JELAJAH BAHASA JIWA BANGSA (MEDIA) BBK 2018 KONSEP AMAZING RACE PENUH CABARAN FIZIKAL DAN MENTAL

“Soalan susahnya!”
“Penat betul kami ke sana ke mari. Mencabar acara kali ini”

Itu kata-kata peserta program Jelajah Bahasa Jiwa Bangsa (Media) BBK 2018 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).

Acara yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta ini merupakan kali kedua bagi tahun 2018 selepas Ekplorasi Bahasa (Media) pada Oktober 2017 lalu. Acara telah diadakan pada Sabtu, 24 November 2018 bertempat di KLIA, Sepang.

Seramai 13 kumpulan yang dianggotai oleh tiga orang ahli telah mengambil bahagian dalam program ini antaranya dari BERNAMA, Harian Metro, NSTP, TV3, Malaysia Kini, RTM dan KLfm. Pelepasan peserta pada jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 2 petang.

Bagi program kali ini, DBP telah menyusun lapan tugasan melibatkan penggunaan bahasa. Peserta perlu menyelesaikan kesemua lapan tugasan dan setiap tugasan yang selesai akan diberikan pelekat. Cabaran timbul apabila peserta perlu berkejar ke KLIA2 untuk menyudahkan beberapa tugasan dan kembali ke KLIA untuk mendapatkan pelekat. Pelekat mesti diterima dari empat hentian berbeza mengikut tugasan tertentu dan semua jawapan mesti lengkap dan betul.

Tugasan yang mencabar minda adalah tugasan ke – 3 yang memerlukan peserta memikir dan mencari makna perkataan dan kebanyakkan peserta mengambil banyak masa untuk menghabiskan tugasan tersebut. Namun ianya berbaloi apabila peserta dapat menyiapkan semua tugasan walaupun letih berkejaran dari KLIA ke KLIA2.

Kumpulan pertama yang berjaya menamatkan semua tugasan dengan sempurna ialah BERNAMA yang dianggotai oleh Muhammad Afiq Mohd Asri, Mohd Noor Iqram Rosli dan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad, sekaligus menjadikan mereka pemenang hadiah utama. Naib juara pula dimenangi oleh kumpulan dari Harian Metro iaitu Suliati Asri, Syarifah Dayana Syed Bakri dan Hayati Ibrahim. Tempat ketiga pula milik NSTP yang diketuai oleh Nasuha Badrul Huzaini, Nabil Basaruddin dan Ayisy Yusof.

Juara menerima hadiah wang tunai bernilai RM2000, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Naib juara pula membawa pulang RM1500, sijil penyertaan dan hadiah iringan manakala tempat ketiga turut menerima wang tunai RM1000, sijil penyertaan serta hadiah iringan sumbangan DBP.

Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP diiringi oleh Puan Roziah Md Yunus, Perancang Bahasa S48 Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP.

Kesemua peserta menyatakan keterujaan menyertai acara kali ini berbanding tahun lalu kerana tugasan yang diberikan begitu menguji ketahanan minda dan fizikal mereka.

Rujukan gambar:

Peserta-peserta bersiap sedia sebelum taklimat acara bermula.
Semua peserta bergambar sebelum acara dimulakan.
1) Gambar kiri : Peserta bertungkus-lumus mencari jawapan untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. 2) Gambar kanan : Urusetia membantu peserta sebelum memberi pelekat yang menandakan tugasan telah lengkap.
Kumpulan dari BERNAMA dinobatkan sebagai juara yang dianggotai oleh Muhammad Afiq Mohd Asri, Mohd Noor Iqram Rosli dan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad. Juara membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2000.
Naib juara milik Harian Metro yang diketuai oleh Suliati Asri, Syarifah Dayana Syed Bakri dan Hayati Ibrahim. Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500.
Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan dari NSTP iaitu Nasuha Badrul Huzaini, Nabil Basaruddin dan Ayisy Yusof. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.
Ceria! Semua peserta bergambar beramai-ramai selepas acara penyampaian hadiah.