Featured
Kedutaan AS hargai kerjasama bidang latihan dengan MPI

Kedutaan AS hargai kerjasama bidang latihan dengan MPI

Pegawai Penerangan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Encik Morgan O’Brien yang bakal menamatkan perkhidmatannya di negara ini pada pertengahan Ogos 2020, tengah hari ini (24 Julai 2020) mengadakan majlis makan tengah hari perpisahan untuk Malaysian Press Institute (MPI) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya dan pengurus latihan, Puan Norhafiza Kamaludin.

Majlis itu diadakan sebagai menzahirkan penghargaan beliau kepada MPI yang telah kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat  mengadakan program latihan tahunan untuk para wartawan negara ini.

Kerjasama ini bermula dengan penganjuran Bengkel Pelaporan Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) pada 2009 di Kuala Lumpur. Bengkel yang sama diadakan pada 2011 di Kota Kinabalu; 2012 di Kota Bharu; 2014 di Johor Bharu; 2015 di Kuching dan 2016 di Alor Setar dan di Tawau pada 2017.

Selain bengkel ATIPSOM, MPI dan Kedutaan Amerika bekerjasama mengadakan Bengkel on Reporting on Countering Violent Extremism (CVE) and Radicalisation Leading to Terrorism di Melaka, Kota Bharu pada 2018 dan Kota Kinabalu pada 2019.

Bengkel CVE juga dirancang pada pertengahan 2020, tetapi dibatalkan akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebagai Pegawai Penerangan sejak tiga tahun lalu, Encik O’Brien terbabit secara langsung merancang dan melaksanakan program-program latihan dengan MPI.

Pada majlis yang diadakan di Hotel Intercontinental  di Kuala Lumpur itu, Datuk Dr. Chamil telah menzahirkan terima kasih kepada Kedutaan Amerika Syarikat dan Encik O’Brien atas kerjasama yang telah dijalin sejak sekian lama.

Menurut Chamil, melalui program-program bersama itu, ramai wartawan Malaysia telah menambah ilmu dan pengetahuan mengenai apa yang dimaksudkan sebagai pemerdagangan orang dan penyeludupan migran serta isu-isu keganasan dan ekstrimisme yang merupakan isu-isu penting dalam perhubungan antarabangsa.

Dengan pengetahuan yang baik itu, kata Chamil, para wartawan berupaya menyediakan pelaporan yang lebih baik mengenai topik-topik tersebut untuk disajikan kepada khalayak media masing-masing.

Encik O’Brien pula berharap kerjasama yang telah terjalin baik dapat diteruskan kepada masa-masa akan datang bukan sahaja berkaitan CVE tetapi topik-topik lain yang relevan.

Menurut beliau, MPI adalah sebuah institusi latihan kewartawanan yang penting di negara ini dan Kedutaan Amerika Syarikat gembira kerana dapat bekerjasama dengan MPI untuk menganjurkan program-program latihan, selain mendatangkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang sebagai penceramah untuk kelompok wartawan negara ini.

Selepas menamatkan perkhidmatan di Kuala Lumpur, Encik O’Brien akan bercuti dua tahun untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di California. Selepas itu, beliau akan kembali berkhidmat dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Saya suka tinggal di negara ini dan saya harap suatu hari nanti saya dihantar untuk bekerja lagi di Kuala Lumpur,” kata beliau yang akan berlepas pulang ke New York pada 18 Ogos 2020.

Turut serta pada majlis makan tengah hari itu ialah Penasihat Kanan Kedutaan Amerika bagi Seksyen Hal Ehwal Awam, Encik Riazurrahman Sadaya dan  Pembantu Hal Ehwal Budaya seksyen yang sama, Puan Rohafazlyna Ismail.