Justifikasi pemilihan Datuk Rejal Arbee dan Zainon Ahmad sebagai Tokoh Wartawan Negara

Sedutan pidato pengisytiharan Tokoh Wartawan Negara 2014 dan Tokoh Wartawan Negara Posthumous yang disampaikan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Syed Abdullah, selaku Pengerusi Anugerah Tokoh Wartawan Negara 2014 yang disampaikan pada 10 September 2015.

Pembangunan dan perkembangan dunia kewartawanan di dalam sesebuah negara nyata ditentukan oleh sistem media yang ada padanya. Sistem media ini dipengaruhi/ditentukan oleh institusi ekonomi, institusi politik, undang-undang tetapi jarang sekali personae yang terdapat di dalam sistem dibincangkan dalam sistem media. Personae membawa maksud tokoh atau personaliti wartawan yang mana tulisan dan tindakan mereka telah menghasilkan satu jalinan dengan pembaca, samaada diketahui secara peribadi atau dari penulisan mereka.

Kedua-dua tokoh wartawan yang ingin kita angkat pada petang ini mempunyai personae yang tinggi, satu kewibawaan yang membawa pengertian kepada dunia kewartawanan pada zaman yang mereka wakili dan warisi.

Ingin saya membaca latar belakang ringkas kedua-dua tokoh kita pada petang ini.Saya nukilkan latarbelakang sekadar memberitahu sejauh mana perubahan dari segi teknologi, sejarah dan dasar Kerajaan, telah dapat mereka atasi. Apa yang lebih penting lagi ialah peranan dan sumbangan mereka terhadap dunia kewartawanan yang memacu dan merintis satu jalan supaya generasi muda mewarisi detik sejarah yang ditinggalkan mereka.

Kriteria penganugerahan sebagai tokoh wartawan negara ini ialah seseorang yang telah  berkecimpung dalam dunia kewartawanan, berkhidmat secara berterusan sebagai pemberita dan memperoleh suatu pencapaian yang diterima baik oleh para wartawan lain. Penerimaan oleh rakan sejawat juga menjadi faktor penting kerana tokoh wartawan ini melambangkan karier mereka dalam dunia kewartawanan. Kedua-dua tokoh yang ingin kita angkat pada petang ini sememangnya terkenal, menyumbangkan tenaga mereka sebagai pemberita malah mendapat pencapaian tinggi yang disanjung oleh kalangan wartawan. Mereka ialah Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Zainon Ahmad, yang masing-masing telah menjadi wartawan selama 40 dan 35 tahun.

Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Zainon Ahmad berada dalam satu angkatan zaman, tetapi pada asasnya mereka menampakkan satu nilai personae yang sama, peka kepada nilai kewartawanan, mengakui jalinan dengan pembaca dan terbatas dengan pengertian had dari segi undang-undang dan politik.

Mereka terdedah dengan didikan dan mewarisi tradisi kewartawanan Abdul Samad Ismail sewaktu zaman penjajah dan zaman kemerdekaan. Rejal dan Zainon berada seangkatan dengan Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk A Kadir Jasin, yang menulis untuk membawa pengertian politik dan pergolakan dunia global kepada masyarakat Malaysia. Tragedi 13 Mei 1969 difahami mereka dengan detik-detik dan pergolakan politik tanah air yang terjadi, kebangkitan fahaman atau ideologi agama yang begitu meningkat, serta berlainan fahaman antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hal ini menjadikan sesuatu penulisan itu memerlukan fahaman dan pengertian mendalam terhadap sejarah dan isu semasa. Bukan itu sahaja, malah penulisan mereka juga akan dijadikan sebagai bahan sejarah.

Zaman Rejal dan Zainon menampakkan Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan  sebagai Perdana Menteri akibat tragedi 13 Mei 1969, kewujudan gabungan parti politik Barisan Nasional pada tahun 1970, pentadbiran di bawah Tun Abdul Razak hinggalah ke zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Zaman Tun Abdul Razak dengan pembangunan luar bandar, dan zaman Tun Mahathir dengan pembangunan bandar melalui Wawasan 2020, Putrajaya dan Cyberjaya.

Transformasi landskap politik

Kita begitu memahami sejarah, tetapi kita juga disedarkan dengan perkembangan dalam dunia teknologi media. Landskap media telah mula berubah pada tahun 1999 dan perubahan dari landskap media ini mengubah cara mana berita dipungut dan diedarkan. Malah nilai terhadap apa yang diertikan sebagai nilai pemberitaan (newsworthiness) telah berubah kesan daripada pergolakan media baru ini. Perubahan dari segi landskap media terus memberi kesan kepada dunia politik Malaysia melalui penggunaan laman web, Internet, kesan kepada media cetak kepada media dalam talian dan portal media.

Kedua-dua tokoh wartawan kita ini bermula dalam dunia kewartawanan yang pada masa ini dilihat sebagai begitu elementari. Bukan komputer tetapi typewriter digunakan untuk menaip berita, mencari telefon atau pejabat telegraf untuk mengirimkan berita. Telefon pintar atau Internet tidak ada dalam pengetahuan mereka. Rejal pernah memberitahu sesuatu yang mendorong ketua pejabat pos untuk membuka pejabat bagi mengirimkan berita melalui telegraf kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur, kononnya itu atas arahan Tun Abdul Razak. Jika tidak berbuat bisikan demikian, berita yang hendak dikirimkan itu akan menjadi bahan sejarah atau bahan bakul sampah. Rejal dan Zainon memahami sendiri betapa sukarnya mengirim berita dari luar negara. Tetapi itu adalah tugas seorang pemberita biasa mencari berita, menganalisis dan  membuat kontak dengan  sumber berita.

