MPI release
Kumpulan Pertama Zamalah Wartawan (MPI) 2008 Bertemu Secara Maya

Kumpulan Pertama Zamalah Wartawan (MPI) 2008 Bertemu Secara Maya

Oleh: Dr Nik Norma Nik Hasan, USM

Situasi pendemik Covid-19 telah memberi inspirasi kepada Kumpulan Pertama Zamalah Wartawan (MPI) 2008 mengadakan pertemuan menerusi aplikasi Zoom pada 21 Jun 2020.  Seramai 14 orang peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei, United Kingdom, Zimbabwe dan Ukraine menyertai ‘pertemuan maya’ ini buat pertama kali setelah hampir 12 tahun berlalunya program latihan Zamalah Wartawan pertama.

Peserta yang rata-rata adalah wartawan semasa menghadiri program tersebut berkongsi pengalaman kerjaya mereka sejak tamatnya program itu pada 2008.   Perubahan landskap media di negara masing-masing menjadi topik perbincangan selama satu jam pertemuan itu. 

Walaupun berbeza lokasi, peserta sepakat bahawa kemajuan teknologi yang pesat telah mempengaruhi operasi media di negara mereka. 

Capaian berita dalam talian yang pelbagai tanpa bayaran juga memperlahankan ekonomi syarikat media. 

Perubahan landskap media ini menyebabkan sesetengah peserta mengubah haluan kerjaya kepada bidang perhubungan awam.

Ada juga yang berjaya mentransformasikan akhbar harian kepada portal berita seperti Waspada Online yang berpusat di Medan, Indonesia.  Tidak kurang pula yang bertindak menjadi ‘content creator’ sebagai usaha kelangsungan hidup. 

Walaupun pernah ada usaha untuk mengadakan perjumpaan di Pulau Pinang pada tahun 2018, namun jarak dan komitmen kerja telah menghalang usaha tersebut direalisasikan.  Sungguhpun begitu, sejak 12 tahun ini, peserta program latihan Zamalah ini sentiasa berhubung melalui facebook sebagai usaha mengeratkan persahabatan.

Peserta juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Institut Akhbar Malaysia (MPI) kerana telah memberi peluang mengikuti program Zamalah pertama.  Menurut Natalia Santi, pembantu koresponden Australian Financial Review, Jakarta, banyak manfaat yang dipelajari melalui program latihan ini dari segi praktis kewartawanan dan operasi media secara makro.

Manakala peserta lain berpendapat program Zamalah ini patut diteruskan bagi menghidupkan dunia kewartawanan dalam mendepani era digital.

Program latihan Zamalah Wartawan (MPI) pertama telah berlangsung dari Mac hingga April 2008 dengan kehadiran seramai 25 orang peserta dari 11 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Laos, Vietnam, Ukraine, Seychelles, Syria, Yemen, Bangladesh dan Afrika Selatan.

***

Peserta Zoom

Ahmad Fitri Musa – TVAlhijrah, Kuala Lumpur

Austin Tumengkol – Waspada Online, Medan, Indonesia

Azma Muhamat Laila – Berita Harian, Kuala Lumpur Malaysia

Dewi –  Brunei Darussalam

Farah Hussamuddin – Kumpulan Media Karangkraf, Malaysia

Jeffrey Gogo – Zimbabwe

Mohd Toaha Arshad – Johor, Malaysia

Natalia Santi – Australian Financial Review, Jakarta Indonesia

Nik Norma Nik Hasan – Universiti Sains Malaysia 

Putri Bakri – Harian Waspada, Medan, Indonesia.

Vadym Bolotnik – Kiev, Ukraine

Vanes Devindran – Kuching, Sarawak

Wan Syamsul Amly – Astro Awani, Kuala Lumpur