Kursus
Media Sarawak asah memori Kewartawanan

Media Sarawak asah memori Kewartawanan

Wartawan sama ada yang baharu atau lama, memerlukan latihan dari semasa ke semasa, untuk menyuburkan memori mereka dalam bidang yang mereka ceburi itu.

Bengkel Asas Kewartawanan yang diadakan di Hotel 56 di Kuching, Sarawak pada 30 & 31 Oktober 2019 menjadi bukti jelas. Hampir kesemua 20 peserta bengkel itu senada bahawa dua hari tidak cukup bagi mereka untuk mendalami ilmu kewartawanan secara berkesan.

Paling pendek, kata mereka. Sepatutnya tiga hari. Itu antara kata-kata para peserta di bengkel anjuran Commonwealth Journalists Association (CJA) Sarawak dengan restu dan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).

Encik Farush Khan bin Akbar Khan merupakan mantan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian sebagai Fasilitator di bengkel itu, turut mengakui dua hari terlalu singkat. Ia tidak cukup untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan memuaskan, apa lagi dengan adanya tiga waktu rehat antara 9 pagi dan 5 petang serta ada dua lagi penceramah diselitkan dalam bengkel tersebut. Dua orang penceramah tersebut adalah Pengarah Bomba Sarawak, Encik Khirudin bin Drahman @ Husaini dan Encik Francis Chan, Pengarang Pengurusan Kanan The Borneo Post & Utusan Borneo.

Ramai yang mengadu tidak diberi latihan amali dalam bengkel itu, sesuatu yang tentunya akan diadakan sekiranya ia berlangsung selama tiga hari atau lebih.

Bengkel itu, dalam masa yang sama, membuktikan ramai wartawan masih banyak tidak tahu rahsia-rahsia serta hukum-hukum kewartawanan. Bila perlu ditutup muka orang dalam laporan? Bagaimana mengelak kena saman? Ramai juga masih tidak tahu bila perlu disebut “dijemput” dan bila kena sebut “diundang”, umpamanya.

Kesimpulannya bengkel kewartawanan perlu dipanjangkan sedikit jika mahu ia lebih berkesan. Menurut Presiden CJA Sarawak, Cik Alice Wee, memang mereka bercadang mengadakan bengkel itu selama tiga hari, tetapi melupakan rancangan itu kerana “editor-editor berat melepaskan anak buah masing-masing untuk menjalani bengkel latihan kerana kekurangan staf”.