Media dan undang-undang – pencerahaan Peguam Negara Malaysia

LUNCHEON TALK BERSAMA EDITOR DAN PENGAMAL
26 APRIL 2016“MEDIA DAN UNDANG-UNDANG: PERSPEKTIF NEGARA”
OLEH YBHG. TAN SRI DATO’ SRI HAJI MOHAMED APANDI BIN ALI
PEGUAM NEGARA MALAYSIA

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan berkat kurnia-Nya maka dapat kita bersama-jama berkumpul pada hari yang berbahagia ini. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Malaysian Press Institute (MPI) atas undangan untuk saya menyampaikan Luncheon Talk bertajuk “Media dan Undang-Undang: Perspektif Negara”.
  1. Saya amat berbesar hati kerana, pada hari ini juga, saya berpeluang untuk berdamping dan mengenali dengan lebih dekat lagi beberapa editor serta pengamal media yang selama ini saya sekadar kenal melalui nama pena dan penulisan mereka yang mengagumkan. Saya juga difahamkan bahawa majlis pada hari ini dihadiri oleh para editor, wartawan kanan, ahli-ahli akademik dan pengamal media tanah air di Malaysia. Saya percaya, kesudian tuan-tuan dan puan-puan hadir ke Luncheon Talk pada hari ini dalam kesibukan tugas masing-masing jelas mencerminkan komitmen dan permuafakatan tuan-tuan dan puan-puan untuk sama-sama membincangkan satu isu yang amat signifikan dalam mencorakkan masa depan negara kita, khususnya bidang kewartawanan. Melalui sesi ini, saya berharap dapat memberi penjelasan lebih mendalam mengenai kebebasan media mengikut undang-undang dari perspektif kerajaan.

PERANAN MEDIA DALAM ERA GLOBALISASI

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Dalam dunia tanpa sempadan sebagaimana pada hari ini, masyarakat sentiasa mendahagakan maklumat terkini dengan kadar yang pantas. Jika empat puluh (40) tahun dahulu, sesuatu berita, walau sesensasi mana pun, akan hanya tersebar meluas apabila surat khabar dicetak dan diedar pada keesokkan paginya. Lebih kurang empat puluh (40) ke lima puluh (50) tahun dahulu juga, berita mengenai apa-apa program atau acara yang dirancang untuk diadakan mengambil masa berhari-hari untuk disebarkan ke pengetahuan umum. Sekitar empat puluh (40) tahun yang lalu juga, gambar-gambar yang saya ambil di tempat-tempat yang saya lawati diambil dengan kamera yang menggunakan filem, akan mengambil masa sekurang-kurangnya selama sebulan untuk filemnya siap diproses untuk ditatap bersama dengan ahli keluarga saya yang lain. Surat-surat juga hanya akan sampai ke tangan penerima selepas beberapa hari ia diposkan oleh si pengirim. Pada masa dahulu, kaedah yang paling cepat untuk menyampaikan maklumat ialah melalui telegram, yang mengambil masa sekurang-kurangnya satu hari untuk ia sampai kepada penerima. Walau pun cepat, jumlah perkataan yang boleh dimasukkan di dalam sesuatu telegram adalah sangat terhad.
  1. Namun, keadaan pada hari ini sungguh berbeza. Kini, dengan kepesatan dan pembangunan teknologi media massa dan media sosial, sesuatu kejadian atau berita boleh tersebar meluas ke seluruh dunia sejurus selepas ia berlaku. Gambar yang diambil di sesuatu tempat kejadian boleh dikongsi serata dunia selang beberapa saat sahaja. Malah, baru-baru ini “the gravity-defying free-kick” yang dijaringkan oleh pemain bola sepak Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, telah dilihat oleh peminat bola sepak di seluruh dunia selang beberapa minit selepas ia dijaringkan. Gambar-gambar dan video-video kejadian serangan pengganas di Paris pada akhir tahun lepas, serta di Jakarta, Brussels dan Turki pada awal tahun ini, tersebar ke seluruh dunia hanya beberapa ketika selepas kejadian itu berlaku. Semua ini mampu dilakukan melalui satu kaedah yang sama, iaitu penggunaan “Media”, khususnya media sosial.
  1. Justeru, tuan-tuan dan puan-puan, tidak dapat dinafikan bahawa media pada hari ini memainkan peranan yang sangat penting dan merupakan medium utama dalam proses penyampaian berita dan maklumat kepada setiap lapisan masyarakat. Pada era ini, media memiliki suatu kuasa yang amat luar biasa yang mampu mencorakkan pemikiran dan kepercayaan masyarakat dalam sesuatu perkara. Namun, kita harus sentiasa mengingati kata-kata Winston Churchill semasa beliau menyampaikan ucapannya di Parlimen United Kingdom pada tahun 1906, “Where there is great power there is great responsibility, where there is less power there is less responsibility, and where there is no power there can, I think, be no responsibility.”

