“GUNAKAN APA YANG DIPELAJARI DAN DIPEROLEHI DENGAN SEPENUHNYA”

SOP Media” atau Prosedur Operasi Standard untuk media membuat liputan di zon konflik atau kawasan bencana merupakan topik penting yang ditekankan di dalam Bengkel Pemberitaan Bencana Berkesan yang diadakan di Hotel Hilton Kuching Sarawak pada 19 – 21 Mac 2018 yang lepas.

Bengkel yang berlangsung dengan jayanya anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur telah dihadiri seramai 27 orang wartawan media cetak, elektronik dan media baharu masing-masing mewakili 14 pertubuhan media Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia termasuk seorang sekretariat dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Objektif utama kursus ialah untuk memperbaiki laporan pengamal media mengenai kejadian bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan kemalangan pesawat disamping menjalinkan hubungan baik dengan agensi-agensi dalam jawatankuasa pengurusan bencana di setiap negeri untuk mempastikan hanya maklumat yang disahkan dan tepat disebarkan kepada rakyat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Mr. Morgan J. O’Brien lll, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Sepanjang tiga hari berkursus, para peserta berpeluang mendapat banyak tip dan maklumat berguna untuk tugas harian mereka lebih-lebih lagi dalam melaporkan berita bencana daripada seorang penulis bebas dan pakar media yang berpengalaman luas dalam membuat liputan bencana dan konflik di negaranya sendiri dan di luar negara, dua orang penceramah jemputan dari  Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur yang menerangkan akibat bencana alam dan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Sivik dari perspektif tentera AS, Pengarah dari NADMA dan juga Pemangku Pengarah dari Perkhidmatan Veteriner Sarawak yang bercakap mengenai wabak rabies di Malaysia.

Para peserta juga berpeluang melihat dengan lebih dekat untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai operasi ketika berlaku bencana ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dan meninjau Bilik Gerakan Operasi Pengurusan Bencana Negeri Sarawak kerana dari situlah kawalan keseluruhan bencana dilaksanakan dan pemantauan melalui remote sensing dan satelit data diselaraskan yang mana adalah wajar untuk media mengetahuinya.

Di akhir kursus, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing yang disampaikan oleh Editor Kanan Pengurusan The Borneo Post, Encik Francis Chan di majlis penutupan dan makan malam bersama media.

Berikut merupakan rangkuman gambar-gambar sepanjang bengkel berlangsung:

1. Mr. Morgan J. O’Brien lll, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berucap lalu merasmikan bengkel pemberitaan bencana berkesan di Hotel Hilton Kuching, Sarawak.

2. Datuk Dr Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, menerima cenderahati daripada Mr. Morgan J. O’Brien lll, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebaik sahaja selesai majlis perasmian.

3. Para peserta bengkel seramai 27 orang bergambar kenangan selepas majlis perasmian sebelum sesi pertama bermula.

4. Dr. Jafri Abdul Jalil, Pengarah Bahagian Penyelarasan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Kebangasaan Malaysia (NADMA) memberi penerangan tentang gambaran keseluruhan mengenai bencana pada sesi pertama bengkel tersebut.

5. Penulis bebas dan pakar media yang berpengalaman luas dalam membuat liputan bencana dan konflik, Syed Azwan Syed Ali berkongsi pengalaman dan tip berguna bersama para peserta.

6. Encik Abdul Rahman Sheblee, Memangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (dua dari kiri) mempengerusikan sesi lawatan ke Bilik Gerakan Operasi Negeri manakala taklimat disampaikan oleh Dato’ Dr. Chai Khin Chung, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (dua dari kanan) sambil didengari oleh Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif, MPI (kiri) dan para peserta kursus.

7. Gambaran sebenar di Bilik Gerakan Operasi Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang mana seluruh kawasan di negeri Sarawak dipantau melalui remote sensing dan satelit data yang diselaraskan di bilik gerakan tersebut.

8. Mr. Morgan J. O’Brien lll, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menerangkan kepada para peserta akibat dari bencana alam yang sering berlaku luar negara.

9. Kapten Canyon Yeamans, Pegawai Perhubungan Pasifik Tentera Amerika Syarikat dari Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berkongsi pengalaman misi bantuan kemanusiaan dan sivik dari perspektif tentera.

10. Dr. Adrian Susin Ambud, Pemangku Pengarah dari Perkhidmatan Veteriner Sarawak menerangkan mengenai wabak rabies yang masih berleluasa di Sarawak & bagaimana media boleh membantu dalam menanggani isu tersebut.

11. Para peserta bertanyakan soalan kepada salah seorang pegawai bomba semasa sesi lawatan ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dimana jika pemanggil membuat panggilan 999, operator di Kuching, Melaka & Kuala Lumpur akan menyambungkan panggilan tersebut ke Jabatan Bomba & Penyelamat yang berdekatan dengan kejadian.

12. Pengarah Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Sarawak, PKPjB Tuan Nor Hisham bin Mohamad (tengah) bergambar beramai-ramai bersama delegasi peserta kursus dan sekretariat MPI & Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan juga ahli anggota bomba & penyelamat Sarawak.

13. Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif, MPI, Profesor Madya Dr. Jeniri Amir, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sarawak, Encik Francis Chan, Editor Kanan Pengurusan Borneo Post Kuching dan Tuan Mejar (PA) Ismail Mahedin, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak
(duduk dari kiri ke kanan) di majlis penutupan dan makan malam bersama media.

14. Daryll Law, peserta dari Borneo Post Kuching menerima sijil penyertaan dari Encik Francis Chan sambil diperhatikan oleh Datuk Dr Chamil Wariya dimajlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta kursus.