Laporan Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif 2014

Lembaga Pemenang Amanah Malaysia Press Institute (MPI) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2014 pada 25 Jun 2015, bermula jam 10.30 pagi, bertempat di Kabin Latihan MPI, Jalan Bukit Ledang Kuala Lumpur. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya. Berikut adalah laporan 2014 yang dibentangkan oleh beliau kepada mesyuarat tersebut.

Pengenalan

2014 merupakan satu lagi tahun yang agak produktif bagi Malaysian Press Institute (MPI). Selain menyaksikan penerusan program-program latihan jangka pendek yang sudah established, MPI turut memperkenalkan dua program baharu dalam upaya untuk menjenamakan MPI menjadi sebuah pusat latihan yang unggul untuk golongan wartawan di negara ini. MPI juga berbangga kerana kumpulan pertama program pada peringkat ijazah sarjana yang diusahakan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima skrol masing-masing pada November 2014. Sepanjang tempoh 12 bulan yang dikaji itu, MPI telah menganjurkan 25 kegiatan iaitu 8 penganjuran anugerah kewartawanan manakala 17 adalah program latihan. Selain itu, MPI turut menerbitkan Daftar Media 2014.

Latihan

Selari dengan statusnya sebagai salah satu kegiatan teras MPI, program latihan terus menjadi pemacu kepada kegiatan institut sepanjang 2014. Sebanyak 414 peserta telah mengikuti pelbagai program latihan yang dianjurkan oleh MPI sepanjang tahun yang dikaji.

Lima daripada program latihan itu adalah dalam bidang perhubungan media yang mula diperkenalkan pada 2008.  Satu program perhubungan media itu adalah terbuka kepada umum manakala empat lagi khusus untuk empat entiti korporat. Apa yang membanggakan adalah kursus-kursus perhubungan media MPI itu telah diadakan untuk institusi-institusi yang ada nama dalam pasaran seperti Bank Negara, Bank Simpanan Nasional, Johor Corporation dan Koridor Pembangunan Pantai Timur atau ECER. Barangkali keistimewaan program perhubungan media MPI yang menampilkan para pengarang kanan sebagai penceramah dan tenaga pengajar, menjadi tarikan entiti-entiti itu. Bagi mereka, tidak ada cara yang paling baik untuk mendapat panduan bagaimana untuk mendapat publisiti, selain daripada para pengamal media itu sendiri.

Baki program latihan yang kita adakan adalah kursus-kursus jangka pendek berkait penulisan dan kewartawanan. Selain Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia, program tahunan yang diadakan sejak lima tahun lalu, kita juga memperkenalkan satu kursus baharu pada 2014 iaitu penulisan naratif dan rencana yang dibimbing oleh Dr. Jeniri Amir, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang juga mantan ketua editor Utusan Sarawak.

Pada 2014, MPI juga memperkenalkan program Forum Media Kebangsaan iaitu sebuah wadah untuk kalangan pengamal media, termasuk para editor kanannya membincangkan isu-isu semasa yang menyentuh profesyen kewartawanan. Forum Media Kebangsaan 2014 ini telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan  Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Atas cadangan beliau, Forum Media Kebangsaan ini akan dijadikan program tahunan untuk mempertemukan para pemimpin editorial, di samping membabitkan ahli-ahli akademik dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan media.

Selain itu, 10 orang pelajar kumpulan pertama program Sarjana Sains dalam bidang Komunikasi Kepengurusan  anjuran MPI dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) menamatkan pengajian masing-masing selepas dua (2) tahun mengikuti program peringkat pasca siswazah itu. Mereka menerima ijazah masing-masing dalam satu majlis konvokesyen yang diadakan pada 9 November 2014. Insya-Allah, kumpulan kedua yang terdiri daripada tidak kurang 15 orang pelajar akan menerima ijazah masing-masing pada Oktober 2015. Kumpulan kedua itu menamatkan pengajian masing-masing bermula April 2015.

Anugerah Kewartawanan

Sepanjang 2014, MPI terbabit dengan tujuh (7) program anugerah kewartawanan. Kemuncaknya ialah program tahunan Malam Wartawan Malaysia untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS, yang pertama kali dianjurkan pada 16 September 1981, telah berlangsung pada April 2014. Tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd Yassin. 800 orang tetamu, sebahagian besarnya pengarang-pengarang kanan, para tokoh wartawan dan para wartawan memeriahkan majlis itu. Mereka disertai oleh sabahat-sahabat korporat yang telah membeli meja untuk meraikan kejayaan dan kecemerlangan rakan-rakan wartawan.

Selain itu MPI terus diamanahkan untuk bertindak sebagai sekretariat penghakiman bagi empat program anugerah kewartawanan yang lain iaitu Kinabalu Shell Press Award, Kenyalang Press Award, Anugerah Media Kesihatan dan Anugerah Media Johor yang bertujuan untuk mengiktiraf karya-karya kewartawanan yang lebih spesifik sama ada mengikut bidang (kesihatan) dan wilayah (Sabah, Sarawak dan Johor).

Penerbitan

Sepanjang 2014, hanya satu buku diterbitkan oleh MPI iaitu Daftar Media edisi 2014. Projek tahunan MPI ini pertama kali diterbitkan pada 2014. Walaupun masih baharu di pasaran, tetapi ia diterima umum sebagai rujukan berguna mengenai industri media di negara ini. Selain menyenaraikan tenaga-tenaga penting editorial produk media Malaysia, Daftar Media juga menyenaraikan pancang tanda utama yang dicatat oleh dunia media sepanjang 2014.

Penutup

Dengan tenaga kerja yang sedia ada, prestasi MPI pada 2014 bolehlah dibanggakan. Namun menurut hemat saya masih ada ruang untuk setiap petugas untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti masing-masing dalam upaya untuk menambah bilangan kegiatan yang dianjurkan terutamanya dalam bidang latihan, penyelidikan, penganjuran seminar dan persidangan dengan hasrat untuk menjana lebih banyak pendapatan. Hasratnya adalah untuk menjadikan MPI sebuah institusi yang berdikari dari segi kewangan. Sektor pembangunan perniagaan masih belum meneroka sepenuhnya tugasan yang ditetapkan kepadanya. Ini bererti, masih ada ruang untuk menambah pulangan kewangan, terutamanya dalam memasarkan ruang iklan dalam Daftar Media yang pada waktu ini masih agak lembab. Diharapkan 2015 akan mencatat perkembangan yang lebih positif  kepada MPI dalam sektor-sektor yang disebutkan tadi.