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Para pengamal media perlu sedar bahawa kuasa yang digalas melalui mata pena dan papan kekunci komputer masing-masing perlulah dipikul dengan penuh tanggungjawab. Suatu pelaporan dan penerbitan yang tidak tepat yang sudah tersebar meluas boleh menyebabkan kerugian, kekacauan dan ketidakharmonian yang tidak boleh diperbaiki. Walau pun suatu pelaporan yang salah boleh diperbetulkan, namun seringkali kerosakan telah pun berlaku, damage has been done. Oleh yang demikian, setiap patah perkataan dan bait ungkapan hendaklah dibuat dengan penuh berhemah, teliti dan tepat. Seperti bak kata pepatah Melayu “mata pena lebih tajam daripada mata pedang”. Hakikat inilah yang perlu difahami dengan jelas oleh setiap pengamal media, tidak kira pengamal media tradisional mahu pun media baru.
  1. Dalam hal ini, saya ingin memetik kata-kata William Lamb, Perdana Menteri Great Britain dan juga dikenali sebagai Lord Melbourne semasa beliau menjadi ahli House of Commons. Dalam perbahasan di Parlimen United Kingdom pada tahun 1817, beliau telah menggambarkan tanggungjawab media seperti berikut. Izinkan saya untuk membaca petikan tersebut dalam teks asal:

 

“It is common to speak of the power of the press, and I admit that its power is great. I would, however, beg leave to remind the conductors of the press of their duty to apply to themselves a maxim which they never neglected to urge on the consideration of government –“that the possession of great power necessarily implies great responsibility.” They stand in a high situation, and ought to consider justice and truth the great objects of their labours, and not yield themselves up to their interests or their passions.”

 

MEDIA DAN KEBEBASAN BERSUARA

Hadirin yang saya muliakan,

 

  1. Sejak kebelakangan ini, isu utama yang sering dibangkitkan oleh bukan sahaja pengamal media malah masyarakat umumnya adalah berhubung hak untuk menulis dan melapor dengan bebas dan tanpa sekatan. Benar, kebebasan untuk menulis, memberi pandangan, melapor atau lebih dikenali sebagai “kebebasan media” adalah sangat berkait rapat dengan kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara merupakan salah satu hak asasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) atau dikenali dengan nama singkatannya, UDHR, yang telah diterima oleh Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tanggal 10 Disember 1946 juga mengiktiraf hak untuk menyuarakan pendapat dan bersuara.
  1. Dalam hal ini, Artikel 19 Perisytiharan tersebut menyatakan bahawa-

 “Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers.”

