Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas Senarai Pemenang 2013

Kewartawanan Foto Cemerlang

Pemenang: Mohamad Nasarudin bin Mohammed Adib,  Bernama

Hadiah: RM15,000.00

Foto memukau para peserta Jelajah Malaysia 2013, melintasi stesen keretapi Gemas, ketika bersaing dalam peringkat kedua perlumbaan itu dari Rembau, Negeri Sembilan ke Batu Pahat, Johor. Foto itu dianggap menarik kerana para peserta kelihatan dekat antara satu sama lain seolah-olah mereka melupakan persaingan buat seketika sewaktu melintas stesen keretapi berkenaan.

Esei Foto Cemerlang

Pemenang: Mohd Aizuddin Akmal bin Saad, Harian Metro

Hadiah: RM12,500.00

Rakaman gambar-gambar yang memaparkan luahan perasaan demonstrasi pro bekas Presiden Mohamad Mursi di Dataran Rabiatul Adawiyah, Nasr City di Mesir setelah digulingkan oleh pihak tentera. Rakaman foto-foto itu diiktiraf oleh panel hakim berpiawai antarabangsa. Perasaan marah yang teramat, sedih, kecewa dalam kalangan pro Mursi berjaya dirakam oleh jurufoto dengan berkesan – bukti bahawa bakat tempatan juga tidak kalah dengan jurufoto luar negara.

Berita Video Terbaik

Pemenang: Tan Su Lin dan Hairul Wildan bin Haroun Al Rashid, Astro Awani

Hadiah: RM15,000.00

Laporan empat siri mengenai kerakusan dalam kalangan nelayan yang tidak bertanggungjawab menggunakan bom sebagai cara mudah untuk menangkap ikan di perairan Sabah. Laporan dinilai menarik dari segi penceritaan dan penggunaan visual yang sesuai untuk menyokong wartawan menyampaikan naratifnya. Paparan jelas  kemusnahan yang berlaku terhadap hidupan di dasar laut dapat disaksikan dalam laporan ini.

Dokumentari Video Terbaik

Pemenang: Irin Putri Azmi dan Jebat M. Roseli, Majalah 3, TV3

Hadiah: RM15,000.00

Dokumentari mengenai khazanah hidupan liar di Sabah. Sarat dengan maklumat. Visual yang dirakam memukau. Persembahan, suara latar dan standupper wartawan amat baik. Penceritaannya juga menarik. Diakui dokumentari ini adalah hasil kerja seorang wartawan yang tekun, teliti dan rapi dalam melakukan penyelidikan. Sanggup berada di lapangan, sekali pun di dalam hutan.

Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail

Pemenang: Sakini binti Mohd Said, Bernama dan Pauline Wong May Wan, The Heat

Hadiah: RM7,500.00 bagi setiap pemenang

Para penilai berpendapat empat karya bagi setiap pemenang yang dikemukakan untuk kategori ini memperlihatkan potensi mereka untuk muncul sebagai wartawan berkaliber pada masa akan datang, seandainya mengekalkan dan meningkatkan ketajaman dan kemahiran mereka menulis.

Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang

Pemenang: Yip Yoke Teng, The Star.

Hadiah: RM15,000.00

Karya yang mendedahkan penggondolan Bukit Enggang di Hulu Langat yang merupakan sebuah projek perumahan yang terbengkalai. Ia kemudian dijadikan tempat buangan sampah dengan kesan yang memudaratkan terhadap penduduk dan alam sekitar berhampiran kawasan itu.

Laporan Berita Cemerlang

Pemenang: Pearl Siok Li dan Haresh Singh, The Malay Mail

Hadiah: RM15,000.00

Tiga laporan mereka sepanjang 2013 telah dihantar untuk kategori ini. Masing-masing berjudul Foreign Student Uproar, Sickening mess dan Ministries to scrutinize EMGS, dihakimi mempunyai nilai berita yang tinggi dan berimpak besar. Secara berani, mereka telah membongkar kepincangan berkait dengan pengambilan pelajar asing di negara ini.

Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang

Pemenang: Trio dari New Straits Times – Yushaimi Yahaya, Sharanjit Singh dan Badrol Hisham Bidin yang berkongsi hadiah RM15,000.00.

Tiga laporan mereka masing-masing berjudul Danok Gunrunners, Gunrunners give more bang for your back dan take out from us, firing gun is difficult dinilai mengandungi nilai berita yang tinggi; hasil ketekunan mereka melakukan penyiasatan berupaya membongkar satu kegiatan haram penjenayah yang seolah-olah ditutup sebelah mata oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.

Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang

Pemenang: Syed Azwan Syed Ali, BH

Hadiah: RM15,000.00

Tiga laporan yang beliau tampilkan untuk kategori ini  berjudul Biarlah Kami hidup di sini; terpaksa sorok perkataan muslim dan pelarian Rohingya cecah 30,463. Ia dihasilkan setelah Syed Azwan pergi ke Rohingya, Myanmar untuk melihat sendiri  penderitaan dan kesengsaraan hidup orang Rohingya di bumi mereka sendiri sehingga memaksa sebilangan mereka untuk meninggalkan tanah air sendiri dan lari ke negara ini. Laporan beliau yang dihasilkan berdasarkan pengamatan yang tajam, keupayaan menghidu nilai berita serta bercerita secara bersahaja, cukup menyentuh perasaan siapa juga yang membacanya.

