Kursus MPI pasca PKP dapat sambutan baik

Kursus Creative Digital Media (Marketing) anjuran Malaysian Press Institute (MPI) telah berlangsung dengan jayanya pada 11 & 12 Ogos 2020 di MPI Cyberjaya.

Kursus yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pengamal komunikasi korporat dan pengamal media telah dihadiri seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada pegawai penerangan Jabatan Penerangan Malaysia, PRO kementerian, pengurus komunikasi korporat serta wartawan media sosial yang mengikuti kursus selama dua hari ini.

Kursus tersebut menampilkan Encik Asyraf Hamdi Dusuki, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAID Sdn Bhd sebagai penceramah. Beliau yang mendapat pendedahan awal mengenai penjenamaan, pemasaran dan penjualan, menguruskan pelbagai portfolio selama 6 tahun di Media Prima Berhad telah berkongsi pengalamannya bersama para peserta.

Selama dua hari menghadiri kursus tersebut, para peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai teknik dan cara melakukan promosi dan publisiti organisasi melalui media digital. Mereka juga berkesempatan untuk berkongsi pengalaman dan tips yang berkesan dalam meningkatkan strategi pemasaran digital.

Dalam menganjurkan kursus dalam tempoh PKPP, MPI masih tetap mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengurus Latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaludin berkata, bagi mengutamakan keselamatan dan kesihatan peserta, MPI turut menyediakan pelitup muka dan hand sanitizer untuk kegunaan para peserta sepanjang kursus dijalankan. Makanan peserta juga turut dibungkus dan disajikan di tempat duduk masing-masing sepanjang berkursus, katanya lagi.

“MPI masih mengekalkan SOP yang telah ditetapkan memandangkan penganjuran kursus masih lagi dalam tempoh PKPP” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada para majikan yang bekerjasama dalam menjayakan program-program latihan anjuran MPI sebelum ini dan berharap sambutan baik yang diterima ini dapat diteruskan lagi untuk kursus- kursus yang akan dianjurkan oleh MPI pada masa akan datang.

Berikut merupakan rangkuman gambar-gambar semasa kursus berlangsung.

1. Pemeriksaan suhu, mencuci tangan menggunakan ‘sanitizer’ & menyediakan pelitup muka merupakan rutin penting sebelum memasuki bilik latihan sepanjang PKP.
2. Antara peserta yang hadir memberi tumpuan sepenuhnya penerangan dan tips yang diberikan oleh penceramah.
3. Peserta, Encik Rizal bertanyakan soalan kepada penceramah.
4. Penceramah, En Asyraf menerangkan bagaimana untuk meningkatkan strategi teknik pemasaran digital dan cara melakukan promosi organisasi melalui sosial media.
5. Peserta dari PETRONAS, Wan Nor Maheran membentangkan hasil persembahan berkumpulan mereka dalam kursus tersebut.
6. Sebahagian peserta bergambar kenangan bersama penceramah (tengah) pada akhir kursus.