Kerajaan tidak pernah sekat kebebasan media

TEKS UCAPAN Y.A.B TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA DI MAJLIS PENGANUGERAHAN TOKOH WARTAWAN NEGARA HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA MPI – PETRONAS 2011 BERTEMPAT DI HOTEL THE ROYALE BINTANG DAMANSARA, ISNIN, 16 JULAI 2012 PADA JAM 3.30 PETANG

 

Terlebih dahulu  saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita sama-sama berada di dewan ini pada petang yang berbahagia ini bagi menyempurnakan satu lagi pancang tanda penting dalam kalender Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dan tajaan PETRONAS.

Saya juga ingin mengambil kesempatan awal ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak MPI dan PETRONAS kerana mengundang saya untuk menyempurnakan majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara, Hadiah Kewartawanan Malaysia 2011.

Sebentar tadi kita semua baharu sahaja menyaksikan seorang lagi wartawan terbilang tanah air diangkat sebagai Tokoh Wartawan Negara. YBhg Datuk A. Kadir Jasin, semestinya nama yang tidak asing lagi di kalangan pengamal media.  Beliau adalah individu kesembilan yang telah dinobatkan ke status tertinggi Hadiah Kewartawanan Malaysia, sejak anugerah Tokoh Wartawan Negara ini pertama kali diperkenalkan pada 1988 sebagai mengiktiraf pencapaian par excellence sepanjang hayat seorang pengamal kewartawanan.

Hakikat bahawa sehingga ini hanya sembilan orang wartawan terulung menerima gelaran itu membuktikan pihak penganjur amat teliti dan rapi dalam pemilihannya. Sudah semestinya anugerah berprestij sebegini tidak diberi kepada wartawan sembarangan. Hanya wartawan yang benar-benar memenuhi empat kayu ukur sebagaimana yang diperjelaskan oleh Datuk Chamil dalam ucapannya sebentar tadi, layak untuk bergelar Tokoh Wartawan Negara.

Saya ingin mengambil kesempatan  ini untuk sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Kadir. Sesungguhnya sumbangan beliau selama 43 tahun  dalam bidang kewartawanan yang bermula pada 1969 ternyata amat produktif. Bermula sebagai pemberita kadet dengan BERNAMA, beliau akhirnya tiba dipuncak kerjayanya apabila dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan, New Straits Times Press Berhad. Selepas meninggalkan NSTP, beliau menerajui syarikat  sendiri yang terbabit dalam penerbitan beberapa majalah dan buku; selain tampil sebagai seorang blogger yang dihormati oleh kawan dan lawan.

Benarlah kata orang, wartawan sejati tidak pernah bersara. Keghairahan mereka untuk mengabdikan diri dalam bidang yang dicintai itu kekal membara selagi hayat dikandung badan. Contohnya, Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin, Tokoh Wartawan Negara Tahun 2000, yang telah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 22 Mac lalu, terus berkarya sehingga ke nafas terakhirnya.

Semoga kejayaan Datuk Kadir meraih gelaran Tokoh Wartawan Negara yang turut disandang oleh lapan wartawan besar lain sebelum beliau, akan dijadikan inspirasi oleh generasi wartawan pelapis untuk mencipta kejayaan yang sama malah lebih hebat lagi pada masa-masa akan datang. Percayalah, dalam hidup ini tiada apa yang mustahil untuk dicapai asalkan kita mempunyai azam dan tekad untuk berjaya. Segala-galanya terserah pada diri kita sendiri. Bak kata bijak pandai kalau tidak dipecahkan ruyung manakan kita dapat menikmati sagunya. Alang-alang sudah menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.

Tidak dapat disangkal rancak atau lesunya bidang kewartawanan Malaysia banyak dicorakkan dan digerakkan oleh tokoh-tokoh yang  menerajui bidang itu. Sejarah kewartawanan Malaysia, sebelum dan sesudah merdeka, membuktikan hakikat ini. Tidak kira siapa yang kita iktiraf sebagai bapa kewartawanan moden Malaysia, kita harus mengakui bahawa tokoh-tokoh awal seperti Abdullah bin Abdul Kadir yang telah menerbitkan Bustan Ariffin pada 1821, Muhammad Said bin Dada Muhyiddin yang menerbitkan Jawi Peranakan pada 1876 atau Muhammad Ali bin Ghulam Hussein yang mengendalikan Sekolah Melayu pada 1888, telah memainkan peranan sebagai pelopor  bidang kewartawanan di negara ini.