Penulisan Rencana Cemerlang

Pemenang: Joseph Wong Fook Ming, Focus Malaysia

Hadiah: RM15,000.00

Tiga rencana yang dihasilkan masing-masing berjudul Million Ringgit School Education, Sarawak’s elusive Timber Tycoons dan Ananda on the Prowl. Panel hakim berpendapat karya itu bukan sahaja ditulis dengan baik, tetapi melahirkan hasil kerja-kerja penyelidikan yang teliti dan rapi, menggunakan bahasa yang kaya dengan khazanah perbendaharaannya.

Penulis Kolum/Ruangan Cemerlang

Pemenang: Fauziah binti Md Arof, Utusan Malaysia

Hadiah RM15,000.00

Tiga bahan yang beliau kemukakan untuk dinilai berjudul Perihal marah bukan kepalang apabila harga minyak naik; bertindak tegas dengan undang-undang sedia ada dan kenapa harga ayam kerap naik musim-musim perayaan. Panel hakim berpendapat sebagai penulis ruangan mingguan, Fauziah mempunyai keunikan tersendiri; cara beliau menulis adalah bersahaja ada kalanya dengan sindiran dan gurauan yang halus. Karya-karya Fauziah juga diakui mempunyai gaya dan kekuatan sendiri dalam menginsankan isu-isu yang dianggap serius. Isu-isu kepenggunaan nampaknya dekat dengan hati beliau.

Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas

Pemenang: Isabelle Lai Lin Hui, The Star

Hadiah: RM15,000.00

Sekali lagi laporan tentang kemusnahan alam sekitar secara berleluasa dan tanpa dikawal di kawasan Cameron Highland terpilih bagi kategori ini.  Tiga laporan eksklusif  yang dihasilkan berjudul The raving goes on, saving the highland dan pos terisu areas raided. Pendedahan Isabelle mengenai kawasan alam terbaharu yang menjadi kerakusan pembangunan di Cameron Highland dipilih kerana kerapian penyelidikan dan keistimewaan penceritaannya. Pemilihan ini menggambarkan perjuangan berterusan golongan wartawan untuk memastikan kemusnahan di tempat peranginan yang terkenal dengan kedinginannya satu waktu dahulu, terus mendapat perhatian.

Anugerah Khas

Penerima: Khalidah Abidah binti Amin (bekas wartawan the New Straits Times) dan Lailah Elok (RTM Sabah)

Hadiah: RM7,500.00 bagi setiap penerima

Hadiah ini diberi kepada kalangan wartawan – cetak atau elektronik yang telah berkhidmat secara berterusan selama tidak kurang daripada 20 tahun. Dan sepanjang perkhidmatannya menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerja-kerjanya. Selain cemerlang dalam tugas hakikinya, calon juga ada masa untuk mengembangkan bakat dan minatnya dalam bidang-bidang berkaitan penulisan, selain menyumbang bakti kepada badan-badan bukan kerajaan dan kemasyarakatan.

Adibah, menyertai bidang kewartawanan pada usia 35 tahun dengan akhbar the New Straits Times pada 1971. Beliau diakui sebagai penulis kolum yang tajam pengamatannya menerusi kolum As I Was Passing dengan nama pena Sri Delima. Pada waktu yang sama berkhidmat dengan NST, beliau menghasilkan skrip drama radio, cerpen dan novel serta esei kesusasteraan, selain menterjemah karya-karya fiksyen dan bukan fiksyen ke Bahasa Inggeris. Beliau juga turut berlakon dalam filem dan drama. Sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan, beliau telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Antaranya Asian Journalist of the Year pada 1979 daripada Press Foundation of Asia. Adibah Amin pernah menjadi pengarang pertama majalah Jelita dan jawatan terakhir sebelum bersara ialah Penolong Khas kepada Pengarang Kumpulan News Straits Times.

Lailah, 50,  telah berkhidmat selama 28 tahun di Jabatan Penyiaran Sabah, atas pelbagai kapasiti: pelapor, penyampai dan pengulas sukan, antaranya sukan Komanwel 1998; Sukan SEA 2001; Sukan Sukma. Juga pernah menjadi penyampai berita TV1 bagi segmen Sabah antara 2001 hingga 2004. Beliau juga pernah menjadi pengacara pelbagai program ehwal semasa yang disiarkan secara langsung di RTM. Beliau juga pernah berlakon dalam drama TV terbitan RTM, selain menghasilkan Antologi Skrip Drama Radio yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 2005, Lailah dinobatkan sebagai penerima Personaliti Radio Paling Versatile, Anugerah Seri Angkasa. Semasa mengikut suaminya belajar di Aberdeen antara 1988 hingga 2011, beliau menjadi kolumnis ruangan mingguan dalam akhbar Utusan Borneo. Lailah juga terbabit dalam kerja-kerja amal di bawah program Projek Perkongsian Komuniti anjuran Parlimen Scotland.

Anugerah Kajai

Pemenang: Wan Norhayati Wan Alias, BH

Hadiah: RM30,000.00, sekeping siling emas 100 gram dan Mini Ipad sumbangan Suria KLCC Sendirian Berhad.

Anugerah Kajai diberi kepada wartawan yang karyanya diiktiraf sebagai terbaik dalam HKM. Bagi HKM 2013, pemenang Anugerah Kajai ialah Wan Norhayati Wan Alias dari akhbar BH atau Berita Harian.  Laporan pemenang Anugerah Kajai HKM 2013 merupakan satu pendedahan berani  perbuatan curang segelintir pegawai imigresen di KLIA dan LCCT telah menerima sogokan sehingga RM20,000.00 untuk melepaskan warga asing masuk ke negara ini secara haram. Pendedahan itu telah membawa kepada pendakwaan dan juga hukuman terhadap empat orang pegawai imigresen dan warga asing yang terlibat.

Tokoh Wartawan Negara

Tiada pencalonan, tiada penerima bagi HKM 2013.