IMPACT 2019: JAMBATAN BIDANG KOMUNIKASI UNIVERSITI-INDUSTRI

Ucapan yang disampaikan oleh Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI sewaktu melancarkan IMPACT 2019 anjuran Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Budaya USM pada jam 9 pagi, 17 Disember 2019.

Pertama-tama saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya kita semua dapat berada di Dewan Budaya ini bagi menjayakan kemuncak Immersion Project, Appreciation and Tribute 2019 atau IMPACT 2019.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (PPK USM), alma mater saya,  atas peluang yang diberikan kepada saya pada pagi ini untuk melancarkan IMPACT 2019 yang merupakan program tahunan membabitkan para siswa bukan sahaja dari USM, tetapi universiti-universiti lain di negara ini dan juga Republik Indonesia.

Syabas saya ucapkan kepada Pusat Pengajian Komunikasi dan para pelajar tahun akhir PPK yang telah bertungkus lumus merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menghidupkan IMPACT 2019.

Ini termasuklah pertandingan bagi penulisan rencana, fotografi, pengucapan awam dan pengiklanan cetak, yang saya difahamkan pertama kali diperkenalkan untuk kategori individu, manakala kempen komunikasi terbaik, video pendek, penerbitan majalah dan surat khabar terbaik untuk kategori berkumpulan yang telah bermula pada 22 September lalu.

Tahniah saya ucapkan kepada para pemenang pertandingan tersebut.

Ini adalah kali kedua saya mengambil bahagian dalam IMPACT. Kali pertama ialah pada tahun 2015. Sebagai alumni USM saya dan rakan-rakan lain yang hadir kali ini, tentulah gembira kerana dapat menyumbang kepada satu program penting tahunan Pusat Pengajian Komunikasi.

Tambahan pula Pusat Pengajian Komunikasi bersempena IMPACT 2019 ini secara khusus memberi penghargaan kepada bekas-bekas pelajar Pusat Pengajian Komunikasi yang telah menempa nama dalam bidang-bidang yang diceburi selepas menyelesaikan pengajian masing-masing.

Saya percaya penghormatan yang diberi ini adalah amat bermakna kepada kami semua dan akan menjadi kenangan dalam lipatan kehidupan kami sampai bila-bila, selagi hayat dikandung badan.

Diharap apa yang dianggap sebagai kejayaan kami dalam kerjaya masing-masing turut mengharumkan nama Pusat Pengajian Komunikasi dan seterusnya menjadi pendorong kepada “adik-adik” kami yang bakal menyertai pasaran buruh dalam waktu yang terdekat ini.

Tidak kiralah kejayaan yang bakal dicapai nanti dalam organisasi di mana mereka bakal berkhidmat atau hasil usaha mereka sebagai usahawan dalam pelbagai bidang berkaitan media yang bakal mereka ceburi.

Percayalah dimungkinkan oleh kehadiran teknologi-teknologi terkini  dalam dunia ICT – information communication technology pada era digital dan Internet ini, keusahawanan media akan membuka banyak peluang pekerjaan baharu dalam bidang komunikasi pada masa-masa akan datang.

Perkembangan ini telah berlaku di Amerika Syarikat. Di sana telah lahir apa yang dipanggil sebagai entrepreneurial journalism yang membolehkan “journalists to publish themselves. On any topic, to any audience, at any time.”  Kalangan yang mengikuti program pengajian media dan kewartawanan pula diajar untuk menjadi media entrepreneurs.

Seperti yang diungkapkan oleh Mark Briggs dalam buku dengan judul yang sama iaitu entrepreneurial journalism: “the Internet planted the seed for the entrepreneurial journalism that is blossoming today. Both seasoned entrepreneurs and determined first timers are finding success with online media enterprises that range from local news sites to new news creatures that no one could have imagined  even a few years ago.”

Dan apa yang penting kewartawanan keusahawanan kecil-kecilan, apa lagi yang besar, sebahagian besarnya membawa keuntungan.

 Bergerak ke hadapan, tidak keteraluan jika saya katakan bahawa entrepreneurial journalism ini mungkin perlu diteroka oleh calon-calon wartawan yang kini berada di universiti-universiti sebagai kerjaya pilihan masing-masing.