  1. Berdasarkan Artikel 19 UDHR ini, hak untuk menyampaikan maklumat dan idea melalui apa-apa media adalah merupakan sebahagian daripada kebebasan bersuara yang perlu diberikan kepada setiap individu.
  1. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menjelaskan kepada tuan-tuan dan puan-puan bahawa instrumen UDHR merupakan suatu resolusi yang telah dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tidak mengikat di sisi undang-undang. Pendirian ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan di dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356 di mana Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa UDHR merupakan perisytiharan prinsip semata-mata dan tidak boleh dianggap menjadi sebahagian daripada undang-undang negara kita yang perlu kita patuhi secara total.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, kita mempunyai hak dan tanggungjawab yang cukup besar dalam mencorak dan menentukan acuan yang paling sesuai untuk rakyat dan negara kita. Apa yang sesuai untuk sesuatu negara lain tidak semestinya sama sesuai untuk negara Malaysia. Begitu juga dalam soal prinsip kebebasan bersuara ini. Selaku negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semestinya kita bertanggungjawab untuk sentiasa menghormati dan berusaha untuk mematuhi resolusi-resolusi yang telah kita persetujui di peringkat antarabangsa. Namun demikian, sekiranya acuan penterjemahan prinsip kebebasan bersuara mutlak didapati tidak sesuai dengan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini, maka perlulah ia diubah suai sewajarnya.
  1. Malangnya, ketegasan kita untuk mencorak kebebasan media mengikut acuan tersendiri ini kadang kala disalah erti oleh masyarakat antarabangsa. Seringkali Malaysia dikecam sebagai sebuah negara yang tidak mendukung prinsip demokrasi yang bertunjangkan hak asasi manusia. Sebagai contoh, Indeks Kebebasan Akhbar 2016 (“World Press Freedom Index 2016”) yang diterbitkan oleh The Reporters Without Borders telah menempatkan Malaysia di tangga 146 daripada 180 negara yang disenaraikan, iaitu meningkat satu anak tangga daripada tangga 147 pada tahun 2015. Kedudukan Malaysia adalah lebih rendah daripada beberapa negara di rantau ini seperti Myanmar di tangga 143, Filipina di tangga 138, Thailand di tangga 136, Indonesia di tangga 130 dan Cambodia di tangga 128. Pada tahun 2012, Malaysia berada di tangga 122, manakala pada tahun 2006, kita berada di tangga 92.
  1. Walau pun kedudukan Malaysia di World Press Freedom Index menunjukkan sedikit peningkatan, skor negara kita di Indeks tersebut telah merosot berbanding skor pada tahun 2015. Pada tahun 2015, skor Malaysia adalah sebanyak 43.29 mata tetapi pada tahun 2016, skor kita telah jatuh ke 46.57 mata. Namun demikian, indeks tersebut juga menunjukkan bahawa kemerosotan dalam skor kebebasan media turut berlaku di kalangan banyak negara. Malah, pada tahun 2015, The Reporters Without Borders juga melaporkan bahawa dua pertiga daripada negara-negara yang dikaji menunjukkan kelembapan dalam kebebasan media, termasuk negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura. Mengambil kira kedudukan ini, persoalan yang perlu ditanya oleh para hadirin sebagai pengamal media adalah sama ada kedudukan ini benar-benar mencerminkan tahap kebebasan media di Malaysia.

KEBEBASAN BERCAKAP DAN BERSUARA DI BAWAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan mungkin sedia maklum, kebebasan bercakap dan bersuara warganegara Malaysia adalah dijamin di bawah Fasal (1)(a) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Fasal tersebut memperuntukkan bahawa tiap-tiap warganegara adalah berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara. Namun demikian, perlu diingat bahawa kebebasan ini bukanlah suatu hak yang mutlak. Fasal (2) Perkara 10 memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengenakan sekatan melalui undang-undang kepada kebebasan bercakap dan bersuara demi memelihara kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.

 

  1. Kebebasan bercakap dan bersuara yang bersyarat ini bukanlah suatu yang baru. Malah, semasa peruntukan ini dibincangkan di peringkat penggubalannya pada tahun 1957, Suruhanjaya Reid melalui the Report of The Federation of Malaya Constitutional Commission, atau lebih dikenali sebagai Laporan Suruhanjaya Reid, turut mengakui kepentingan sekatan-sekatan tertentu terhadap kebebasan bercakap dan bersuara demi menjamin ketenteraman awam. Suruhanjaya Reid telah mengesyorkan agar kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan perlu diberi kepada setiap warganegara, tetapi tertakluk kepada sekatan tertentu. Izinkan saya untuk membaca perenggan 162 dalam Laporan Suruhanjaya tersebut dalam teks asal:

We further recommend that freedom of speech and expression should be guaranteed to all citizens subject to restrictions in the interests of security, public order or morality or in relation to incitement, defamation or contempt of court.”

  1. Dengan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen telah menggubal beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan bercakap dan bersuara. Antara undang-undang tersebut yang mungkin relevan kepada pengamal media termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Saya akan menerangkan sedikit sebanyak berkenaan undang-undang ini sebentar lagi.
  1. Harus diingati bahawa sekatan yang dikenakan melalui undang-undang tersebut juga adalah selaras dengan Article 29(2) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) yang memperuntukkan bahawa kebebasan setiap individu, termasuk hak bersuara dan berpendapat, boleh disekat oleh undang-undang yang digubal bagi tujuan pengiktirafan dan menghormati hak dan kebebasan orang lain serta mencapai keperluan moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam sesuatu masyarakat demokratik.
  1. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menekankan bahawa Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menetapkan sekatan terhadap kebebasan bercakap dan bersuara, yang juga membawa kesan kepada kebebasan media. Yang Amat Arif Raja Azlan Shah, mantan Ketua Hakim Negara, melalui penghakimannya dalam kes Pendakwa Raya lwn Ooi Kee Saik [1971] 2 MLJ 108 telah menyatakan bahawa tidak ada satu negara pun yang memberikan hak kebebasan bercakap dan bersuara secara mutlak. Izinkan saya untuk memetik kata-kata Yang Amat Arif dalam teks asal:

 

“… as far as I am aware, no constitutional state has seriously attempted to translate the right into an absolute right. Restrictions are a necessary part of the right and in many countries of the world, freedom of speech and expression is, in spite of formal safe guards, seriously restricted in practice.”

