Empat kriteria memilih Tokoh Wartawan Negara

Majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia, anjuran Malaysian Press Institute (MPI), tajaan PETRONAS akan diadakan pada 16 Julai 2012 di Hotel Royale Bintang Damansara, Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Penganugerahan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam tulisan ini, yang merupakan sebahagian daripada ucapan alu-aluan yang akan disampaikan pada majlis tersebut,  Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya menghuraikan empat kriteria memilih Tokoh Wartawan Negara itu.


Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia ini pertama kali diperkenalkan pada 1988 untuk mengiktiraf sumbangan, peranan dan jasa besar seorang wartawan yang diakui mencapai tahap terbilang dalam kerjaya kewartawanannya.

Hadiah Kewartawanan Malaysia itu sendiri yang sejak 1994 ditaja oleh PETRONAS, bermula pada 1980 bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang yang telah dihasilkan oleh para wartawan setiap tahun. Berbeza dengan anugerah-anugerah lain Hadiah Kewartawanan Malaysia yang pemenangnya dipilih secara penyertaan oleh para wartawan itu sendiri, Anugerah Tokoh Wartawan Negara ini dibuat secara pencalonan oleh organisasi media atau oleh pihak-pihak lain yang berwibawa.

Dengan kata-kata lain, wartawan yang ingin diangkat untuk menjadi Tokoh Wartawan Negara ini tidak boleh mencalonkan dirinya sendiri. Sebaliknya pencalonan hendaklah dibuat oleh mana-mana organisasi berita, jabatan-jabatan pengajian kewartawanan/media/komunikasi pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta atau malah oleh individu-individu  yang terkemuka dalam bidang kewartawanan.

Penerima pertama Anugerah Tokoh Wartawan Negara  ialah Tan Sri A. Samad Ismail; diikuti oleh Tan Sri Lee Siew Yee, Datuk Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako, Tun Mohamad Fuad Stephens, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk C.C Liew.

Pemilihan mereka dan piawaian yang sama juga akan digunapakai  pada masa-masa akan datang, dibuat berpaksikan empat kriteria yang telah diinstitusikan oleh para pengasas Anugerah Tokoh Wartawan Negara ini pada 1988.

Pertama, kecemerlangan hasil kerja kewartawanan dan tulisan-tulisannya secara berterusan selama menjadi wartawan.

Di sini antara lain yang akan dinilai adalah konsistensi wartawan berkenaan berkarya, bermula sebagai wartawan kadet membawalah kepada pencapaian tertinggi sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan. Individu yang dicari bukan sekadar menghasilkan kerja kewartawanan mengikut musim tetapi berkarya sepanjang perkhidmatannya dengan organisasi di mana dia berkhidmat. Hasil kerja itu mestilah mencapai tahap yang cemerlang, barangkali dalam dunia akademik setaraf dengan ijazah kelas pertama atau paling tidak kepujian kelas dua atas. Tentulah sebagai wartawan yang cemerlang, dia bukan sekadar menjadi pelapor berita yang tajam pengamatannya, tetapi juga penganalisis berita yang bernas, bukan dangkal; mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Kedua, keberkesanan atau impak sumbangan buah fikiran, baik secara langsung atau tidak langsung terhadap komuniti pembaca atau khalayak produk medianya.

Sudah tentu hasil kerja yang cemerlang sahaja tidak memadai. Karya kewartawanan wartawan berkenaan juga mesti memberi manfaat kepada khalayak – tidak kira siapa mereka, dalam konteks mendidik, memaklumat dan menghiburkan. Membaca karya-karyanya, khalayak akan menjadi lebih enlighten; ia bukanlah hasil kerja untuk syok sendiri. Tulisannya di dalam akhbar atau majalah atau malah sebagai komentator di TV atau radio, senantiasa di nanti-nantikan dan diperkatakan. Pandangannya juga dihormati oleh the powers that be atau kalangan yang berkuasa dan turut menjadi input dalam penggubalan dasar. Buah fikirannya juga dimanfaatkan dalam seminar-seminar, forum dan wadah perbincangan yang lain sebagai pembentang kertas kerja atau dilantik sebagai ahli jawatankuasa tertentu.

