Empat kayu ukur memilih Tokoh Wartawan Negara

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr.  Chamil Wariya pada majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara (TWN), Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2014  di Hotel Pullman Bangsar,  jam 2.30 petang pada 10 September 2015. Tetamu kehormat majlis ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Alhamdulihah syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita semua  dapat berada di sini pada petang ini bagi majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI -PETRONAS 2014 yang akan disempurnakan sebentar lagi oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Bagi pihak rakan-rakan dalam Majlis Pentadbir dan seluruh kerabat MPI, saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kesudian meluangkan waktu menjadi tetamu kehormat majlis ini dan seterusnya menyempurnakan penganugerahan.

Kehadiran YAB untuk bersama-sama dengan komuniti wartawan negara pada petang yang bersejarah ini adalah satu penghormatan buat kami sebagai pengamal media.

Dari Kerling ke Inderagiri
Pergi bersama sahabat sejati
Kehadiran Datuk Seri saya hargai
Lambang persahabatan tersemat di hati

Saya juga mengucapkan selamat datang kepada para tetamu yang lain yang turut hadir untuk memeriahkan majlis yang kali terakhir kita ada pada 16 Julai 2012.

Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia ini pertama kali diperkenalkan pada 1988 untuk mengiktiraf sumbangan, peranan dan jasa besar seorang wartawan yang diakui mencapai tahap terbilang dalam kerjaya kewartawanan. Dalam tempoh 27 tahun penganjurannya, hanya 9 (sembilan) wartawan telah diberi penghormatan untuk menerima gelaran tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia itu.
Ada empat faktor yang dinilai dalam menganugerahkan Tokoh Wartawan Negara, HKM ini.

Pertama, kecemerlangan hasil kerja kewartawanan dan pelbagai bentuk tulisan lain yang dihasilkan secara berterusan selama menjadi wartawan.

Di sini antara lain yang akan dinilai adalah konsistensi wartawan berkenaan berkarya, lazimnya bermula sebagai wartawan kadet membawalah kepada pencapaian tertinggi sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan. Individu yang dicari bukan sekadar menghasilkan kerja kewartawanan mengikut musim tetapi berkarya sepanjang perkhidmatannya dengan organisasi di mana dia berkhidmat. Tentulah sebagai wartawan yang cemerlang, dia bukan sekadar menjadi pelapor berita yang tajam pengamatannya, tetapi juga penganalisis berita yang bernas, bukan dangkal; mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Kedua, keberkesanan atau impak sumbangan buah fikiran yang disalurkan menerusi karya-karya, baik secara langsung atau tidak langsung terhadap komuniti pembaca atau khalayak produk medianya.

Sudah tentu hasil kerja yang cemerlang sahaja tidak memadai. Karya kewartawanan wartawan berkenaan juga mesti memberi manfaat kepada khalayak – tidak kira siapa mereka, dalam konteks mendidik, memaklumat dan menghiburkan. Membaca karya-karyanya, khalayak akan menjadi lebih enlighten; ia bukanlah hasil kerja untuk syok sendiri. Tulisannya di dalam akhbar atau majalah atau malah sebagai komentator di TV atau radio, senantiasa di nanti-nantikan dan diperkatakan. Pandangannya juga dihormati oleh pelbagai lapisan dalam masyarakat, termasuk the powers that be atau kalangan yang berkuasa dan turut menjadi input dalam penggubalan dasar. Buah fikirannya juga dimanfaatkan dalam seminar-seminar, forum dan wadah perbincangan yang lain sebagai pembentang kertas kerja atau dilantik sebagai ahli jawatankuasa tertentu.

Ketiga, keberkesanan jasa, kegiatan dan kerjayanya dalam organisasi media di mana dia bekerja dan juga dalam pertubuhan bukan kerajaan di mana dia terbabit.

Oleh kerana Anugerah Tokoh Wartawan Negara ini adalah untuk mengiktiraf sumbangan sepanjang hayat dalam bidang yang diceburinya, maka turut dinilai di sini adalah peningkatan yang dicapai dalam organisasi di mana wartawan berkenaan bekerja. Hal ini turut dinlai kerana kemajuan dalam kerjayanya bermakna dia merupakan knowledge worker – meminjam istilah guru pengurusan bernama Peter Drucker – yang akan dimanfaatkan oleh pihak majikan ke tahap yang tertinggi dalam jabatan editorial atau malah syarikatnya. Pada kedudukan tertinggi serupa itu, individu berkenaan mempunyai ruang bukan sahaja untuk memajukan diri, tetapi menggunakan pengalaman dan kepakarannya untuk menonjolkan serta mencorakkan produk media yang dipimpinnya ke tahap yang dihormati sehingga produk itu menjadi buruan khalayak – baik pembeli atau pengiklan.

