MPI menerima 347 penyertaan HKM 2017

KENYATAAN MEDIA

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2017 (HKM 2017) yang sedang dalam proses penilaian menerima 347 penyertaan apabila tarikh mengemukakan penyertaan dari kalangan pengamal media ditutup pada 16 Januari lalu.

Eksekutif Anugerah Malaysian Press Institute (MPI), Salman Husni Abdollah berkata, penyertaan tahun ini amat memberangsangkan dengan mencatat penambahan sebanyak 56 penyertaan berbanding yang diterima HKM 2016 meskipun penyertaan ke anugerah ini dikenakan yuran buat tahun kedua.

Tambahan beliau lagi penyertaan tertinggi diterima bagi Penulisan Rencana Cemerlang iaitu sebanyak 46; diikuti oleh Kewartawanan Foto Cemerlang 43;  Dokumentari Video Terbaik 30; Foto Esei Cemerlang 27; Berita Video Terbaik 25.

MPI juga menerima lima pencalonan untuk Anugerah Khas dan Anugerah Tokoh Wartawan namun tiada pencalonan bagi Anugerah Tokoh Media. MPI masih terbuka untuk menerima sebarang pencalonan bagi Anugerah Tokoh Media.

Sebanyak 35 organisasi media – cetak (akhbar dan majalah), penyiaran  (radio dan TV) dan portal berita mengambil bahagian dalam HKM 2017.

Tekan sini untuk jumlah penyertaan HKM 2017

Pemenang akan membawa pulang RM 10,000, sijil dan trofi; manakala dua penerima sagu hati akan menerima RM 1,000 dan sijil, bagi setiap kategori. Tiada penerima hadiah saguhati bagi kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Anugerah Khas Juri, Anugerah Tokoh Wartawan dan Anugerah Tokoh Media.

Penerima Hadiah Kajai akan membawa pulang wang tunai RM 30,000, sijil dan trofi serta hadiah iringan yang lain.

Malam Wartawan Malaysia 2018 akan diadakan pada Julai 2018 selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum yang dijangka pada Mei 2018.

Bagaimanapun persiapan Malam Wartawan Malaysia 2018 telah dimulakan.

 

Dikeluarkan pada : 15 Mac 2018