Media dan perang politik PRU KE-14

Ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya pada Forum Media dan Komunikasi Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 5 April 2018 di Hotel Novotel, jam 9 pagi.

Pertama-tama saya ingin memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnianya juga kita semua dapat berada di sini pagi ini untuk menjayakan Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU ke-14, anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia iaitu sebuah organisasi yang dianggotai oleh ahli-ahli akademik bidang komunikasi universiti awam yang baharu sahaja ditubuhkan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr. Adnan Hussein, selaku pengerusi persatuan tersebut serta barisan kepimpinannya, atas kesudian untuk berkerjasama dengan MPI bagi menjayakan program ini. Saya percaya ini bukanlah kerjasama yang pertama dan terakhir, tetapi sebaliknya permulaan satu perjalanan yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Saya juga mengucapkan selamat datang kepada semua peserta forum yang saya difahamkan oleh ketua jawatankuasa pelaksananya, Puan Nuzatul Shima Sulaiman, terdiri daripada para wartawan, para pensyarah serta para pelajar komunikasi, kewartawanan dan media universiti-universiti tempatan khususnya yang berada di Lembah Klang. Forum ini adalah terbuka saya ingin melihat penyertaan aktif anda semua.

Kita tahu komunikasi atau communication dalam bahasa Inggerisnya adalah salah disiplin ilmu yang penting dan tertua dalam kehidupan kita; yang diajar di pelbagai peringkat, bermula sejak kita lahir lagi sampailah ke universiti bagi mereka yang berpeluang ke menara gading. Bukan sekadar pada peringkat ijazah pertama, tetapi sarjana dan doktor falsafah. Tetapi malangnya kadang kala bidang komunikasi ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya atau dipandang sebelah mata sahaja.

Communication asalnya adalah dalam bahasa latin communicare yang bermaksud to share atau untuk berkongsi. Pakar-pakar komunikasi secara umumnya mentakrifkan komunikasi sebagai satu proses berinteraksi menerusi mesej atau signal antara dan sesama manusia, haiwan, mesen dan juga tumbuhan.

Keprihatinan kita di sini tentulah terhadap komunikasi sesama manusia, dari pengirim kepada penerima, menggunakan apa juga model untuk menyampaikan mesej, kata-kata, kod atau teks, tidak kisahlah sama ada ia interaksi komunikasi itu berbentuk: face to face, mediated communication, interpersonal or mass communication, which may be intentional or unintentional, based on symmetrical or asymmeterical relationships, verbal or nonverbal and may employ any channel and medium.  Medium itu pula ada yang bersifat massa seperti akhbar, radio, televisyen, sinema, majalah, buku-buku, audio cd, dvd dan pelbagai platform di alam maya atau internet.

Justeru pemilihan topik forum yang mengadunkan media dan komunikasi untuk membicarakan mauduk yang khusus iaitu pilihan raya umum ke-14 bagi saya memang tepat sekali. Perang politik, baik melakukan serangan atau mempertahankan diri apabila diserang, menerusi media dan komunikasi dalam pelbagai platform, di alam nyata dan alam maya dalam kalangan aktor-aktor politik kerajaan dan pembangkang kini menjadi semakin sengit. Tersepit di tengah-tengah perang tersebut ialah media dan golongan wartawan yang tidak dapat dihindari untuk menzahirkan pendirian masing-masing bergantung kepada faktor pemilikan dan kawalan. Dalam demokrasi, media juga dibenarkan untuk menyokong, menentang atau bersikap berkecuali sewaktu tiba pilihan raya. Ini bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi juga di negara-negara lain.

Saya bukan seorang ahli nujum, lantaran itu saya tidak dapat meramalkan tarikh sebenarnya bila PRU ke-14 benar-benar akan diadakan.  Tetapi desas-desus semakin kuat mengatakan bahawa Parlimen ke-13 yang mengadakan persidangan terakhirnya hari ini, akan dibubarkan esok, selepas Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan esok. Sekiranya itu benar, maka PRU akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dalam masa 60 hari seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Saya percaya PRU itu akan berlangsung sebelum pertengahan Mei 2018 iaitu sebelum umat Islam mengerjakan ibadah berpuasa.

Menjelang pembubaran Parlimen ini, para wartawan adalah kelompok yang paling sibuk, sama sibuk dengan orang-orang politik itu sendiri yang mengelilingi negara untuk mendapatkan pengaruh manakala wartawan pula untuk membuat liputan sebaik mungkin bagi membantu khalayak masing-masing membuat keputusan pada hari pengundian nanti.

Justeru sebilangan para pengarang kanan media yang sewaktu program ini dirancang pada mulanya memaklumkan akan hadir, tidak dapat berbuat demikian kerana tuntutan kerja mereka. Mereka yang pada asalnya disenaraikan sebagai pembentang meminta saya menyampaikan maaf kepada anda semua atas tidak dapat bersama anda pagi ini.

Forum media dan komunikasi menjelang PRU ke-14 ini akan menampilkan orang-orang akademik yang ternama dan para wartawan sebagai pembentang. Terdapat tiga sesi: pertama, kita akan mendengar hasil-hasil kajian akademik berkaitan pilihan raya yang dilakukan oleh antara lain Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Mohd Izzuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia dan Dr. Mohd. Faizal Kasmani, Pengarah, Pusat Komunikasi Strategik ,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); kedua, para pembentang terdiri daripada para wartawan yang barangkali boleh memberi sedikit gambaran mengenai pendirian editorial yang diambil terhadap parti-parti politik yang bertanding iaitu untuk menyokong, menentang atau mengambil sikap berkecuali dalam melaporkan kempen-kempen yang bakal berlangsung; atau malah sebelum ini. Tiga penceramah yang ditampilkan dalam sesi dua ini ialah Datuk Abdul Jalil Ali, penasihat eksekutif editorial Kumpulan Media Karangkraf, Hafidah Samat dari Astro Awani dan Shahrum Sayuti dari portal berita the Mole. Kita juga mengundang portal-portal berita yang agak kritikal terhadap kerajaan, tetapi dengan mesra, atas sebab-sebab yang mereka tidak nyatakan, mereka menolak undangan.

Pada sesi ketiga dan terakhir, kita akan mendengar  pandangan daripada orang-orang akademik bagaimana untuk mengkomunikasikan mesej politik yang berkesan dan kredibel kepada khalayak. Tujuannya bukanlah untuk mereka mengajar itik berenang, tetapi untuk mendengar pendapat-pendapat alternatif yang mungkin berguna dan berfaedah kepada para pengamal media.

Sesi ini antara lain menampilkan Pengerusi Persatuan Pendidik Komunikasi, Datuk Profesor Dr. Adnan Hussein, dari Universiti Sains Malaysia,  Profesor Dr. Faridah Ibrahim dari Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur yang juga pernah menjadi wartawan pada satu waktu. Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid akan bertindak sebagai moderator sesi terakhir itu serta menutup forum media dan komunikasi.

Selamat berforum dan semoga program ini akan memberi pencerahan terhadap PRU ke-14 dan peranan media dan komunikasi dalam proses berkempen yang akan bermula sebaik sahaja selepas penamaan calon nanti. Sekali lagi, penghargaan MPI kepada semua yang telah meluangkan waktu untuk menjadikan forum ini sebagai satu kenyataan.