Menziarahi sahabat lama dan pemenang Kajai yang diserang angin ahmar

Putrajaya, 27 Februari: Pemenang Anugerah Kajai 1990, Haji Tajuddin Mohd Saman, yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar di rumahnya di Putrajaya, menyambut kedatangan kami untuk menziarahinya semalam dengan perasaan “gembira berbaur sedih.”

Walaupun perasaan beliau tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata, tetapi cara beliau merenung kami sewaktu berada di sisi katilnya, menghulurkan tangannya yang mahu berjabat tangan dengan kami, menggambarkan isi hatinya itu.

Malah sebaik sahaja beliau nampak kelibat Datuk Mustapa Omar, ahli Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Press Institute (MPI) yang juga mantan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, menghampiri katil di mana dia terbaring, Tajuddin mengeluarkan suara yang seakan-akan berteriak kecil dan pada waktu yang sama seolah-olah ingin menangis kerana tidak menyangka sahabat lama itu meluangkan waktu untuk menziarahinya.

Tangan kanannya pula digerak-gerakkan menyambut kedatangan kami.

Apabila Mustapa duduk dikerusi di sebelah katilnya, sambil memegang tangannya, Tajuddin terus memandang Mustapa semacam ingin menyatakan terima kasih kerana sudi datang untuk menjenguk beliau pada petang 26 Feb 2018 itu.

Teriakan kecil suaranya terus kedengaran seolah-olah beliau ingin menyatakan sesuatu kepada Mustapa.

Isteri Tajuddin, Puan Rahmah Ibrahim memberitahu walaupun suaminya berada dalam keadaan terbaring setiap hari, namun beliau masih mengenali sahabat-sahabat lama yang menziarahi beliau.

Menurut beliau suaminya itu boleh menggerakkan kepala dan tangan kanannya.

“Kalaupun ada kalanya beliau tidak lagi dapat mengecam kawan-kawannya, tetapi apabila nama kawan-kawan itu disebut, suami saya akan merenung orang berkenaan dan kemudian seolah-olah cuba untuk mengingati siapa mereka. Cuma dalam keadaan sekarang, beliau mengambil sedikit masa,” terang isterinya itu.

Mustapa dan Tajuddin pernah kerja sebumbung sebagai wartawan di Berita Harian pada suatu waktu, sebelum beliau meninggalkan kewartawanan untuk berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Kedah pada waktu itu, Tan Sri Osman Aroff selama dua tahun.

Selepas Osman tidak lagi menjadi Menteri Besar, Tajuddin berbakti pula pada kedudukan yang sama dengan dua orang menteri Persekutuan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Menteri Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid.

Mustapa dan saya menziarahi Tajuddin, mewakili MPI, iaitu penganjur Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) setiap tahun bermula 1980.

Anugerah Kajai yang merupakan anugerah tertinggi dalam HKM yang boleh dimenangi oleh mana-mana wartawan menerusi penyertaan kayar terbaik yang pernah dihasilkan pula diperkenalkan pada 1982.

Tajuddin, menerusi tulisan bersirinya dalam Berita Harian yang disiarkan sepanjang 1990 mengenai nasib para penerima pingat Hang Tuah, memenangi anugerah tersebut pada Malam Wartawan Malaysia yang dianjurkan pada 1991.

Karya yang dihasilkan oleh Tajuddin, bersama dengan buah tangan 23 pemenang Anugerah Kajai yang lain, telah diantologikan oleh MPI dalam sebuah buku terbitan MPI berjudul 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai tahun 2018.

Buku tersebut  yang pertama kali diterbitkan pada tahun 2012 dengan judul Membongkar Penyelewengan Mencari Kebenaran serta buku-buku kewartawanan terbitan MPI yang lain, kini digunakan sebagai bahan rujukan dan bacaan tambahan di pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus penulisan dan kewartawanan.

Pada kesempatan menziarahi Tajuddin semalam, Chamil telah menyerahkan dua naskah buku tersebut kepada isteri beliau. Chamil juga telah menunjukkan kepada Tajuddin buku tersebut, khususnya halaman 53 yang memuatkan karya beliau.

Selain menyerahkan buku Karya 24 Pemenang Anugerah Kajai, MPI juga menghulurkan sedikit sumbangan kepada beliau.

Tajuddin, 70, diserang angin ahmar sejak lapan tahun yang lalu. Beliau kini sedang mengalami proses pemulihan dengan menjalani rawatan fisioterapi dari masa ke masa.

Sahabat-sahabat lama yang ingin mengunjungi Tajuddin boleh ke rumah beliau pada alamat berikut No 32, Jalan Rajawali P9 B1/16, Presint 9, Putrajaya. – Chamil Wariya.

 

Rakaman gambar-gambar :

1. Chamil (berdiri, berbaju putih) menunjukkan halaman 53 buku 24 Karya Pemenang Anugerah Kajai kepada Tajuddin yang turut memuatkan foto kecil beliau di rumahnya di Putrajaya, sambil disaksikan oleh isterinya. Tajuddin nampak amat teruja melihat karyanya itu.
2. Datuk Mustapa Omar mengambil gambar kenangan sewaktu menziarahi Tajuddin Mohd Saman.
3. Chamil menyampaikan sumbangan MPI kepada isteri Tajuddin di rumahnya di Putrajaya pada 26 Februari 2018.