Melangkah solo bersama Haliza Hashim dapat sambutan

Buat pertama kalinya, Malaysian Press Institute (MPI) telah menganjurkan kursus setengah hari bersama Puan Haliza Hashim, Koresponden Berita dan Hal Ehwal Semasa, TV3 yang bertugas di United Kingdom & Eropah untuk wartawan media cetak dan media penyiaran.

Kursus yang diadakan pada 3 Ogos 2015 di Bilik Latihan Malaysian Press Insitute (MPI), Jalan Bukit Ledang, Kuala Lumpur telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan dihadiri oleh 24 orang peserta terdiri dari seorang wartawan masing-masing dari Sin Chew Daily dan New Straits Times, TV AlHijrah diwakili oleh dua orang wartawan serta tiga wartawan masing-masing  dari BERNAMA, Berita Harian, Utusan Karya dan Utusan Melayu. Sementara itu empat  orang wartawan dari HCK Media turut menghadiri kursus ini dan kursus tersebut turut diikuti oleh empat wartawan RTM.

Going Solo’ (Melangkah Solo) merupakan tajuk utama bengkel setengah hari ini dengan tujuan untuk membantu wartawan bagaimana jika mereka bekerja di luar negara secara solo; apa yang mereka perlu tahu, apa yang mereka perlu lakukan, bagaimana untuk mencari berita, cabaran dan juga ganjarannya.

Haliza, anak kelahiran Malaysia yang kini menetap di London berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah bekerja di luar negara sejak tahun 1993. Pada sesi di Kabin Latihan MPI itu, beliau telah berkongsi pengalaman berharga serta inspirasi yang boleh membantu memantapkan lagi kerjaya dalam bidang media bersama para peserta.

Pada keseluruhannya, para peserta berkata pengalaman penceramah sememangnya banyak membantu dalam memberi idea dan nafas baharu untuk menulis atau melapor.

Selain itu, perkongsian pandangan dan idea diantara peserta dan penceramah juga turut membantu membuka minda untuk menjadi wartawan atau pelapor berkredibiliti tinggi.

1. Puan Haliza Hashim, penceramah berpengalaman yang bekerja di luar negara selama 22 tahun sedang berkongsi pengalaman beliau dengan 24 orang wartawan muda Malaysia.

2. Antara 24 orang peserta yang hadir sedang khusyuk mendengar pengalaman Haliza.

3. Penceramah berkongsi artikel menarik tentang MH17 bersama para peserta.

4. Peserta bergambar kenangan bersama penceramah di akhir kursus.