Keadaan dunia kian berubah kerana Malaysia memainkan peranan aktif dalam dunia diplomasi dengan terlibat secara aktif dalam OIC, Komanwel dan ASEAN, maka wartawan ini akan turut serta dan membuat liputan tentang peristiwa di luar negara. Rejal pernah membuat liputan tentang orang kenamaan di negara-negara Arab, ke negara Pasifik-Selatan, Soloman Island, Fiji, selain dari meliputi negara Barat dan Afrika. Tetapi semenjak tahun1976 apabila dilantik sebagai Ketua Pengarang Berita di NST, dunia Rejal Arbee dalam dunia kewartawanan menjadi administrative. Membantu dan menggalak golongan muda dalam karier mereka. Kecekapan dan kehandalan beliau dalam kewartawanan administrative memperlihatkan beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang BERNAMA, kemudian Pengarang Business Times dan Pengarang Kumpulan Berita Publishing sehinggalah beliau bersara.

 Idea Rejal dan Zainon mengenai konsep pemberitaan

Saya begitu mengenali Rejal kerana sebagai Boss saya di BERNAMA, seringkali kedengaran komen dan teriakan beliau yang nyaring terhadap pemberita. Sukar sekali di BERNAMA untuk  seorang wartawan itu tidak mendapat berita dan mendapatinya dalam waktu yang diperlukan.  Dunia penulisan di Malaysia telah banyak berubah apabila BERNAMA ditubuhkan pada tahun 1968, dengan masa berita ditentukan setiap masa. Stress, stressful, dan stressed out bagi pemberita yang bekerja di BERNAMA.

Rejal Arbee dilahirkan pada 27 September 1940 di Batu Gajah, Perak dan mula berkecimpung dalam dunia kewartawanan pada 1 Oktober 1963 sebagai pemberita kadet di Straits Times Press Kuala Lumpur, kemudian ditawarkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Berita dari tahun 1976 hingga 1981. Beliau kembali menerima jawatan Ketua Pengarang BERNAMA dari 1989 hingga 1992. Jawatan administrative terakhir ialah sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian sehingga beliau bersara.

Zainon yang dilahirkan di Semeling, Kedah merupakan rakan sekelas saya. Beliau terkenal bukan kerana nyanyian dan ucapannya dalam Bahasa Tamil, tetapi penulisannya di dalam Straits Times. Beliau menulis dengan baik, kemas dan sentiasa mencari sumber berita yang mencabar. Beliau dikatakan pernah ke Timbuktu dan telah menemubual kumpulan Moro di Selatan Filipina dengan berada beberapa hari disana. Zainon lebih gemar membuat berita dalam kawasan hot spots, “to be on the ground to see and to review the events as critical events happened.” Mungkin sejarah awalnya sewaktu zaman persekolahan telah mendorong beliau untuk mencari sesuatu melalui pemberitaan dan pemberitaan hanya diperolehi dalam konteks yang mencabar.

Zainon dibesarkan oleh sebuah keluarga India, tetapi keluarga ini memastikan beliau mengamalkan didikan dan ajaran sebagai seorang Melayu Islam dan juga membawa beliau ke masjid untuk menunaikan solat. Latar belakang ini mendorong beliau untuk maju bermula dengan mengambil suasana persekolahan dari Sekolah Ibrahim, Sungai Petani, sehinggalah beliau mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang sejarah dari Universiti Malaya. Pemilikan latar belakang sejarah memyebabkan beliau sentiasa berfikir dan menanyakan satu-satu peristiwa yang terjadi di beberapa kajian ‘hot spots.’ Sejarah digunakan sebagai panduan terhadap penulisan dan dengan itu penulisannya disalurkan semula sebagai bahan sejarah. Begitulah eratnya pertalian wartawan dengan sejarah melalui penulisan. Lawatan beliau ke Timbuktu dan Bokhara membawa nostalgia buat dirinya, bukan sahaja untuk menulis tetapi untuk memahami apa telah berlaku dan bagaimana bandar yang maju dalam sejarah pada suatu ketika dahulu kini menjadi hambar.

Zainon dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Falsafah (PhD) oleh Universiti Selangor (UNISEL) dan telah menerima beberapa penganugerahan lain seperti National Press Club-TM Lifetime Achievement Award oleh National Press Club (NPC). Jawatan wartawan administrative yang dipegang beliau ialah Group Associate Editor of the New Straits Times dan kemudiannya menjadi Editor-in-Chief di the Sun.

Zainon dan Rejal memulakan jejak wartawan kita keluar membuat liputan luar negeri, terima kasih kepada teknologi yang ada pada ketika itu. Sebagai pentadbir wartawan, mereka memajukan akhbar mereka dan memandu wartawan muda dalam karier mereka. Kedua-dua mereka menjadi juara dalam usaha menubuhkan Media Council yang masih lagi dalam perbincangan dan perhatian pihak Kerajaan. Sumbangan mereka sememangnya membawa kebanggaan kepada dunia kewartawanan Malaysia dan serantau. Ingin saya maklumkan dua tokoh kita ini, Datuk Ahmad Rejal Arbee sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014 dan Zainon Ahmad sebagai Tokoh Wartawan Negara (Posthumous).