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

  1. Hak dan kebebasan tuan-tuan dan puan-puan untuk menulis dan menerbit sebagai pengamal media adalah juga berpaksikan kepada kebebasan bercakap dan bersuara sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang telah saya terangkan, kebebasan pengamal media untuk menulis, memberi pandangan, melapor dan menerbit sesuatu perkara adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang wajar seperti yang diperuntukkan secara nyata melalui undang-undang. Oleh yang demikian, kuasa yang ada pada media yang boleh mempengaruhi orang awam wajar digunakan dengan bertanggungjawab bagi memajukan agenda nasional untuk memelihara ketenteraman awam dan kesejahteraan umum dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

 

  1. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, terdapat beberapa undang-undang yang mengawal sesuatu penerbitan yang disiarkan melalui media cetak dan media sosial. Antara undang-undang yang berkaitan adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta Fitnah 1957 [Akta 286] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

 

  1. Saya tidak bercadang untuk menyentuh peruntukan di dalam setiap undang-undang itu satu persatu dengan panjang lebar. Saya pasti tuan-tuan dan puan-puan adalah pengamal media yang sudah berpengalaman dan arif dengan peruntukan-peruntukan yang berkaitan. Walau bagaimanapun, suka saya sentuh beberapa peruntukan penting di dalam undang-undang tersebut yang mempunyai kesan secara langsung dalam urusan tuan-tuan dan puan-puan selaku pengamal media.
  1. Pertamanya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Akta ini digubal bertujuan untuk mengawal kegiatan percetakan dan penerbitan akhbar dan majalah tempatan serta mengawal kegiatan penerbitan luar negara yang diimport masuk ke negara kita. Ia juga bertujuan untuk mengawal penerbitan yang berkemungkinan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau membangkitkan prasangka dari segi moral dan akhlak mulia. Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menjadikan perbuatan menyiarkan berita yang tidak benar (false news) dengan niat jahat sebagai satu kesalahan. Seksyen 8A(2) pula memperuntukkan bahawa niat jahat akan dianggap wujud sekiranya tidak ada keterangan bahawa tertuduh telah mengambil langkah yang munasabah untuk menentusahkan kebenaran sesuatu berita sebelum ia diterbitkan.
  1. Dalam kes PP lwn Pung Chen Choon [1994] 1 MLJ 566, tertuduh ialah seorang editor akhbar di Sabah. Beliau telah didakwa di bawah seksyen 8A(1) atas tuduhan menerbitkan berita palsu dalam akhbar The Borneo Mail bahawa seorang paderi, Benjamin Basintol, telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), seorang lagi paderi Roman Catholic telah melarikan diri dan beberapa orang paderi lain dikehendaki oleh pihak polis.
  1. Dalam kes ini, Mahkamah Agung telah meneliti takrifan perkataan “niat jahat” dan mentafsirkan “niat jahat” sebagai suatu perbuatan yang dibuat dengan bersengaja, dengan niat dan tanpa alasan yang sah di sisi undang-undang.
  1. Tertuduh juga telah menghujahkan bahawa seksyen 8A(1) dan (2) mengenakan sekatan kepada kebebasan bercakap dan bersuara dan sekatan ini bukanlah sekatan yang dibenarkan di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu, seksyen 8A(1) dan (2) adalah bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung memutuskan bahawa penerbitan berita palsu dengan niat jahat mungkin, antara lain, boleh mempengaruhi orang ramai untuk melakukan perbuatan yang menjejaskan keselamatan dalam negeri, melemahkan hubungan persahabatan Malaysia dengan negara lain, membawa kepada gangguan ketenteraman awam dan melakukan perbuatan jenayah. Dengan itu, seksyen 8A tergolong dalam lingkungan sekatan yang dibenarkan oleh Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.
  2. Agak menarik juga Mahkamah Agung, dalam penghakimannya, telah membuat pemerhatian bahawa seksyen 8A(2) tidak menyekat kebebasan akhbar sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sebaliknya, dengan memperuntukkan bahawa anggapan niat jahat dapat dipatahkan dengan membuktikan bahawa tertuduh telah mengambil langkah-langkah munasabah untuk menentusahkan kebenaran sesuatu berita sebelum ia diterbitkan, ia sekaligus memajukan dan memastikan bahawa kebebasan akhbar tidak disalahgunakan atau diperalatkan. Malah, Mahkamah Agung turut menyatakan bahawa menentusahkan kebenaran sesuatu berita adalah amalan “standard” wartawan yang bertanggungjawab.

