Media Prima TV setuju terbit video persembahan pembukaan Malam Wartawan Malaysia 2017

feb 2 MEDIAPRIMA

Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad bersetuju untuk menerbitkan video persembahan pembukaan Malam Wartawan Malaysia 2017 yang dijadual berlangsung pada 21 April 2017.

Video berdurasi kira-kira lima minit itu bertema isu-isu utama sepanjang 2016  dan cabaran para wartawan untuk membuat liputan peristiwa-peristiwa tersebut untuk dijadikan berita atau rencana bagi diketengahkan kepada khalayak media di negara ini, dengan tumpuan istimewa kepada kewartawanan televisyen.

Video persembahan pembukaan tersebut akan ditayangkan sewaktu tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2017 diarak masuk ke dewan di mana acara tahunan anjuran MPI itu diadakan sebagai tanda bermulanya majlis gilang gemilang bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2016.

Persetujuan menerbitkan video ini  dinyatakan oleh Pengarang Urusan Kumpulan Rangkaian Berita TV Media Prima Berhad, Datuk Seri Ashraf Abdullah sewaktu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya  mengadakan pertemuan dengan beliau pada petang 31 Januari 2016.

Keputusan untuk mendapatkan kerjasama Rangkaian TV Media Prima Berhad untuk menerbitkan video itu diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2017 yang diadakan pada 17 Januari 2017 lalu.

Pada pertemuan di Tingkat 4, Sri Pentas, Petaling Jaya itu juga Chamil memaklumkan bahawa MPI mengundang Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menjadi tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang.

Selain mereka, ketua-ketua pengarang media arus perdana juga akan turut menyampaikan hadiah secara bergilir pada malam tersebut.

800 orang tetamu dijangka memeriahkan Malam Wartawan Malaysia 2017 yang akan diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Malam Wartawan Malaysia, anjuran MPI, pertama kali diadakan pada 16 September 1981 untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang HKM.

PETRONAS merupakan penaja hadiah HKM sejak 1994. Bagi 2017, RM300,000 akan menjadi rebutan bagi 20 kategori yang dipertandingkan.

Feb 2 datuk asyrafChamil (kanan) menyampaikan dua buku kewartawanan terbitkan MPI kepada Datuk Seri Ashraf sebagai tanda penghargaan selepas perbincangan selesai.

Foto: Datuk Baharom Mahusin, Editor Kosmo!