Tentulah selepas itu nama-nama besar lain seperti Muhammad Yunus Abdullah (pengarang akhbar Lembaga Melayu), Syed Sheikh Al-Hadi,  Zainal Abidin Ahmad atau ZAABA, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad, A. Samad Ismail, Tun Muhamad Fuad Stephen, C.C Liew, Lee Siew Yee, G Sarangapani,  sekadar menyebut beberapa nama, telah menunjukkan taring masing-masing dalam menggerakkan bidang kewartawanan. Ini tidak termasuk politikus atau tokoh-tokoh kesusasteraan dan persuratan serta penggiat sosial lain  yang juga menggunakan kewartawanan sebagai alat untuk memenuhi agenda perjuangan mereka.

Malah tidak keterlaluan jika dirumuskan sejak akhir kurun ke-19 dan lebih penting lagi pada kurun ke-20, peranan golongan pembaharuan, pendakwah, penggerak masyarakat, pejuang kemerdekaan dan penggiat politik dalam menggemblengkan akhbar sebagai wahana penyebaran maklumat dan pencetus serta perangsang kesedaran kebangsaan begitu menonjol sekali. Waktu itu, wartawan dan pejuang adalah sinonim.

Tetapi selepas negara mencapai kemerdekaan,  skop kewartawanan baik untuk media cetak, media elektronik dan portal berita adalah lebih jelas. Siapa yang layak bergelar wartawan juga tidak sukar untuk ditakrifkan.

Dunia media sedang mengalami perkembangan luar biasa. Rakyat mempunyai banyak pilihan untuk mengakses maklumat. Selain media konvensional, terdapat juga portal-portal media yang boleh diakses secara bebas dan percuma di Internet. Dalam erti kata lain, kita seperti tenggelam di lautan media yang begitu rencam sifatnya. Benar dalam era teknologi maklumat  telah lahir apa yang boleh kita gelar wartawan warga atau citizen journalists. Era Internet ini juga boleh menjadikan sesiapa saja wartawan warga. Tetapi bagi saya  wartawan kategori ini tidak sama dengan wartawan profesional iaitu kalangan yang bekerja sepenuh masa dalam media cetak, elektronik atau portal berita maya. Wartawan profesional  berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan  prinsip-prinsip tertentu dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat sama ada untuk dijadikan bahan berita, rencana, komentar dan bentuk penulisan yang lain. Wartawan profesional tidak boleh menulis berasaskan kepada khabar-khabar angin atau cakap-cakap dikedai kopi. Makanan ruji wartawan profesional adalah fakta dan first hand information yang berasaskan kepada kebenaran dan kesahihan fakta. Fakta-fakta ini kemudian akan diverifikasi menggunakan beberapa sumber lain sebelum diterbitkan. InsyaAllah jika anda menjunjung prinsip-prinsip kewartawanan yang mulia, sentiasa profesional dan berkredibiliti, profesion wartawan akan terus dihormati dan disanjung senantiasa.
Di pihak kerajaan, kita akan senantiasa membantu untuk mewujudkan iklim yang kondusif untuk membolehkan wartawan dan  media terus memainkan peranan dalam menyuburkan demokrasi negara. Anggapan bahawa kerajaan mengongkong atau menyekat kebebasan media adalah tidak benar sama sekali. Sekiranya tidak ada kebebasan media, bagaimana mungkin boleh wujud banyak portal dan akhbar pembangkang yang sebahagian besarnya mengkritik, memutarbelitkan kebenaran dan menghentam kerajaan dengan menyiarkan laporan tanpa fakta yang sahih dan betul?

