HADIAH DR. MASZLEE UNTUK WARTAWAN

Ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik pada Malam Wartawan Malaysia 2019, jam 8 malam Berjaya Times Square, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 26 April 2019

 

Salutasi

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Press Institute (MPI) atas undangan yang disampaikan kepada saya bagi memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2019.

Saya sangat menghargai kesempatan yang diberi kepada saya, selaku tetamu kehormat, untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada para tetamu, yang sebahagian besarnya terdiri daripada wartawan.

Saya difahamkan penganjuran Malam Wartawan Malaysia pertama kali diadakan pada 16 September 1981 khusus untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1980.

Sejak itu, Malam Wartawan Malaysia telah dilangsungkan setiap tahun secara berterusan untuk mengiktiraf produk-produk terbaik yang telah dihasilkan oleh para pengamal media di negara ini. Dengan kejayaan itu, HKM merupakan satu-satunya anugerah kewartawanan tertua di negara ini.

Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada MPI dan juga kepada PETRONAS yang menaja anugerah ini sejak 1994.

Bercakap tentang dunia kewartawanan, saya sangat suka untuk sama-sama kita mengimbau kembali jatuh bangun dunia kewartawanan tanah air kita.

Tentunya kita tidak boleh melupakan, saya yakin semua orang tahu, Abdul Rahim Kajai atau nama penuhnya Abdul Rahim Haji Salim yang kita gelarkan sebagai “Bapa Kewartawanan Melayu.”

Sebenarnya perjalanan Abdul Rahim Kajai sangat unik. Tinggal di Mekah. Belajar agama. Belajar bahasa Inggeris sendiri. Saya rasa untuk mengenal beliau juga, kita tidak boleh melupakan Syed Syeikh al-Hadi, guru beliau. Ketika pulang dari Mekah tahun 1917, Abdul Rahim Kajai telah menjadi penulis khas bagi akhbar Saudara yang diterbitkan oleh Syed Syeikh al-Hadi.

Sejarah panjang Utusan Melayu, jika kita teliti, antara tokoh yang sangat bersungguh di dalam mengemudi dunia persuratan khususnya dalam bidang kewartawanan, tidak lain tidak bukan ialah Abdul Rahim Kajai. Tulisannya, seperti kata A. Samad Ismail, sangat segar, benar-benar tepat dan membangunkan pemikiran rakyat.

Malah A. Samad Ismail sendiri merupakan anak murid Abdul Rahim Kajai. Legasi Abdul Rahim Kajai diteruskan dengan jayanya oleh A. Samad Ismail. Keluasan ilmu pengetahuan, ketepatan mengolah isu, kepantasan berfikir sehingga menjadikan Utusan Melayu benar-benar menjadi lidah keluhan masyarakat, beliaulah seperti kata Tan Sri Mazlan Nordin, ‘jeneralnya’; iaitu Jeneral Utusan Melayu.

Seorang insan yang hebat itu boleh kita nilai melalui kehebatan legasi yang ditinggalkan. Kehebatan A. Samad Ismail sangat terbukti apabila Sasterawan Negara pertama, Keris Mas, antara wartawan era Cecil Street sebenarnya mendapat bimbingan langsung daripada A. Samad Ismail.

Begitu juga Sasterawan Negara, Usman Awang turut mendapat didikan A. Samad Ismail sebagai seorang wartawan. Tidak dilupakan, wartawan seperti Ali Salim (Jiro), Asni Ahmad Sanusi, Samad Idris, Khairuddin Kawi dan Azahari Taib, semuanya belajar daripada Samad Ismail.

Saya ingat ada satu rencana yang ditulis khas oleh A. Samad Ismail ini, berjudul “Sekadar Mengenang Suatu Zaman Yang Begitu Besar”, yang telah disiarkan dalam keluaran khas Utusan Malaysia, 29 Mei 1980. Beliau menceritakan bagaimana Utusan mengubah keperibadian beliau, ketegasan, kekerasan, atas nama obor perjuangan bangsa. Saya sangat sarankan sekiranya rencana ini disiarkan semula buat tatapan masyarakat secara umumnya.