  

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Satu lagi kes berkenaan sabitan di bawah seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah kes Lim Guan Eng lwn PP [2000] 2 CLJ 541. Dalam kes tersebut, tertuduh telah dituduh, antaranya di bawah seksyen 8A, kerana menerbitkan berita palsu dengan niat jahat dalam bentuk sebuah risalah bertajuk “Mangsa Dipenjarakan”. Pertuduhan tersebut adalah berkaitan dengan tindakan seorang mantan Ketua Menteri, yang dikatakan oleh tertuduh telah merogol seorang gadis di bawah umur 16 tahun.
  2. Berdasarkan fakta dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam risalah tersebut adalah palsu dan tidak ada keterangan dikemukakan oleh tertuduh untuk menunjukkan bahawa langkah-langkah munasabah telah diambil untuk menentusahkan berita sebelum ia diterbitkan. Tertuduh seterusnya telah didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara lapan belas (18) bulan bagi setiap kesalahan yang disabitkan.
  1. Para pengamal media haruslah mengambil iktibar daripada keputusan mahkamah dalam kedua-dua kes tersebut. Setiap berita yang diterbitkan atau sebarang penulisan oleh pengamal media haruslah ditentusahkan kebenarannya sebelum diterbitkan bagi memastikan ia bukanlah berita palsu. Jika tidak, ia akan mengundang suatu tindakan pendakwaan di bawah Akta tersebut.
  1. Selain daripada peruntukan seksyen 8A, seksyen 7 Akta tersebut juga memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk melarang percetakan, pengimportan, penerbitan, penjualan atau pengedaran apa-apa penerbitan yang mengandungi apa-apa makalah, karikatur, fotograf, laporan, nota atau tulisan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan atau yang menggemparkan fikiran orang ramai.
  1. Keduanya, Kanun Keseksaan [Akta 574]. Kanun Keseksaan adalah undang-undang jenayah utama yang memperuntukkan perbuatan-perbuatan yang terjumlah sebagai perbuatan jenayah. Antara peruntukan yang mempunyai kaitan dengan media adalah seksyen 298A Kanun Keseksaan. Seksyen ini melarang mana-mana orang, dan dalam konteks pada hari ini, pengamal media, daripada mengeluarkan kata-kata sama ada secara lisan atau bertulis atau apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan atau menimbulkan kebencian atas alasan agama.
  1. Selain daripada itu, seksyen 500 Kanun Keseksaan juga relevan kepada pelaksanaan tugas seorang pengamal media. Seksyen itu memperuntukkan bahawa seseorang yang memfitnah orang lain boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Fitnah pula ditakrifkan sebagai apa-apa perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, yang dibuat atau diterbitkan mengenai seseorang yang bertujuan untuk membawa mudarat kepada orang itu atau mengetahui bahawa ia boleh membawa mudarat kepada reputasi seseorang.
  1. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pandan, Yang Berhormat Rafizi Ramli telah dituduh di bawah peruntukan seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dikatakan memfitnah Lembaga Tabung Haji melalui penulisan dalam blognya, walau pun beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia boleh memudaratkan reputasi dan nama baik Lembaga Tabung Haji. Memandangkan kes ini akan dibicarakan di mahkamah, saya tidak boleh membincangkannya kerana ia akan melanggar kaedah “sub judice”.
  1. Seterusnya, Akta Hasutan 1948 [Akta 15] juga merupakan suatu undang-undang yang wajar difahami dan diberi penekanan oleh para pengamal media. Seksyen 4 Akta Hasutan melarang mana-mana orang daripada melakukan apa-apa perbuatan seperti menyebut perkataan atau menerbitkan penerbitan yang mempunyai kecenderungan menghasut.  Persoalan yang pasti timbul adalah, apakah maksud sesuatu yang mempunyai “kecenderungan menghasut”. Seksyen 3(1) Akta Hasutan mentakrifkan “kecenderungan menghasut” sebagai;
  • sesuatu yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
  • sesuatu yang boleh membangkitkan rakyat supaya cuba mendapatkan perubahan melalui cara yang tidak sah;
  • mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia;
  • menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia atau mana-mana negeri;
  • mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
  • mempersoalkan apa-apa perkara berkenaan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif mengenai kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
  1. Sejak lebih kurang dua (2) tahun yang lepas, perbuatan pihak-pihak dan individu yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan yang berbaur menghasut dengan tujuan untuk mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum dan penduduk berbilang agama di Malaysia telah meningkat dengan mendadak. Perbuatan dan tindakan tersebut telah menyebabkan kegusaran di kalangan rakyat Malaysia dan menggugat ketenteraman awam serta kesejahteraan umum. Kerajaan memandang serius akan perkembangan ini kerana bimbang sekiranya keadaan tidak dikawal, ia boleh menggugat keamanan, ketenteraman dan keselamatan negara. Oleh yang demikian, pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menggugat keharmonian antara masyarakat majmuk di Malaysia.