Tidak ada negara di dunia ini yang mengamalkan kebebasan akhbar secara mutlak. Kebebasan akhbar datang dengan tanggungjawab memastikan setiap berita mempunyai nilai dan mematuhi etika. Malah kerajaan senantiasa menyedari perlunya media negara ini diberi kebebasan secukupnya untuk membolehkan mereka memainkan peranan melapor dan mengetengahkan permasalahan serta pemikiran rakyat. Begitu juga peranan sebagai penyemak dan menegur mana-mana dasar kerajaan yang dianggap bertentangan dengan kepentingan masyarakat. Kerajaan senantiasa bersikap terbuka terhadap kritikan dan teguran. Malah secara peribadi saya ingin melihat wartawan bukan sekadar menulis dan melaporkan berita, tetapi menganalisis berita dan peristiwa. Adunan dua komponen itu kepada kreativiti mereka, pasti menjadikan mereka wartawan yang berpengetahuan dan dihormati.

Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan dari semua jenis media yang telah memainkan peranan yang amat penting dalam usaha membangunkan negara yang kita cintai ini.

Dalam kita membangunkan negara ini ke tahap yang lebih cemerlang, masing-masing mempunyai tugas dan peranan yang harus dilaksanakan dengan sempurna dan  berintegriti.

Pepatah ‘the pen is mightier than the sword’ menunjukkan betapa berpengaruh dan berkuasanya para wartawan. Maka sebagai golongan yang berpengaruh wajarlah mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan negara terus terpelihara. Para wartawan perlu menggunakan kemahiran mereka untuk membangunkan negara yang makmur, moden, progresif dan bersatu padu.

Segala teguran dan kritikan yang di lontarkan hendaklah mengambil kira keadaan masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang  agama dan budaya. Ini kerana tugas media dan wartawan bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada rakyat untuk antara lain membolehkan mereka membuat keputusan. Media juga mempunyai fungsi sosial iaitu memupuk jati diri sesuatu bangsa itu sebagai warga Malaysia. Biarlah maklumat yang disebarkan menyatukan rakyat Malaysia, bukan sebaliknya memecah-mecahkan mereka kepada kelompok yang meragui antara satu sama lain.

Seperti yang anda maklum, kerajaan sudahpun mengambil langkah-langkah untuk mentransformasi media dan industri berita, selari dengan transformasi politik yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Bagi penerbitan bercetak, pembaharuan tahunan permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telahpun dimansuhkan Mac  lalu. Malah kuasa mutlak menteri di bawah akta itu juga telah dimansuhkan.
Selain itu, kajian menyeluruh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu juga sedang dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Kerajaan sudahpun membuat komitmen untuk menubuhkan sebuah Majlis Media yang akan dikendalikan secara self regulatory oleh pihak media itu sendiri. Semua perkembangan ini sepatutnya menggembirakan golongan wartawan khususnya yang memang telah memperjuangkan penubuhan sebuah majlis seumpama itu sejak sekian lama. Usaha tersebut tidak lain tidak bukan untuk melindungi kebebasan media dan memastikan dunia kewartawanan yang bertanggungjawab serta menjunjung  undang-undang negara. Malaysia adalah sebuah negara yang berpegang kepada prinsip rule of law. Siapa juga, termasuklah wartawan kenalah menghormati undang-undang.

Kerajaan mengakui bahawa dalam mengharapkan media kekal sebagai rakan kongsi  untuk menghebahkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat, tetapi kerjasama itu hendaklah dilakukan dalam suasana saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ruang hendaklah diberi kepada industri berita untuk membina kewibawaan dan kebolehpercayaan khalayak terhadap kandungan yang disebarkan.

Akhir sekali saya ingin memuji usaha Malaysian Press Institute (MPI) dan PETRONAS dalam mengiktiraf karya-karya berkualiti dalam bidang kewartawanan, seperti yang dilakukan menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia. Saya perhatikan pengiktirafan ini adalah menyeluruh. Selain mengiktiraf sumbangan Tokoh Wartawan Negara yang telahpun disempurnakan sebentar tadi, Hadiah Kewartawanan Malaysia turut mengiktiraf wira-wira yang tidak didendang dalam kewartawanan negara yang juga telah menghasilkan karya-karya cemerlang dalam pelbagai genre penulisan – berita, rencana, kolum atau pojok. Malah terdapat anugerah khas untuk pendatang baru dunia kewartawanan – Anugerah Wartawan Muda A. Samad Ismail. Semoga pengiktirafan tahunan ini dapat meningkatkan kualiti kewartawanan tanah air.

Sekali lagi, syabas dan tahniah. Terima kasih.