Tidak dinafikan bahawa media, baik di alam nyata atau di alam maya, adalah sumber penting maklumat untuk membolehkan rakyat negara ini menjadi masyarakat bermaklumat atau informed society. Bagi saya kewujudan masyarakat bermaklumat dan kehadiran institusi media bebas dan bertanggungjawab merupakan penanda aras terhadap tahap kematangan demokrasi, termasuk di negara ini.

Media juga bukan sekadar berfungsi untuk mendidik, memaklumat dan menghiburkan khalayak, tetapi boleh memainkan peranan sebagai jagawan estet keempat atau the fourth estate bagi mengimbangi dan menyemak peranan tiga kuasa negara yang lain iaitu legislatif, eksekutif, dan judisiari.

Malah bagi saya peranan jagawan ini sebenarnya penting untuk menyuburkan demokrasi yang menjadi amalan di negara ini dan menghalang salah laku dalam urus tadbir negara.

Menyedari peranan penting media itu, maka kerajaan komited untuk mengukuhkan lagi kebebasan media di negara ini. Kita akan menyemak semula kerangka undang-undang yang dianggap mengongkong dan mengekang kebebasan media.

Dan hal ini sudahpun diiktiraf oleh pihak antarabangsa. Misalnya pada 18 April lalu, organisasi yang bernama Reporters Without Borders di Paris telah menaikkan ranking Malaysia dalam Press Freedom Index 2019 kepada kedudukan 123 daripada 180 negara. Untuk tempoh yang agak lama, Malaysia berada pada kedudukan 148 dalam indeks tahunan tersebut.

Malah saya tidak terkejut kalau kerajaan akan melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membolehkan pelbagai pihak, termasuk para wartawan dan blogger serta pengamal media sosial yang lain, mendapat maklumat-maklumat tertentu untuk membantu mereka melakukan kerja-kerja penyiasatan dengan lebih baik lagi.

Selain itu, kementerian yang bertanggungjawab mengawal selia media di negara ini juga sedang dalam proses untuk menjayakan penubuhan Majlis Media Malaysia yang akan bertindak sebagai badan kawal selia kendiri atau self-regulatory yang telah lama wujud di negara-negara maju. Entiti itu nanti apabila ditubuhkan, antara lain akan membolehkan para wartawan dan pemilik media mengawal selia sendiri kebebasan yang mereka dambakan untuk memainkan peranan sebagai jagawan.

Sudah tiba masanya untuk pengamal media di negara ini secara bersungguh-sungguh menegakkan laporan-laporan yang berpaksikan prinsip-prinsip utama kewartawanan iaitu objektiviti, tepat, benar, dan seimbang.

Saya ucapkan tahniah kepada MPI atas penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2019 yang diadakan untuk menyampaikan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2018. Kepada para pemenang saya mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan anda.

Akhir sekali, saya ada pengumuman penting untuk semua rakan-rakan wartawan di sini dan di luar sana. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi universiti-universiti awam telah menyediakan biasiswa khas untuk wartawan yang berkeinginan untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Baru-baru ini, saya juga telah berjumpa dengan Al-Jazeera, dan mereka juga telah menyatakan persetujuan untuk berkolaborasi dengan KPM menerusi UiTM. Al-Jazeera bersetuju untuk menawarkan khidmat latihan dan bimbingan khusus kepada mereka yang ingin mengasahkan lagi bakat kewartawanan.

Ini merupakan hadiah daripada KPM bagi menghargai sumbangan dan peranan para wartawan di dalam membentuk Malaysia Baru yang kita sama-sama idamkan. Perincian mengenai biasiswa ini akan disiarkan dalam masa terdekat. Sekian. Terima kasih.