Suka atau tidak, kita kena menerima hakikat bahawa “the old news world is gone” dan kita tidak akan dapat kembali ke era itu lagi. Teknologi disruptif telah memusnahkan ekosistem media lama itu. Dua revolusi yang pertamanya membabitkan pembaca atau kedua pengiklan, telah membawa haru biru dalam satu industri yang dulunya stabil.

Tapi kita, terutamanya yang ingin menjadi pengamal media, tidak perlu takut dengan teknologi, termasuk yang disruptif. Teknologi telah mempermudahkan lagi bisnes berita. Bagi golongan wartawan, teknologi sebenarnya adalah satu multiflier. Kita boleh melakukan kerja-kerja penyelidikan, menemuramah, menyunting, mengedar dengan lebih pantas lagi berbanding sewaktu kita menggunakan mesin taip Smith-Corona.

Revolusi berita Internet telah menghasilkan lebih banyak pilihan kepada pembacaan dan pengiklanan. Khalayak tidak lagi membisu, sebaliknya terbabit aktif dalam memberi maklum balas terhadap kandungan yang disajikan dalam talian dan turut terbabit secara langsung dalam penciptaan kandungan.  

Penutupan organisasi media cetak, pengurangan pekerjaan besar-besaran dan kerugian yang dialami oleh syarikat-syarikat media adalah petanda jelas hakikat teknologi disruptif itu.

Saudara-saudara yang saya hormati,

Secara peribadi saya melihat bahawa projek IMPACT ini adalah satu program yang baik untuk memupuk semangat setia kawan dalam kalangan para pelajar universiti yang menyertainya.  IMPACT bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang menyertainya untuk menyerlahkan bakat kompetitif masing-masing dalam pertandingan yang disertai.

IMPACT juga menjadi wadah untuk pihak penganjur membina hubungan dengan pihak industri. Ini dilakukan dengan menampilkan tokoh-tokoh media terpilih untuk berkongsi pengalaman industri dengan para peserta baik sebagai juri untuk menilai karya-karya yang bertanding dalam IMPACT, atau sebagai ahli panel pelbagai wacana yang diadakan.

Saya percaya kehadiran tokoh-tokoh media ini, seperti  Saudara Kamarul Baharin Haron, yang baru sahaja diangkat sebagai Ketua Pengarang Astro Awani, Austin Tumengkol, pemimpin redaksi Waspada Online Media, Saudara Rudy Imran dari Harian Metro, Pengarah Kreatif Pos Malaysia, Sufian Rahman, Penerbit Fast Motion Sdn Bhd, Norazlan Bidin dan Editor Majalah Jelita, Anida dan Salwani dan lain-lain tentunya memberi manfaat kepada para peserta.

Sebagai pemain penting dalam industri media, mereka tentu ada pandangan terkini mengenai perkembangan-perkembangan semasa media yang ingin disampaikan dan dikongsikan dengan para peserta IMPACT 2019.

Sahabat saya Saudara Kamarul barangkali bukan datang ke USM semata-mata for old time sake, tetapi tidak mustahil digunakan untuk mengintai kalau-kalau ada calon yang boleh diambil bekerja dengan Astro Awani, sebagai bakat siaran atau on air talent, baik sebagai wartawan, penyampai berita atau tenaga kreatif dan teknikal di belakang tabir penerbitan program-program berita yang dihasilkan oleh saluran berita terkemuka negara itu.

Sebagai Ketua Pengarang, saya boleh beritahu anda bahawa beliau adalah orang yang paling berkuasa dalam menentukan pengambilan bakat siaran untuk meningkatkan lagi rating Astro Awani.

Sebelum berundur sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pusat Pengajian Komunikasi USM, khususnya kepada Dekannya, Dr. Nurzali Ismail serta seluruh tenaga akademik PPK atas undangan kepada saya untuk hadir pada pagi ini.

Saya doakan IMPACT 2019 mencatat kejayaan dalam memenuhi objektif-objektifnya.

Sekian. Terima kasih.