Kompilasi karya terbaik Anugerah Kajai

BAGI wartawan dan penggiat industri media, Anugerah Kajai telah lama diangkat sebagai pengiktirafan tertinggi untuk hasil kerja dan peranan karya terbaik mereka.

Namun, bagi orang ramai mahupun pelajar dalam bidang kewartawanan, permulaan anugerah dan karya yang diangkat sebagai terbaik itu mungkin tidak begitu nyata.

Untuk itu, Institut Akhbar Malaysia (MPI) mengambil inisiatif mengumpulkan kesemua karya terbaik Anugerah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) antara tahun 1982 dan 2011 untuk diterbitkan dalam satu kompilasi penulisan dan juga sebagai rujukan yang sesuai dibaca semua lapisan masyarakat.

Dengan tajukĀ Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenaran, buku ini memaparkan 19 laporan berita dan rencana terbaik, kecuali artikel oleh pemenang Anugerah Kajai tahun 1989, Noraini Nordin untuk akhbar Watan yang sudah dihentikan penerbitannya.

Selain salinan terbitan akhbar dan laporan utama yang memenangi Anugerah Kajai, laporan susulan dan sokongan terhadap berita dan rencana tersebut turut disertakan bagi memberi gambaran penuh perjalanan isu yang dibongkarkan itu kepada pembaca.

Ini termasuk kesan dan tindakan yang diambil pihak yang terlibat, sehinggalah isu yang didedahkan itu dianggap selesai.

Turut diceritakan, latar belakang nama yang dipilih untuk Anugerah Kajai yang mewakili wartawan ulung di zaman awal permulaan industri akhbar dan kewartawanan negara, Abdul Rahim Kajai (1894-1943) khususnya sebagai tauladan kepada pelajar kursus kewartawanan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

HKM telah diinstitusikan pada 1980 dengan tiga tujuan iaitu memberi hadiah kepada wartawan yang menghasilkan tugas cemerlang, meningkatkan mutu kewartawanan dan menggambarkan usaha wartawan dalam semua media massa, cetak dan elektronik.

Sebagai insentif tambahan, Anugerah Kajai diperkenalkan pada 1982 dan diperakui sebagai pengiktirafan tertinggi untuk seorang wartawan.

Bermula dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan kemudian naik kepada RM10,000, Anugerah Kajai kini menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 dan sekeping syiling emas seberat 100 gram untuk karya terbaik industri kewartawan Malaysia.

Dalam tempoh 32 tahun kewujudan HKM, 20 buah hasil kerja bermutu oleh 23 orang wartawan mewakili tujuh organisasi dengan pemenang untuk tahun 1999, 2002 dan 2011 diwakili pasukan dua orang wartawan.

Sebelum 2009, penyertaan untuk Anugerah Kajai hanya terbuka kepada laporan berita atau rencana dalam Bahasa Melayu sahaja walaupun ada karya dalam kategori atau bahasa lain yang dianggap lebih baik.

Bagaimanapun, mulai 2009, pencalonan Anugerah Kajai telah dibuka kepada semua kategori dan bahasa termasuk untuk wartawan media elektronik.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya dalam menyampaikan kata-kata aluan di dalam buku tersebut menyatakan tajukĀ Membongkar Penyelewengan, Mencari Kebenarandipilih memandangkan elemen kewartawanan penyiasatan menjadi antara intipati penting karya pemenang Kajai.

“Tidak dapat disangkal bahawa karya-karya yang memenangi Anugerah Kajai ini boleh dikategorikan sebagai kewartawanan penyiasatan.

“Laporan-laporan itu bukan sahaja menghidangkan apa yang tersurat tetapi juga yang tersirat di sebalik fenomena, masalah, kepincangan, penyelewengan, masalah kehidupan atau perbuatan durjana yang mahu disorok dan disembunyikan oleh kalangan yang berkuasa dalam organisasi awam dan masyarakat,” katanya.

Beliau berpendapat hasrat wartawan yang menulis karya tersebut adalah untuk mencari kebenaran dan mendedahkannya kepada khalayak ramai dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman atau menegakkan keadilan.

Tambahnya, karya-karya pemenang Kajai itu juga perlu dinilai mengikut konteks dan keadaan ketika ia diterbitkan kerana jika diambil dari konteks hari ini, isu yang dibangkitkan mungkin dilihat tidak sehebat mana atau isu biasa sahaja.

“Diharapkan dengan terbitnya buku ini, para wartawan muda yang sering bertanya bagaimana untuk menjadi Wartawan Kajai tidak lagi teraba-raba untuk menghasilkan karya yang bermutu dalam dunia pemberitaan.

“Seperti yang berulang kali saya nyatakan, cara terbaik untuk mempelajari tulisan yang baik adalah dengan membaca tulisan itu,” jelasnya.

Setelah membaca kesemua karya pemenang Kajai berkenaan untuk kompilasi buku ini, beliau telah mengesan terdapat dua impak utama selepas karya tersebut diterbitkan iaitu umum dan khusus, yang disampaikan dalam bentuk pecahan bagi memudahkan pembaca melihat kesannya.

“Secara umum, ia mendedahkan kepada orang ramai maklumat kepincangan yang berlaku secara kupasan mendalam dan menyeluruh, beserta bukti-bukti serta kenyataan daripada kalangan pakar bidang berkaitan.

“Secara khususnya pula, kepincangan yang didedahkan itu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berwajib sama ada tindakan undang-undang, perubahan drastik mahupun penilaian semula keputusan berkaitan isu berkenaan,” ujarnya.

Chamil menganggap buku tersebut perlu dimiliki mereka yang ingin menjadi wartawan dan penulis yang teliti kerana buku ini memuatkan tulisan-tulisan mantap, mewakili dua genre utama laporan kewartawanan iaitu berita dan rencana.

Beliau juga merasakan buku ini sesuai untuk dibaca secara meluas oleh para pelajar kewartawanan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sumber dari Utusan Online…