Selain menabur bakti kepada organisasinya, individu yang mahu dicalonkan sebagai Tokoh Wartawan Negara itu juga masih ada waktu untuk bergiat cergas dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, baik yang berkaitan dengan media dan kewartawanan atau sebaliknya. Sudah tentu markah yang diberi adalah lebih tinggi jika pembabitannya bukan sekadar mendapat pengiktirafan di dalam negara, tetapi sehingga ke peringkat antarabangsa dalam upayanya untuk memajukan bidang kewartawanan. Dengan kata-kata lain, calon Tokoh Wartawan Negara berperanan untuk memajukan kewartawanan di organisasi berita di mana dia berkhidmat, tetapi juga bidang kewartawanan secara keseluruhannya mendapat manfaat daripada usahanya itu.

Keempat, ketokohan kepimpinan, penonjolan serta keterampilannya dalam kalangan kaum wartawan dan juga rakan-rakan wartawan yang seangkatan dengannya.
Individu yang diangkat menjadi Tokoh Wartawan Negara juga dinilai dimensi kepimpinan, penonjolan serta ketrampilannya dalam kalangan kaum wartawan dan juga rakan-rakan wartawan yang seangkatan dengannya. Pandangan dan komen beliau terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kewartawanan, media dan komunikasi atau malah tentang apa sahaja akan menjadi rujukan dalam kalangan komuniti wartawan dan bukan wartawan semasa beliau berkhidmat dalam organisasi beritanya.

Dia juga akan memainkan peranan sebagai opinion leader tentang hal-hal profesyen kewartawanan. Apabila dibandingkan dalam kalangan para wartawan yang seangkatan dengannya, penonjolan dan keterampilannya senantiasa berada di hadapan. Dalam kata-kata lain, kalangan yang bergelar Tokoh Wartawan Negara adalah seorang pemimpin bukan pengikut. Dia berani untuk menyuarakan pandangannya yang objektif, menepati salah satu prinsip kewartawanan, berasaskan fakta dan kebenaran yang telah diselidiki beberapa kali dengan sebilangan sumber. Sekiranya dia melontarkan pandangan atau komentar menerusi tulisan-tulisannya, pandangan yang dizahirkan bertujuan bukan sekadar untuk memuji-muji atau panegyric dalam bahasa Inggerisnya, tetapi sebaliknya pandangan bernas dan dilakukan dengan beradab, beretika dan bertanggungjawab. Inilah Tokoh Wartawan Negara yang  kita cari.
Elok juga saya maklumkan bahawa pencalonan untuk Tokoh Wartawan Negara, tidak dikemukakan oleh calon berkenaan. Mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh para pengasas anugerah ini, pencalonan hanya boleh dikemukakan oleh mana-mana organisasi berita dan media yang dihantar terus kepada Sekretariat Hadiah Kewartawanan Malaysia. Bagi HKM MPI-PETRONAS  2014, kita telah menerima dua pencalonan. Sama ada mereka layak atau sebaliknya untuk dianugerahkan gelaran itu diputuskan oleh sebuah panel khas yang keanggotaannya terdiri daripada para wartawan veteran dan juga ahli-ahli akademik terkemuka dalam bidang kewartawanan dan pengajian media.

MPI ingin merakamkan penghargaan kepada panel khas yang telah dipertanggugjawab untuk menilai pencalonan yang diterima bagi Tokoh Wartawan Negara 2014 yang terdiri daripada:

 

Pengerusi:

Profesor Dr. Arabi Idid

Mantan Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Ahli-ahli:

Profesor Dr. Ahmad Murad Merican

dari Universiti Teknologi Petronas
Tan Sri Zainuddin Maidin

Tokoh Wartawan Negara 2006

Mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan & Mantan Menteri Penerangan Malaysia.

Datuk A. Kadir Jasin

Tokoh Wartawan Negara 2011 ; dan

Profesor Dr. Azizah Hamzah

Mantan Ketua Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada penerima Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS  2014 yang bakal diumumkan sendiri oleh pengerusi panel hakim HKM sebentar lagi.

Petang ini kita berhimpun
Memeriahkan majlis penyampaian anugerah
Salah silap mohon diampun
Amalan mulia insan bermaruah