  1. Statistik menunjukkan bahawa sejak awal tahun 2013 sehingga Disember 2015, sebanyak 50 kes telah dibawa ke mahkamah yang melibatkan hasutan dan komen yang memudaratkan. Antaranya ialah Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah dituduh kerana memuat naik gambar yang menghina umat Islam dengan menjemput umat Islam memakan Bah Kut Teh di bulan Ramadan. Baru-baru ini, pada 12 April 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah memerintahkan Vivian Lee untuk memasukkan pembelaannya kerana Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan suatu kes “prima facie”. Manakala, Alvin Tan pula telah melarikan diri ke Amerika Syarikat. Oleh itu, kes terhadap beliau tidak dapat dibicarakan.
  1. Pada tanggal 14 April 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mendapati aktivis sosial, Haris Ibrahim, bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Hasutan berikutan peryataan yang dibuatnya di suatu forum umum ekoran daripada Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013. Mahkamah mensabitkan Haris Ibrahim kerana berpuas hati bahawa tertuduh telah mengeluarkan kata-kata yang mempunyai kecenderungan untuk menghasut rakyat Malaysia untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik melalui protes jalanan. Haris Ibrahim telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan (8) bulan.
  1. Sememangnya, setakat ini tidak ada wartawan atau pengamal media yang pernah diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan. Namun, pengamal media harus sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada menerbitkan apa-apa tulisan yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menggugat keharmonian yang dinikmati di negara setakat ini.
  1. Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang bertujuan untuk mengawal selia industri komunikasi dan multimedia turut memperuntukkan beberapa sekatan terhadap pengguna media elektronik secara khusus. Seksyen 233 Akta ini melarang mana-mana pengguna media elektronik daripada menggunakan apa-apa kemudahan rangkaian (network facilities) dalam memberi komen yang mempunyai unsur lucah, sumbang atau jelik untuk menyakitkan hati orang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan bahawa setakat Januari 2016, sejumlah 20.62 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial. Walau pun penggunaan media sosial mempunyai banyak manfaat, terdapat segelintir pemilik akaun media sosial yang menyalahgunakannya. Pada 20 April 2016, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari, memberitahu Dewan Negara bahawa sejak tahun 2010 hingga Mac 2016, seramai dua puluh dua (22) orang pemilik laman rangkaian sosial, laman web dan blog telah dituduh di mahkamah kerana menyalahgunakan medium tersebut untuk pelbagai tujuan. Sehingga bulan Mac 2016 juga, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyiasat sebanyak tiga puluh dua (32) kes penyalahgunaan internet dan media baru di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  1. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang, Yang Berhormat Sivarasa Rasiah, telah didakwa di bawah Akta ini berhubung tindakannya membuat penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dengan menggunakan kemudahan atau perkhidmatan laman sosial “Facebook”. Saya tidak boleh membincangkan kes ini dengan lebih mendalam kerana ia kini masih di peringkat perbicaraan di mahkamah.
  1. Selain itu, tindakan menyekat portal berita The Malaysian Insider juga telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 25 Februari yang lalu kerana menerbitkan berita palsu yang merupakan kesalahan di bawah Akta ini.
  2. Satu lagi Akta yang ingin saya bawa kepada perhatian para hadirin sekalian yang mempunyai kesan kepada pengamal media ialah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]. Akta ini digubal bagi tujuan melindungi rahsia rasmi Kerajaan. Seksyen 8 Akta ini memperuntukkan bahawa seseorang yang memiliki apa-apa dokumen yang bertaraf rahsia rasmi adalah melakukan suatu kesalahan. Kerajaan memandang berat perkara ini kerana kebelakangan ini kejadian ketirisan maklumat terkelas semakin meningkat dan hal ini boleh menggugat keselamatan negara.
  1. Baru-baru ini juga, Ahli Parlimen Pandan, Yang Berhormat Rafizi Ramli, telah dituduh di mahkamah kerana memiliki tanpa kebenaran dan mendedahkan dokumen rahsia yang berada di bawah kawalan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta mendakwa wujudnya hubungan antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) semasa mengadakan sidang media di lobi bangunan Parlimen pada 24 dan 28 Mac yang lalu. Kes ini juga masih di peringkat perbicaraan. Tujuan saya membangkitkan Akta ini adalah untuk mengingatkan para pengamal media untuk tidak memiliki apa-apa rahsia rasmi ataupun menerbitkan apa-apa berita yang mengandungi rahsia rasmi atau mendedahkan apa-apa dokumen terkelas.
  1. Suka saya tekankan di sini bahawa selain tindakan jenayah yang boleh diambil, seseorang pengamal media juga boleh diambil tindakan sivil di bawah Akta Fitnah 1957 dan diarah untuk membayar pampasan sekiranya terbukti bahawa sebarang laporan atau penerbitan yang dibuat adalah berunsur fitnah dan telah mengakibatkan reputasi mana-mana pihak terjejas akibat daripada pelaporan tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN MEDIA

