Forum Media Alam Sekitar PEKA-MPI 2015 untuk Wartawan

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) akan bekerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI) dalam penganjuran suatu forum mengenai alam sekitar untuk wartawan pada sekitar Mac 2015.

Diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, forum setengah hari ini akan mempertemukan para wartawan dengan tokoh/aktivis alam sekitar, pegawai-pegawai tinggi kementerian dan ahli-ahli akademik biadang komunikasi dan kewartawanan bagi membincangkan isu-isu semasa melindungi alam semula jadi pasca pencerobohan terhadap pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang.

Pencerobohan yang dilakukan oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab itu mendapat liputan besar-besaran media – cetak, elektronik dan juga media sosial telah mendedahkan kepada umum tentang pentingnya memelihara alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

PEKA yang diterajui oleh aktivis alam sekitar terkemuka, Puan Sri To’ Puan Datuk Shariffa Sabrina binti Syed Akil yang telah mengkritik lantang pencerobohan itu, turut terpanggil untuk mengadakan satu kempen bagi meningkatkan kesedaran wartawan mengenai alam sekitar.

Dengan mengadakan satu forum khusus untuk para wartawan, beliau berharap mereka berupaya membantu untuk meningkatkan lagi kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat melalui penulisan berita dan rencana.

Persetujuan untuk PEKA dan MPI bekerjasama mengadakan Forum Kewartawanan Alam Sekitar ini disepakati pada pertemuan yang diadakan di MPI pada 15 Disember 2014 di MPI.

Dalam pertemuan itu, PEKA diwakili oleh Bendaharinya, Puan Noor Hafidzah Abu Zainal dan Pentadbir PEKA Cik Yatie Shaharom.

MPI pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chamil Wariya, Pengurus Hal Ehwal Korporat, Puan Norlida Jamian dan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Nuzatul Shima Sulaiman.

Antara topik menarik yang akan disentuh dalam forum itu ialah “Pasca Pencerobohan Cameron Highlands: Pengajaran dan Iktibar Dalam Melindungi Alam Sekitar.” Sebilangan ahli panel yang terdiri daripada aktivis alam sekitar, wakil Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, ahli akademik dan editor media akan mengupas isu.

Satu lagi topik iaitu “Mendedah Kemusnahan Alam : Perkongsian Pengalaman Wartawan” adalah sesi yang akan memberi peluang kepada  beberapa pengamal media yang pernah memenangi anugerah hasil tulisan mengenai alam sekitar berkongsi pengalaman masing-masing dalam melakukan penyiasatan membongkar kecurangan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap khazanah semula jadi negara itu.

Lima orang wartawan iaitu Datuk Rosnah Majid (Utusan Malaysia), Melati Ariff (Bernama), Datuk Zaini Hassan (Utusan Malaysia), Mohd Asron Mustapha (Utusan Malaysia), Mohd Faizal Zakaria (Kosmo!) telah memenangi Anugerah Kajai, iaitu anaugerah tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) hasil tulisan mereka mengenai alam sekitar antara 1980 hingga 2013.

Selain itu, dua orang pejuang dan tokoh alam sekitar pula sedang dikenal pasti untuk menyampaikan ucaputama dan ucapan pada majlis makan tengah hari pada Forum Media Alam Sekitar PEKA-MPI itu.

Dianggarkan lebih 150 peserta terdiri daripada wartawan/editor, pensyarah/pelajar jurusan pengajian komunikasi IPTA dan wakil-wakil NGO akan menyertai forum ini.

1. Perbincangan dua wakil PEKA, Puan Noor Hafidzah (tiga dari kiri) dan Pentadbir PEKA Cik Yatie (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya (kanan), Puan Norlida (dua kanan) dan Puan Nuzatul Shima (membelakangi kamera) mengenai penganjuran forum alam sekitar PEKA-MPI di pejabat MPI pada 15 Disember 2014.

2. Puan Noor Hafidzah (kanan), Bendahari PEKA dan Cik Yatie (kiri), serius mengemukakan pandangan masing-masing untuk bekerjasama dengan MPI menjayakan Forum Media Alam Sekitar PEKA-MPI pada Mac 2015.