemujukan yang berkesan sepenuhnya sewaktu berkomunikasi dengan khalayaknya menerusi ucapan-ucapan yang disampaikan di Perhimpunan Agung UMNO.

Dalam upaya untuk menjelaskan idea-idea bernas dan ada kalanya kompleks yang ingin diketengahkan, beliau telah menggunakan penghujahan logikal atau logos  yang berpaksikan dalil-dalil artistik dan bukan artistik seperti testimoni, statistik, contoh, kuantifikasi, perbandingan dan juga dalil bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.

Menurut kajian itu, penggunaan dalil-dalil itu, terutama dalil kuantifikasi untuk menyokong hujah yang diketengahkan untuk menyakinkan khalayak membayangkan Datuk Sri Najib adalah seorang yang berfikiran rasional dan saintifik.

Penelitian yang dilakukan oleh Datuk Dr. Chamil juga mendapati penggunaan elemen-elemen pathos seperti aliterasi, trikolon, ellipsis, asyndeton, anaphora, soalan retorik, pengulangan, hiperbola, metafora dan pelbagai jenis bahasa kiasan telah ditampilkan dengan baik oleh Datuk Sri Mohd Najib untuk mempengaruhi khalayak ucapan beliau baik secara langsung dalam dewan di mana ucapan itu dipersembahkan dan secara tidak langsung kepada audiens di luar UMNO.

Elemen ethos – baik perwatakan kurnian Ilahi, perwatakan yang dibina atau perwatakan yang dipersiapkan oleh dirinya dan keluarganya dalam perjalanannya menjadi seorang individu dan seterusnya seorang pemimpin juga telah ditampilkan secara halus menerusi wacana deliberatif beliau itu.

Menggunakan kayu ukur pendita Za’aba, teks ucapan Najib itu boleh dikategorikan sebagai karangan bermutu tinggi.

Sesuai dengan sifat akademiknya, buku  itu telah dilancarkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr. Omar Osman pada 8 Jun 2015 sempena Malam Wartawan Malaysia 2015 di Kuala Lumpur.

Pelancaran turut  disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang menjadi tetamu kehormat majlis itu dan Datuk Dr. Chamil Wariya.

Daftar Media 2015 yang memuatkan senarai nama-nama tenaga editorial utama organisasi media serta nama para pensyarah dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi di universiti awam dan universiti swasta di Malaysia pula adalah terbitan tahunan MPI sejak 2010.

Selain itu, Daftar Media 2015 turut memuatkan peristiwa utama dunia media tempatan sepanjang tahun lalu dalam bab berjudul Diari Media 2014.

Buku itu adalah rujukan berguna untuk kalangan yang berkhidmat dalam bidang komunikasi korporat dan perhubungan awam.