  1. Kemajuan tidak akan dapat dikecapi tanpa perubahan. Benarlah seperti yang dikatakan oleh wartawan yang terkemuka di Amerika Syarikat, George Bernard Shaw, iaitu “Progress is impossible without change, and those who cannot change their minds cannot change anything”. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara membangun dan berdaya saing, Kerajaan sememangnya sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam melaksanakan perubahan-perubahan yang perlu ke arah mencapai tahap yang lebih baik dari yang sedia ada.
  2. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Program Transformasi telah dilancarkan pada tahun 2012. Melalui inisiatif ini, Kerajaan telah mengorak langkah berani dengan memansuhkan undang-undang yang dianggap tidak lagi relevan melalui beberapa inisiatif pembaharuan perundangan. Dalam hal ini, undang-undang berkaitan dengan kawalan ke atas media juga tidak ketinggalan.
  1. Seiring dengan kemajuan bidang percetakan teknologi dan komunikasi, kegiatan percetakan dan penerbitan juga telah berkembang pesat. Menyedari perubahan landskap teknologi ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula peruntukan-peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
  1. Hasilnya, suatu pindaan telah dibuat kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada tahun 2012 untuk memansuhkan keperluan memperbaharui lesen mesin cetak dan penerbitan secara tahunan. Melalui pindaan ini, setiap lesen dan permit yang dikeluarkan kepada mana-mana orang akan kekal sah selagi ia tidak dibatalkan.
  1. Pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ini menunjukkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan untuk menyediakan persekitaran kondusif dan telus kepada pengamal media dalam memberikan pandangan dan membuat laporan berhubung sesuatu perkara.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Saya pasti tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa terdapat beberapa negara yang mengamalkan kawal selia industri media secara kendiri (self-regulation) melalui penubuhan Majlis Media seperti di Australia, New Zealand, United Kingdom dan India. Hal yang sama juga pernah diusulkan oleh YAB Perdana Menteri, Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi perundangan. Beliau menyatakan bahawa kerajaan akan membuat kajian berhubung penubuhan Majlis Media yang akan melaksanakan kawal selia kendiri industri.
  1. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa cadangan YAB Perdana Menteri ini adalah satu cadangan yang amat baik dan boleh melatih serta memacu industri media di negara kita ke arah suatu industri yang lebih matang. Walau bagaimanapun, kaedah pelaksanaan serta kesesuaiannya untuk diamalkan di Malaysia perlulah dikaji dengan penuh teliti. Justeru, jabatan dan kementerian yang berkaitan perlulah mengambil inisiatif untuk mengkaji perkara ini dengan mendalam. Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan selaku stakeholder utama dalam perkara ini akan dirujuk sekiranya inisiatif ini dilaksanakan kelak. Untuk makluman, Working Draft Rang Undang-Undang Majlis Media telah digubal namun masih belum dimuktamadkan tertakluk kepada perbincangan dengan semua pihak. Dalam hal ini,  perbincangan  masih  boleh  diteruskan oleh  semua pihak.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  1. Saya juga ingin menyentuh sedikit berhubung dengan pindaan yang telah dibuat terhadap Akta Hasutan 1948 [Akta 15]. Pada tahun lalu, suatu pindaan telah diluluskan untuk tidak lagi menjadikan perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan sebagai suatu kesalahan menghasut. Pindaan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan membina terhadap Kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia. Ini sekaligus menyelar tohmahan beberapa pihak yang mendakwa Kerajaan pada hari ini adalah Kerajaan yang tidak bersedia untuk menerima kritikan.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Tragedi serangan bersenjata di pejabat akhbar mingguan Charlie Hebdo, di Paris pada tahun 2015 yang mengorbankan 12 nyawa perlu dijadikan teladan kepada seluruh masyarakat dunia. Akhbar mingguan Charlie Hebdo yang sering memainkan sentimen dan ideologi agama telah membangkitkan rasa ketidakpuasan hati banyak pihak. Serangan tersebut bertitik tolak daripada tindakan kartunisnya yang dianggap biadap menghina melalui lakaran atau karikatur yang memaparkan mimik wajah yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. yang seterusnya diterbitkan oleh akhbar tersebut. Kita perlu sedar bahawa penulisan dan penerbitan bersifat sinis yang menyentuh sensitiviti agama semestinya akan mengundang ketegangan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam. Menyedari hakikat ini, suatu pindaan telah dibuat dengan memasukkan perenggan 3(1)(ea) yang baru di dalam Akta Hasutan 1948 dengan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan orang atas alasan agama.
  1. Peruntukan ini adalah bertujuan untuk melindungi kesucian agama dan menghormati kepercayaan yang dianuti oleh masyarakat berbilang agama sebagaimana di Malaysia.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang telah saya sebutkan sebentar tadi, sememangnya hak kebebasan bercakap dan bersuara selaku pengamal media di Malaysia adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada beberapa sekatan undang-undang. Namun demikian, saya harap tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa sekatan-sekatan tersebut bukanlah dibuat sewenang-wenangnya. Ia adalah perlu dalam memastikan ketenteraman awam di negara kita kekal terpelihara demi menjaga kepentingan ramai.