Ketiga, keberkesanan jasa, kegiatan dan kerjayanya dalam organisasi media di mana dia bekerja dan juga dalam pertubuhan bukan kerajaan di mana dia terbabit.

Oleh kerana Anugerah Tokoh Wartawan Negara ini adalah untuk mengiktiraf sumbangan sepanjang hayat dalam bidang yang diceburinya, maka turut dinilai di sini adalah peningkatan yang dicapai dalam organisasi di mana wartawan berkenaan bekerja. Ini kerana kemajuan dalam kerjayanya bermakna dia merupakan knowledge worker – meminjam istilah guru pengurusan bernama Peter Drucker – yang akan dimanfaatkan oleh pihak majikan ke tahap yang tertinggi dalam jabatan editorial atau malah syarikatnya. Pada kedudukan tertinggi serupa itu, individu berkenaan mempunyai ruang bukan sahaja untuk memajukan diri, tetapi menggunakan pengalaman dan kepakarannya untuk menonjolkan serta mencorakkan produk media yang dipimpinnya ke tahap yang dihormati sehingga produk itu menjadi buruan khalayak – baik pembeli atau pengiklan. Selain menabur bakti kepada organisasinya, individu yang mahu dicalonkan sebagai Tokoh Wartawan Negara itu juga masih ada waktu untuk bergiat cergas dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, baik yang berkaitan dengan media dan kewartawanan atau sebaliknya. Sudah tentu markah yang diberi adalah lebih tinggi jika pembabitannya bukan sekadar mendapat pengiktirafan di dalam negara, tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa dalam upayanya untuk memajukan bidang kewartawanan. Dengan kata-kata lain, calon Tokoh Wartawan Negara berperanan untuk memajukan kewartawanan di organisasi berita di mana dia berkhidmat, tetapi juga bidang kewartawanan secara keseluruhannya mendapat manfaat daripada usahanya itu.

Keempat, ketokohan kepimpinan, penonjolan serta ketrampilannya di kalangan kaum wartawan dan juga rakan-rakan wartawan yang seangkatan dengannya.

Oleh kerana individu yang kita pilih ini akan menggunakan gelaran Tokoh Wartawan Negara sehingga ke nafasnya yang terakhir, maka kenalah dipastikan bahawa dimensi kepimpinan, penonjolan serta keterampilannya di kalangan kaum wartawan dan juga rakan-rakan wartawan yang seangkatan dengannya benar-benar terserlah. Pandangan dan komen beliau terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kewartawanan, media dan komunikasi atau malah tentang apa sahaja akan menjadi rujukan di kalangan komuniti wartawan dan bukan wartawan. Dia juga akan memainkan peranan sebagai opinion leader tentang hal-hal profesyen kewartawanan. Di kalangan kaum wartawanan, penonjolan dan keterampilannya senantiasa berada di hadapan. Dalam kata-kata lain, kalangan yang bergelar Tokoh Wartawan Negara adalah seorang pemimpin bukan pengikut. Dia berani untuk menyuarakan pandangannya yang objektif, menepati salah satu prinsip kewartawanan, berasaskan fakta dan kebenaran yang telah diselidiki beberapa kali dengan sebilangan sumber. Sekiranya dia melontarkan pandangan atau komentar menerusi tulisan-tulisannya, pandangan yang dizahirkan bertujuan bukan sekadar untuk memuji-muji atau panegyric dalam bahasa Inggerisnya, tetapi sebaliknya pandangan bernas dan dilakukan dengan beradab, beretika dan bertanggungjajwab. Inilah Tokoh Wartawan Negara yang kita cari.