MPI release
KOLOKIUM KRITIKAN MEDIA : MEDIA DIGITAL MERAKYATKAN MAKLUMAT

KOLOKIUM KRITIKAN MEDIA : MEDIA DIGITAL MERAKYATKAN MAKLUMAT

Program Kolokium Kritikan Media anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) yang berlangsung pada 5 November 2019 di UiTM Melaka, merumuskan bahawa bidang komunikasi massa dan kewartawanan masih relevan di pasaran namun perlu dimodifikasi dengan anjakan yang bersesuaian seiring perkembangan teknologi dan dunia digital.

Kolokium ini membariskan empat tokoh kewartawanan iaitu; Hj Khaidzir Yunus, Timbalan Ketua Pengarang Berita BERNAMA; Hilal Azmi, Ketua Inisiatif Belia dan Media Sosial Astro AWANI dan Prof Madya Datuk Dr. Ismail Sualman, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Sementara Abdul Latif Abu Bakar; Penerima Anugerah Kajai 1985 sebagai Moderator Program.

Program dimulakan dengan Ucapan Aluan daripada Puan Shafezah Abdul Wahab,  Pensyarah Kanan (Kewartawanan) yang juga penasihat program dan diteruskan ke sesi perbincangan kolokium. Bertepatan dengan tema ‘Media Digital Merakyatkan Maklumat’, perbincangan menjurus kepada fungsi media digital yang kini dilihat dapat mendemokrasikan maklumat di mana media cetak bukan sumber maklumat tunggal lagi. Rata-rata rakyat di negara ini sudah beralih platform bacaan daripada bahan cetak ke digital. Lebih-lebih lagi tarikan paparan media sosial yang kian menjadi trend. Jika media digital mendemokrasikan maklumat, media sosial pula merakyatkan maklumat di mana kedua-duanya saling berhubung rapat. Segala isu dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat menjadi sumber maklumat bagi media sosial. Justeru, media sosial mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam membangun dan membina masyarakat.

Ahli-ahli panel turut membincangkan perubahan ketara dunia digital sekarang memerlukan wartawan lebih peka kepada persekitaran teknologi yang canggih. Beberapa senario memerlukan wartawan bertindak pantas dalam melaporkan berita dan pada masa sama diperkasakan dengan pelbagai gajet untuk bekerja. Ditambah kemunculan media sosial yang menjadi platform sekunder melaporkan berita, fungsi wartawan kini dipelbagaikan.

Di akhir perbincangan, ahli-ahli panel menyarankan mana-mana pertubuhan atau NGO media, contohnya Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) melakukan satu ‘media change’ bagi mengukuhkan dan melestarikan rangkaian media di Malaysia. Satu persetujuan perlu dibuat antara kesemua organisasi media untuk mengenalpasti lapangan terbaik penyampaian berita dan maklumat serta memutuskan sama ada perlu ditamatkan berita cetak dan beralih kepada digital secara sepenuhnya. Keseragaman ini perlu untuk jangka masa panjang hayat media di Malaysia.

Lebih 350 pelajar jurusan kewartawanan telah hadir menyertai kolokium ini dan sekumpulan pensyarah kewartawanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media turut menyertainya sebagai salah satu aktiviti “industrial knowledge transfer” bersama MPI.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif antara peserta dan panel dan seterusnya Ucapan Penutupan daripada Koordinator Fakulti, Rusydi Mohd Kamal sebelum semua ahli panel dan peserta menjamu minum petang.

Laporan : Dengan ihsan UiTM, Melaka

FOTO SEKITAR KOLOKIUM :

Gambar atas & bawah : Sesi pendaftaran peserta sebelum kolokium bermula 2.00 petang di UiTM Cawangan Melaka
Tokoh-tokoh kewartawanan yang hadir sebagai ahli panel. Bermula dua dari kiri : Hj Khaidzir Yunus, Timbalan Ketua Pengarang Berita BERNAMA; Hilal Azmi, Ketua Inisiatif Belia dan Media Sosial Astro AWANI dan Prof Madya Datuk Dr. Ismail Sualman, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Manakala Abdul Latif Abu Bakar (paling kiri) ; Penerima Anugerah Kajai 1985 sebagai Moderator Program.
Kebanyakan para peserta terdiri daripada para pelajar UiTM Cawangan Melaka.
Puan Shafezah Abdul Wahab, Pensyarah Kanan (Kewartawanan), UiTM Melaka dan beberapa pensyarah lain merupakan tulang belakang kepada penganjuran kolokium ini.
Barisan ahli panel/moderator dan para pensyarah UiTM Melaka bergambar bersama hampir 350 pelajar yang hadir menyertai kolokium.

Foto : Dengan ihsan UiTM, Melaka