MEMPERTAJAM KEMAHIRAN GRAFIK

Bertempat di Unit Latihan MPI Cyberjaya, seramai 9 orang peserta dari pelbagai sektor awam dan swasta telah menghadiri bengkel latihan infografik yang diadakan pada 16 dan 17 Oktober 2019 lalu.

Antara peserta yang hadir ke bengkel anjuran Malaysian Press Institute (MPI) itu adalah seorang dari Prasarana Malaysia Berhad, Bank Negara Malaysia dan Lembaga Tabung Haji manakala Jabatan Kerja Raya Sarawak, Jabatan Penerangan Malaysia dan MPI sendiri menghantar dua wakil dari organisasi mereka.

Bengkel yang dikendalikan oleh penceramah dari The Star, Encik Tung Eng Hwa, Pengurus Kanan Kandungan Rekabentuk Kreatif ini telah membuka mata para peserta yang rata-ratanya merupakan pereka grafik yang berpengalaman. Mereka telah berjaya memperolehi ilmu baharu dalam selok-belok penghasilan rekaan grafik yang lebih canggih untuk digunapakai pada masa akan datang.

Para peserta berpendapat bimbingan yang diberikan adalah selari dengan kehendak teknologi grafik masa kini yang bergerak pantas. Justeru, setiap penekanan topik yang disampaikan oleh penceramah sangat bermanfaat dan perlu diambil perhatian.

Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan teknik mempertajamkan kemahiran rekabentuk grafik melalui penekanan khusus kepada penggunaan font dan grafik yang betul. Peserta juga turut didedahkan dengan teknik pemilihan warna yang sesuai untuk memberi kesan yang lebih menarik kepada hasil rekaan grafik masing-masing.

Penceramah juga berkongsi beberapa laman web kepada peserta dalam carian Google bagi mendapatkan contoh-contoh desain grafik yang bermutu dan terkini. Para peserta begitu teruja dengan perkongsian tersebut yang disifatkan sebagai sangat membantu dalam penghasilan rekaan grafik mereka.

Para peserta turut diberi peluang menjalankan aktiviti praktikal berseorangan dan berkumpulan di mana peserta diberi tugasan untuk menyiapkan rekabentuk grafik secara kreatif dengan berpandukan kepada topik-topik yang telah dikongsikan oleh penceramah. Semua peserta memberikan kerjasama yang baik dan dapat melaksanakan tugasan mereka dengan jayanya.

Kesemua peserta berpuas hati kerana dapat menyertai bengkel ini dan berpendapat pereka grafik lain yang ingin meningkatkan kemahiran grafik supaya dapat menyertai bengkel seumpamanya yang dianjurkan oleh MPI pada masa akan datang.

Gambar-gambar semasa bengkel berlangsung: