Kewartawanan dan Media Era Digital kini di pasaran

Buku terbaharu terbitan MPI berjudul Kewartawanan dan Media Era Digital kini telah diedarkan di pasaran.

Buku karangan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya, yang dijual pada harga RM35.00 boleh dibeli di kedai-kedai buku utama di seluruh negara.

 

Buku kesembilan terbitan MPI itu telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai 2012 di The Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya.

Pada majlis itu, Chamil telah menyerahkan lima naskah buku berkenaan sebagai cenderahati kepada Muhyiddin. Buku itu, bersama dengan sebuah lagi penerbitan MPI berjudul Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran turut diedarkan sebagai cenderahati kepada 300 tetamu yang hadir pada majlis itu.

Selain tulisan Chamil, buku itu  memuatkan dua ucapan yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak pada majlis anjuran MPI iaitu Malam Wartawan Malaysia 2008 dan 2011.

Satu ucapan Muhyiddin, yang disampaikan pada Malam Wartawan Malaysia 2009, satu ucapan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim pada Malam Wartawan 2010 turut dimuatkan sebagai lampiran.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan senaskah buku itu  juga boleh menghubungi MPI.

Muhyiddin(kanan) menurunkan tandatangan sebagai tanda pelancaran pada poster buku Kewartawanan dan Media Era Digital pada 16 Julai 2012, disaksikan oleh Chamil (tengah) dan Abdul Rahim Mydin, Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Media, Divisyen Hal Ehwal Korporat  PETRONAS (kiri).
Chamil (kanan) menyerahkan lima naskah buku kepada Muhyiddin sebagai cenderahati.

                                                                             Foto ehsan kumpulan Utusan.