PENUTUP/ KESIMPULAN

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Lord Denning, hakim yang termasyhur di United Kingdom, di dalam bukunya bertajuk “Freedom Under the Law” menyatakan bahawa-

“The freedom of individual, which is so dear to us has to be balanced with his duty; to be sure that every one owes a duty to the society which he forms part”.

  1. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa, dan agama, usaha ke arah mencari titik keseimbangan di antara hak dan tanggungjawab setiap rakyatnya bukanlah suatu tugas yang mudah.
  1. Selaku pengamal media, tuan-tuan dan puan-puan perlu sedar bahawa tanggungjawab yang digalas di bahu tuan-tuan dan puan-puan bukanlah satu tanggungjawab yang boleh dipandang ringan. Setiap penulisan, pandangan dan laporan yang tuan-tuan dan puan-puan terbitkan mampu mencorak pemikiran rakyat Malaysia pada hari ini dan menentukan kelangsungan (survival) negara ini sebagai sebuah negara yang merdeka.
  2. Justeru, adalah amat penting agar setiap laporan dan penerbitan dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab. Kebebasan bersuara perlulah diimbangi dengan etika kewartawanan yang baik. Responsible journalism perlulah menjadi tonggak utama dalam profesion kewartawanan yang perlu diadaptasi dan diikuti oleh semua pengamal media seperti tuan-tuan dan puan-puan. Sekiranya ini dilakukan, saya pasti industri kewartawanan dan media di Malaysia ini akan lebih berkembang dan menjadi lebih matang.
  1. Dalam hal ini, saya juga ingin memetik kata-kata Winston Churchil yang menyatakan bahawa “There is nothing wrong with change, if it is in the right direction”.
  1. Oleh yang demikian, saya juga ingin mengingatkan bahawa dalam keghairahan kita untuk mendukung prinsip-prinsip kebebasan asasi, janganlah kita menggadaikan dan menggugat ciri-ciri negara Malaysia yang paling bernilai, iaitu keharmonian kaum dan agama di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. “Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran”.
  1. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada pihak penganjur dan saya mendoakan semoga ucapan saya sebentar tadi sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan kepada tuan-tuan dan puan-puan mengenai perspektif negara dalam isu media dan undang-undang.
  1. Akhir kata, sebagai penutup kepada ucapan saya pada hari ini, saya ingin mengajukan satu soalan kepada para hadirin yang saya hormati sekalian. Soalan saya berbunyi:

Apakah manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat dan negara apabila berita palsu disiarkan?”

  1. Jika jawapan adalah negatif saya pohon kerjasama Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian sebagai warga media untuk mengambil langkah segera untuk memberhentikan penyiaran berita yang tidak memberi sebarang manfaat.

Sekian, Wabillahittaufik Walhidayah, Wassalamualaikum WBT.